suria

Jais sedar ada kubur tolak jenazah pesakit Covid-19... beri alasan ‘kuota, utamakan kariah‘ - “Yang mati sekarang perlu diselesaikan”

Petugas menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19. foto FB Unit Khas Van Jenazah / JAWI

KECOH mengenai isu tanah kubur yang terhad untuk kebumi jenazah pesakit Covid-19, khususnya di Lembah Klang berikutan peningkatan kes kematian akibat wabak itu.

Isu kuota harian pengebumian jenazah dan tanah kubur yang mengutamakan kariah selain tempoh urusan pengebumian yang singkat mengikut waktu pejabat disuarakan oleh Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengakui terdapat masalah yang berlaku membabitkan pengurusan jenazah pesakit Covid-19, berdasarkan maklumat yang diterima beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Kebumi mayat ikut 'office hours', perlu patuh kuota harian... jenazah pesakit Covid-19 lewat dikebumi lebih 24 jam - "Kita rayu sana sini, kubur keenam baru terima..."

Sehubungan itu katanya, satu perjumpaan akan disegerakan bagi membincangkan apakah langkah yang perlu diambil bagi menangani beberapa isu tentang pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor.

"Ini kerana sudah ada isu-isu berlaku penolakan yang kita tidak tahu siapa yang menentukan bahawa hanya kubur-kubur tertentu boleh kebumi jenazah pesakit Covid-19.

"Isu-isu melibatkan jenazah mesti disegerakan, saya akan ambil keputusan bersama dan akan dibentangkan senarai kubur di semua daerah khususnya daerah di Lembah Klang.

"Saya akan buat keputusan menetapkan semua jenazah di mana-mana (kubur) yang paling hampir dan dikebumikan di situ. Semua perlu beri kerjasama," katanya kepada mStar.



Petugas memakai PPE mengendalikan jenazah pesakit Covid-19.

Mohd Shahzihan berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan masalah tanah perkuburan dan akan mewujudkan yang kawasan baharu sekiranya berlaku kapasiti penuh.

"Fatwa pun telah ada dibolehkan kubur bertingkat. Jangan jadikan halangan bahawa seolah-olah kubur itu untuk ahli kariah. Agama tidak ajar begitu.

"Mati kita di mana dan bila itu adalah urusan Allah SWT. Yang ada (jenazah) sekarang, yang mati sekarang perlu diselesaikan," tegasnya.

Beliau merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor yang diwartakan pada 7 Oktober 2004 mengenai kubur bertingkat.

Malah, menerusi Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-245: Membina Kubur Bertingkat di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut memberitahu hukum pembinaan kubur bertingkat adalah harus dan dibolehkan.



Mohd Shahzihan Ahmad. foto Sinar Harian

Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan berkata, perbincangan tersebut akan dilakukan bersama pegawai-pegawai tadbir jabatan itu terlebih dahulu dalam membuat keputusan.

"Semua pegawai tadbir akan membentangkan kepada saya senarai tanah perkuburan yang available. Dan saya akan serahkan kepada hospital yang paling hampir.

"Kalau di Ampang, yang paling dekat adalah Hospital Ampang, dengan melihat kawasan perkuburan berdekatan dengan Ampang. Jenazah pesakit Covid-19 patut ditanam di kawasan ia meninggal dunia.

"Kadang-kadang ada waris yang menuntut jenazah pesakit Covid-19 untuk dibawa balik (ke kampung), kita tak boleh halang. Tapi saya nasihat janganlah macam tu sebab waris tak boleh uruskan pun. Kita sempurnakan keperluan si mati dahulu, itu yang diutamakan," katanya.

Jangan jadikan halangan bahawa seolah-olah kubur itu untuk ahli kariah. Agama tidak ajar begitu. Mati kita di mana dan bila itu adalah urusan Allah SWT

MOHD SHAHZIHAN AHMAD

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail dalam satu kenyataan kepada mStar berkata, sebanyak tiga tanah perkuburan di bawah seliaan Jawi menjadi lokasi pengebumian jenazah berkaitan kes Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

Jelasnya, tiga Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) ialah TPIRS KL-Karak, TPIRS Bukit Kiara dan dan TPRS Kg Melayu Kepong.

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan, Jawi juga tertakluk dengan saranan dan SOP (prosedur operasi standard) berkaitan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Walau bagaimanapun setakat ini, tempoh masa yang dibenarkan adalah memadai bagi menyelesaikan tugasan pengurusan jenazah dengan sempurna di samping koordinasi dan komitmen yang baik daripada semua pihak yang terlibat," katanya sambil menambah waktu urusan pengebumian jenazah yang ditetapkan adalah dari pukul 9 pagi hingga 5 petang berpandukan SOP yang ditetapkan.



Mohd Ajib Ismail.

Mohd Ajib berkata, Pasukan Petugas Khas Pengurusan Jenazah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)-Jawi telah menguruskan 435 jenazah pesakit Covid-19 setakat ini.

Ia turut disokong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi ciapannya di laman Twitter rasmi beliau pada pagi Selasa, yang memberi maklum balas kepada laporan mStar pada pagi Selasa mengenai isu pengurusan jenazah Covid-19.

"Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, tiada masalah insyaAllah. Sehingga hari ini, 435 jenazah berkaitan Covid-19 telah diuruskan oleh Pasukan Petugas Khas Jenazah Jakim dan Jawi," tulis beliau.

Menurut rekod Jawi setakat 31 Mei 2021, 435 jenazah pesakit Covid-19 yang diuruskan itu diterima daripada hospital-hospital di Wilayah Persekutuan, dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 214 jenazah.



Kenyataan Zulkifli menerusi ciapan di laman Twitter rasmi beliau.

Pada Selasa, mStar melaporkan Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid kesal kerana terpaksa berdepan dengan isu kelewatan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 disebabkan oleh beberapa faktor termasuk isu kuota jenazah dan tanah kubur yang mengutamakan kariah.

Berkongsi pengalaman, beliau yang dikenali sebagai Ustaz Rafie mendakwa berlaku kelewatan pengebumian jenazah seorang pesakit Covid-19 disebabkan 'ditolak' beberapa tanah perkuburan di Lembah Klang.

"Seorang pesakit Covid-19 meninggal dunia pagi Ahad, tapi masih belum dikebumikan selepas 24 jam. Kita cuba lima kubur di Selangor dan satu kubur di Kuala Lumpur.

"Kita cari dan rayu sana sini untuk uruskan jenazah, tapi mereka ada kuota selain alasan di luar kariah. Bila kita cuba kubur yang keenam, barulah diterima dan dapat dikebumikan sekitar pukul 5 petang Isnin," katanya merujuk kariah iaitu kawasan yang didiami penduduk yang berkongsi masjid atau surau.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain