suria

Kebumi mayat ikut ‘office hours‘, perlu patuh kuota harian... jenazah pesakit Covid-19 lewat dikebumi lebih 24 jam - “Kita rayu sana sini, kubur keenam baru terima..."

Petugas menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19. - gambar hiasan foto SPJM

DETIK hitam buat Malaysia apabila kes kematian akibat Covid-19 menunjukkan trend peningkatan sejak pandemik itu melanda negara ini.

Malaysia merekodkan 98 kes kematian pada Sabtu, selain puluhan kes kematian sejak kebelakangan ini sekali gus memberi kesan kepada aspek pengurusan jenazah.

Buktinya, beberapa hospital di Selangor terpaksa menyediakan kontena khas bagi menempatkan jenazah-jenazah pesakit Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Jais sedar ada kubur tolak jenazah pesakit Covid-19... beri alasan 'kuota, utamakan kariah' - "Yang mati sekarang perlu diselesaikan"

Begitulah yang disuarakan oleh Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid yang mendakwa tanah kubur di Lembah Klang kini adalah terhad.

"Sedih sangat bila nak uruskan segera pengebumian jenazah tapi kekangan isu tanah kubur pula menjadi masalah. Ada kubur ikut waktu pejabat. Ada kubur khas untuk kariah saja," luahnya.



Tangka layar mesej menerusi aplikasi WhatSapp mengenai kuota jenazah. foto FB Skuad Pengurusan Jenazah - SPJ Malaysia

Bercakap kepada mStar, Muhammad Rafieudin berkata, kontena khas itu disediakan kerana sebahagian tanah perkuburan mempunyai kuota untuk pengebumian jenazah setiap hari.

Namun katanya, angka kematian akibat Covid-19 yang meningkat pada masa ini menyebabkan permintaan tinggi bagi pengurusan dan pengebumian jenazah terutama di kawasan Lembah Klang.

"Macam ada tanah perkuburan yang hadkan uruskan 10 jenazah untuk dikebumikan setiap hari, hanya tiga daripadanya adalah kes Covid-19.

"Kalau ada lebih dari tiga kes kematian akibat Covid-19 atau kematian lain pada hari berkenaan, dah habis kuota dan tak boleh kebumi hari tu. Kena kebumi esok pula," katanya ketika dihubungi.

Muhammad Rafieudin yang lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie berkata, pihak pengurusan bagi tanah perkuburan terpaksa akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bila permintaan untuk tanah kubur itu tinggi dan mereka pula terikat dengan SOP kebumi sampai petang saja, maka banyak urusan kebumi jenazah tergendala.

"Bila kita nak request ke tempat lain (tanah perkuburan), contohnya dia (pesakit Covid-19) meninggal di HKL (Hospital Kuala Lumpur), tapi bila nak kebumi di Selangor tak boleh sebab dia di luar kawasan kariah. Kubur lain tak terima," dakwanya sambil memaklumkan bahawa tempoh pengurusan jenazah adalah mengikut waktu bekerja sepanjang PKP.



Ustaz Rafie.

Berkongsi pengalaman, Ustaz Rafie mendakwa berlaku kelewatan pengebumian jenazah seorang pesakit Covid-19 disebabkan 'ditolak' beberapa tanah perkuburan di Lembah Klang.

"Seorang pesakit Covid-19 meninggal dunia pagi Ahad, tapi masih belum dikebumikan selepas 24 jam. Kita cuba lima kubur di Selangor dan satu kubur di Kuala Lumpur.

Jangan utamakan kariah sahaja, benarkanlah tanah perkuburan untuk penduduk luar kariah juga. Itu kan kubur wakaf. Lagipun sangat bahaya dan berisiko tinggi untuk bawa pulang jenazah Covid-19 ke kampung asal arwah

USTAZ RAFIE

"Kita cari dan rayu sana sini untuk uruskan jenazah, tapi mereka ada kuota selain alasan di luar kariah. Bila kita cuba kubur yang keenam, barulah diterima dan dapat dikebumikan sekitar pukul 5 petang Isnin," katanya merujuk kariah iaitu kawasan yang didiami penduduk yang berkongsi masjid atau surau.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sehubungan itu, Ustaz Rafie meminta pihak berkuasa berkaitan meneliti perkara ini memandangkan jenazah hendaklah diuruskan dengan sesegera mungkin tanpa perlu ditangguh.



Pengurusan jenazah Covid-19 di di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak. foto FB Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan - Jawi

"Jangan letak kuota harian untuk mengebumikan jenazah. Kematian akibat Covid-19 semakin bertambah. Jenazah pesakit Covid-19 terpaksa disimpan di bilik mayat hospital sehingga berlaku lambakan jenazah.

"Jangan utamakan kariah sahaja, benarkanlah tanah perkuburan untuk penduduk luar kariah juga. Itu kan kubur wakaf. Lagipun sangat bahaya dan berisiko tinggi untuk bawa pulang jenazah Covid-19 ke kampung asal arwah.

"Jangan hadkan waktu pengebumian sama macam waktu kerja pejabat. Kematian berlaku pada bila-bila masa. Menyegerakan pengebumiannya adalah satu fardu, sekurang-kurangnya dibenarkan urus jenazah sehingga tengah malam," ujarnya sambil menambah pihaknya kini menerima sehingga empat jenazah pesakit Covid-19 sehari untuk diuruskan.

Malah beliau turut mencadangkan supaya bilangan petugas di tanah perkuburan perlu ditambah berikutan jenazah pesakit Covid-19 diterima setiap hari.

Tambah beliau, SPJM mempunyai lebih 2,000 ahli dan sukarelawan di seluruh negara yang dapat membantu untuk menguruskan jenazah termasuk jenazah pesakit Covid-19.

"Saya meminta pihak berkuasa berkaitan untuk menyelesaikan isu ini agar tiada lagi kelewatan urusan pengebumian jenazah terutama membabitkan pesakit Covid-19," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain