suria

“Saya sempat pesan jangan merayau” - Beli motor nak mudah urusan, malang pula menimpa... pekerja kilang buntu fikir kos rawatan adik kemalangan

Keadaan motosikal Hayati yang ditunggang oleh adiknya Siti Nurasiah (kiri) selepas terbabit dalam kemalangan.

SUDAH jatuh ditimpa tangga.

Itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan situasi yang dilalui seorang wanita selepas motosikal yang baru lima bulan dimilikinya hancur disebabkan adik bongsu.

Wanita berkenaan, Nor Hayati Karim, 26, hanya mampu menangis apabila menerima panggilan rakan sekampung yang memaklumkan adiknya terlibat dengan kemalangan pada 16 April lalu.

Apa yang lebih merisaukannya ialah keadaan adiknya Siti Nurasiah Karim, 16, yang cedera parah disebabkan insiden yang berlaku di Kampung Layang-layang, Kluang, Johor.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemalangan 4 hari sebelum majlis perkahwinan, pengantin lelaki terpaksa bersanding pakai seluar pendek

ARTIKEL BERKAITAN: Malang nasib Bibik Sulami, dilanggar motor selepas kematian suami... dah sembuh tak boleh keluar wad pula - “Kami tak ada duit nak bayar”

Lebih mesra disapa Hayati, dia baru sahaja membeli motosikal tersebut pada November 2020 untuk memudahkan adiknya menghantar anaknya ke sekolah.

“Saya beli motor tu untuk mak mentua hantar anak ke sekolah. Tapi sebab dia tak pandai bawa, jadi adik sayalah yang tolong hantarkan.

“Pada hari kejadian, saya bekerja dan suami pula bawa anak kami ke rumah ibunya, manakala adik saya keluar membawa motosikal untuk ke bazar Ramadan.

“Saya ada telefon dia sebelum tu tanya ada di mana dan mendapat tahu ketika itu dia sedang mengisi minyak motor. Saya sempat berpesan supaya dia tidak merayau dan terus balik ke rumah,” katanya kepada mStar.

Siti Nurasiah cedera parah akibat kemalangan itu.

Namun perkara yang tidak diingini terjadi juga apabila motosikal yang ditunggang oleh adiknya terbabas dan melanggar tiang elektrik di kawasan kampung tersebut.

Orang kampung yang berada di kawasan kejadian bergegas memberi pertolongan termasuk memanggil ambulans dan memaklumkan kemalangan tersebut kepada Hayati.

“Saya menggigil dan menangis masa dapat tahu pasal kemalangan tu. Sebab walau apa pun yang berlaku saya yang kena tanggung dia.

“Memang saya tunggu dia di hospital sampai nak berbuka puasa pun tak lalu nak makan. Saya dah tak kisah pun pasal motor hancur tapi nyawa adik tu tiada pengganti, ” ujarnya yang menetap di Kluang, Johor.

Saya dah tak tahu nak minta pertolongan daripada siapa. Kami ni bukan dari keluarga senang, saya ni pun baru je setahun lebih kerja kilang.

NOR HAYATI KARIM

Menurut Hayati, adiknya telah berada di wad selama empat hari kerana mengalami kecederaan teruk termasuk patah tulang pinggul dan tulang muka pada bahagian mata.

Setakat ini, doktor telah menjalankan beberapa pembedahan ke atas adiknya untuk memasukkan besi pada tulang pinggul yang patah dan membuang darah beku di bahagian perut.

Menerusi perkongsian status di laman Facebook, Hayati meminta bantuan orang ramai untuk meringankan sedikit beban yang ditanggungnya untuk melunaskan kos rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom, Kluang sekali gus dapat membawa adiknya pulang.

Anak ketiga daripada empat beradik ini memuat naik status di Facebook untuk meminta bantuan netizen.

“Saya dah tak tahu nak minta pertolongan daripada siapa. Kami ni bukan dari keluarga yang senang, saya ni pun baru je setahun lebih kerja kilang.

“Ibu bapa saya dah berpisah, adik beradik yang lain pula jauh dan kurang berkemampuan sama seperti saya. Kalau nak harapkan suami pula, dia OKU dan pendapatan pun tak tetap sebab dia bekerja sebagai pemotong rumput," katanya yang hanya mampu membayar RM600 untuk deposit rawatan adiknya.

Kedua ibu bapanya berasal dari Narathiwat, Thailand, tetapi Hayati serta adik-beradik yang lain dilahirkan di Kelantan. Ini menjadikan mereka adik beradik sebagai pemegang MyKas. Kad tersebut dikeluarkan untuk golongan Permastautin Sementara yang berstatus bukan warganegara kerana mereka lahir di Malaysia tetapi taraf kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Keluarga kecil Hayati bergantung kepada pendapatan bulanannya yang bekerja di kilang sebanyak RM1,100 sebulan, manakala suaminya pula memperoleh kira-kira RM400 sebulan itu pun jika ada pihak yang menggunakan perkhidmatan memotong rumputnya, selain mendapat bantuan RM450 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Selain itu, dia masih perlu membayar hutang motosikal secara bulanan sebanyak RM250 untuk tempoh empat tahun kepada pihak bank memandangkan Hayati hanya dapat membayar deposit RM1,000 sahaja.

Kewangan keluarga Hayati yang terhad menyebabkan dia begitu bingung, lebih-lebih lagi bil hospital Nurasiah tinggi iaitu mencecah RM8,000 berikutan statusnya sebagai bukan warganegara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain