suria

Sedih lihat peniaga basah kuyup tiap petang, jejaka plan kejutan... apa yang dibuatnya bawa duit ‘berkepuk-kepuk’ ke bazar Ramadan?

Iddin mengakui dia tidak terlepas dengan komen kecaman termasuklah yang menuduh dia cuba menunjuk-nunjuk kekayaan

ADA hari laris, ada pula hari-hari tertentu makanan yang dijual langsung tak habis.

Begitulah lumrah yang dihadapi peniaga bazar Ramadan, khususnya dalam tempoh pandemik ini.

Terbaharu, tular video memaparkan seorang jejaka memborong semua makanan yang dijual di beberapa gerai sebelum ia disedekahkan kepada pengunjung yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Order ‘kencang’ dari pagi sampai malam... video sayu peniaga dikompaun selepas jual 5 botol air terima 1.3 juta tontonan!

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu kerja OK, kini jual keropok lekor! Pemuda hilang kerja tak sangka satu mesej WhatsApp daripada abangnya mampu buka rezeki

"Abang kira je semua ni, saya beli semua. Tapi abang bagi kat orang," ujar Iddin Syah kepada salah seorang peniaga yang ditemuinya menerusi video tular itu.

Mesra disapa Iddin, dia yang juga pengasas produk kosmetik mengakui tidak sangka video di Bazar Ramadan Seberang Jaya, Pulau Pinang itu akan meraih perhatian ramai.

Paparan skrin video tular itu.

"Saya tak pernah minta untuk mendapat perhatian mana-mana pihak ketika mengadakan kunjungan sedekah di bazar Ramadan baru-baru ini kerana niat saya ikhlas.

"Saya sekadar kongsikan video itu di Instagram sebagai content peribadi, sekaligus untuk memberi contoh yang baik kepada stokis dan ejen saya.

"Kalau pengikut saya di Instagram melihat ia satu inisiatif yang baik, Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah," ujarnya yang turut dilihat membawa sejumlah wang di tangan ketika kunjungan itu.

Terima kasih kerana bersusah payah menyediakan hidangan buat kami semua yang tak sempat masak.

IDDIN SYAH

Dalam pujian yang diterima, Iddin mengakui dia tidak terlepas dengan komen kecaman termasuklah yang menuduh dia cuba menunjuk-nunjuk kekayaan yang dimiliki.

Namun katanya, dia ada sebab tersendiri untuk memulakan inisiatif itu demi membantu peniaga yang terkesan mencari rezeki, ditambah keadaan cuaca tak menentu sejak beberapa hari lalu.

"Walaupun ada sebilangan kecil yang mengecam dan menganggap saya menunjuk-nunjuk, terserahlah apa pendapat mereka kerana saya tahu itu bukanlah tujuannya.

Kata Iddin, dia terkesan melihat peniaga bazar yang meniaga dalam keadaan cuaca tak menentu.

"Setiap kali balik kerja melalui kawasan bazar Ramadan, saya sayu melihat peniaga-peniaga yang bertungkus-lumut mencari rezeki dalam keadaan hujan lebat.

"Macam manalah perasaan mereka kalau juadah yang dijual tak habis sebab orang tak datang beli kerana hujan. Mesti mereka rugi kan?

"Jadi saya pun cakap dengan team saya, jomlah kita pergi bazar, saya nak buat kejutan dekat peniaga-peniaga.

"Kebetulan Allah bagi rezeki kepada saya dan seluruh warga kerja kebelakangan ini, Subhanallah tak terkata hebatnya," luahnya lagi.

Dalam pada itu, Iddin tetap bersyukur apabila rata-rata komen di media sosial memuji tindakannya itu.

Kata Iddin, dia tak sangka video yang dirakam di bazar Ramadan Seberang Jaya itu akan menjadi tular.

"Pada semua yang mendoakan kebaikan kepada saya, terima kasih. Pastinya Allah mengangkat doa kalian terlebih dahulu.

"Terima kasih juga kepada semua pihak yang memberi perhatian kepada usaha murni saya ini. Hanya Allah dapat membalasnya," ujar Iddin lagi.

Tambahnya lagi, dia berharap agar peniaga bazar Ramadan di seluruh pelusuk tanah air agar terus tabah dalam mencari rezeki.

"Saya harap peniaga-peniaga bazar Ramadan yang berada di pelusuk manapun agar tak putus semangat untuk terus mencari rezeki yang halal.

"Terima kasih kerana bersusah payah menyediakan hidangan buat kami semua yang tak sempat masak ekoran kesibukan kerja," jelasnya lagi.

Selain dikongsi menerusi Instagram miliknya, video Iddin turut dikongsi di Twitter dan sehingga kini meraih lebih 214,000 tontonan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Covid-19: 70 kilang diarah tutup