suria

Order ‘kencang’ dari pagi sampai malam... video sayu peniaga dikompaun selepas jual 5 botol air terima 1.3 juta tontonan!

Video Azri dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa menerima lebih 1.3 juta tontonan di Twitter.

HASRAT seorang pelajar yang mahu berniaga minuman di sebuah taman rekreasi terbantut apabila dia dikompaun oleh pihak berkuasa.

Menerusi satu video tular, Muhammad Azri Hanafi, 21, didatangi beberapa pegawai penguatkasa sebelum dikenakan kompaun RM300 akibat menjalankan perniagaan di kawasan yang dilarang.

Bercerita kepada mStar, peniaga minuman Aroi Bang yang mesra disapa Azri itu tidak menyalahkan pihak tersebut sebaliknya akur dengan kesilapan dirinya, dalam kejadian yang berlaku sekitar dua minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dugaan paling besar sepanjang 24 tahun berniaga” - Peniaga pasar malam akui terpaksa pelan-pelan kayuh selepas PKP

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu kerja OK, kini jual keropok lekor! Pemuda hilang kerja tak sangka satu mesej WhatsApp daripada abangnya mampu buka rezeki

"Saya baru buka kereta, sempat berniaga sekejap sahaja di kawasan tasik tu. Masa kena saman tu, saya baru jual lima botol.

"Saya dikompaun sebab berniaga di tempat tak sepatutnya. Tapi salah saya juga, saya tak tahu bahawa tak dibenarkan berniaga di situ.

"Saya tak salahkan mana-mana pihak. InsyaAllah saman itu akan dibayar dalam masa secepat mungkin," ujarnya.

Azri akur dengan kesilapannya tempoh hari dan tidak menyalahkan pihak berkuasa.

Menerima banyak komen simpati daripada netizen atas nasib menimpa dirinya, Azri menganggap apa yang berlaku sebagai dugaan dan melihat ia dari sudut positif sahaja.

"Saya anggap sebagai dugaan, pasti ada hikmahnya. Dalam berniaga, kita tak terlepas menghadapi cabaran.

Walaupun kena saman, saya yakin ada benda lagi baik Allah nak bagi.

MUHAMMAD AZRI HANAFI

"Alhamdulillah, selepas video viral, order masuk tak berhenti dari pagi sampai malam. Ia bukan sahaja rezeki untuk saya malah untuk ejen-ejen lain juga.

"InsyaAllah, rezeki Allah kita tak boleh nak jangka. Walaupun kena saman, saya yakin ada benda lagi baik Allah nak bagi," ujarnya yang mula menjadi ejen pengedar minuman berkenaan sejak dua bulan lalu.

Menurut penuntut bidang Matematik Pengurusan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, dia komited dalam menjalankan perniagaan di usia muda bagi mencari pendapatan sampingan.

Azri mula menjadi ejen minuman ini bermula dua bulan lalu.

Malah, dia berharap kejadian tempoh hari bakal membuka pintu rezeki yang lebih luas buatnya pada masa akan datang.

"Pada usia muda kita ada pelbagai kemahuan. Saya pun ada kerja sambilan di sebuah pusat beli belah selama tiga hari seminggu.

"Hari-hari lain saya boleh fokus berniaga. Kebetulan pula saya cuti semester baru-baru ini," ujarnya yang menetap di Selangor.

Azri anggap apa yang berlaku sebagai dugaan buatnya.

Tambah Azri, dia juga segan untuk meminta wang belanja daripada kedua ibu bapa memandangkan kini sudah menginjak ke usia dewasa.

Dalam pada itu, video melibatkan Azri yang dimuat naik oleh rakannya dikenali sebagai Iskandar di Twitter menerima lebih 1.3 juta tontonan.

Menurut Azri, Iskandar yang turut terlibat dalam perniagaan minuman berkenaan berkunjung ke tapak jualan tersebut dan sempat membuat rakaman video tatkala dia dikenakan kompaun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain