suria

Rezeki 6 beranak, seluruh rumah diubah suai selepas ahli perniagaan pijak ‘lantai lembut’ ketika buat lawatan - “Saya yakin dia nampak sesuatu dalam keluarga ini”

Rezeki enam beranak... bukan sahaja mendapat dapur baharu, malah seluruh kediaman turut diubah suai hasil sumbangan orang ramai dan seorang ahli perniagaan. Foto: Natipah Abu

BENARLAH, soal rezeki manusia diaturkan oleh Yang Maha Esa.

Jika sudah tertulis, tiada siapa pun yang dapat menghalangnya.

Demikian kisah yang dikongsikan oleh seorang aktivis masyarakat, Natipah Abu mengenai sebuah keluarga yang pernah disantuni pasukannya sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapur lantai tanah, langsir pisahkan bilik... sikit pun tak geli jejak rumah daif 6 sekeluarga ini - “Susunan baju melambangkan disiplin kuat”

ARTIKEL BERKAITAN: Sengaja buat spot check, guru terkejut lihat rumah 3 beranak asnaf yang pernah dibantunya! - “Dulu tinggal di stor kecil sempit bertiga”

Keluarga enam beranak ini pernah mendapat perhatian pihaknya sebelum ini yang mana dana yang disumbangkan orang ramai disalurkan untuk membiayai kos baik pulih dapur mereka yang daif.

Apa yang menarik mengenai keluarga ini, rumah mereka begitu bersih dan kemas, baik di bahagian dapur mahupun bilik tidur, walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan.



Kisah enam beranak dari Baling, Kedah yang hidup dalam keadaan serba kekurangan mendapat perhatian seorang ahli perniagaan.

Kisah keluarga yang terdiri daripada pasangan suami isteri muda bersama empat anak mereka ini pernah disiarkan di mStar, Ogos lalu.

Namun siapa sangka, keluarga ini bukan sahaja mendapat dapur baharu yang selesa, malah seluruh kediaman mereka juga diubah suai menjadi lebih besar dan cantik.

Menurut Natipah, keluarga yang menetap di daerah Baling, Kedah ini mendapat perhatian seorang hamba Allah selepas kisah mereka tular, lantas bermurah hati menyuarakan hasrat mahu menanggung kos ubah suai seluruh kediaman.



Keadaan bilik dan dapur yang kemas sungguhpun tidak selesa dan semewah keluarga lain.

"Saya panggil hamba Allah itu 'Abang Beras' sebab dia ada kilang beras. Saya ingat dia dah pencen sebab usianya lewat 50-an, rupa-rupanya dia seorang ahli perniagaan.

"Kami langsung tak kenal antara satu sama lain. Tapi saya yakin bahawa dia nampak 'sesuatu' di dalam keluarga ini. Dan dia menghantar mesej (PM) kepada saya sendiri," kata wanita berusia 47 tahun itu.

Saya panggil hamba Allah itu 'Abang Beras' sebab dia ada kilang beras. Saya ingat dia dah pencen sebab usianya lewat 50-an, rupa-rupanya dia seorang ahli perniagaan.

NATIPAH ABU

AKTIVIS MASYARAKAT

Cerita Natipah, ahli perniagaan itu turut meluangkan masa untuk melawat kediaman keluarga berkenaan sebelum ini.

"Ketika lawatan ke rumah itu, kita pun menerangkan kepada hamba Allah tersebut tentang matlamat kita untuk menyiapkan dapur itu seadanya.

"Melangkah masuk ke ruang tamu rumah itu, kaki kami memijak lantai yang lembut. Rupa-rupanya kata pasangan suami isteri itu, ia pasir yang dicampur dan digaul dengan simen. Pasir yang banyak sebab mereka tak ada duit nak buat lantai simen," ceritanya.



Bahagian dapur sebelum dan selepas diubah suai.

Tambah Natipah, sebaik sahaja mendengar penerangan berkenaan, ahli perniagaan itu terus menyatakan hasrat untuk menanggung semua kos untuk mengubah suai kediaman keluarga tersebut.

"Katanya, Cik Pah (Natipah) buat bahagian dapur. Yang lain saya buat semua. Saya tanggung," cerita wanita ini lagi.

Menurutnya, ahli perniagaan tersebut mempunyai alasan tersendiri di sebalik keputusannya menanggung kos pembiayaan ubah suai kediaman keluarga berkenaan.

"Saya suka orang yang pembersih. Kalau kita bagi pada orang macam ni, dia akan hargai dan jaga pemberian kita dengan elok. Semoga dengan rezeki rumah baru ni, akan meningkatkan ketakwaan mereka kepada Allah. Inilah amal jariah saya untuk kedua arwah ayah bonda saya," cerita Natipah mengimbas kembali kata-kata ahli perniagaan berkenaan.



Natipah (kiri) aktif terlibat dengan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan sejak 10 tahun lalu.

Menurut Natipah, kerja-kerja pembinaan yang bermula pada 17 Ogos itu telah berakhir dan rumah tersebut siap sepenuhnya pada 10 Oktober lalu.

"Kita tetap dengan akad kita, menyiapkan dapur. Yang lain, datangnya dari Hamba Allah itu yang memang hajatnya untuk keluarga tersebut.

"Apa hak kita untuk menghalang dan mempersoalkan tentang rezeki yang telah Allah kirim buat mereka," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain