suria

Raya PKP kembali lagi... 4 beradik imbas saat hanya mampu tatap wajah tersayang di skrin telefon, walau dah berpakat tapi plan gagal dek kata-kata si ibu di pagi Syawal!

Jauh dimata, tetapi dekat di hati.

Itulah gambaran yang paling sesuai diungkapkan bagi mereka yang terpaksa berjauhan dari keluarga.

Walaupun jarang berjumpa, tetapi sekarang kita ada kemudahan seperti telefon pintar untuk membuat panggilan video jika rindu melihat wajah insan tersayang

Bagi Kamaria Subir, 22, itulah yang menjadi medium untuk dia dan abangnya Lokman Hakim, 25, menyambut Syawal pertama berjauhan dari keluarga disebabkan PKP pada tahun lalu.

Rakaman video saat masing-masing memohon keampunan kedua orang tua di kampung di pagi yang mulia itu meraih 41,000 tontonan di aplikasi TikTok dan netizen turut sama berasa sedih.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah gaduh selama 5 tahun duduk sebilik, 2 sahabat buat drama air mata di hujung semester - “Kami macam tak ready lagi nak pisah”

ARTIKEL BERKAITAN: Suami menangis dapat lepas rindu makan gulai ayam ala masakan ibu, hakikatnya isteri hanya masak guna rempah frozen tahun lepas

Menurut Kamaria, itu adalah kali pertama dia menyambut Syawal berjauhan daripada keluarganya yang menetap di Kampung Sri Makmur, Pagoh, Johor, disebabkan larangan merentas negeri sekali gus anak ketujuh daripada lapan beradik itu beraya bersama tiga saudaranya yang lain serta kakak ipar di Puncak Alam, Selangor.

"Saya tak sangka pun akan menjadi begitu sedih dan mudah tersentuh bila tiba waktu pagi raya tu. Sebab sebelum itu kami dah berpakat untuk tak nak menangis depan mak ayah. Kalau boleh tak nak mereka sedih.

"Dah la memang mak terasa hati sebab tak dapat balik. Dia siap cakap lagi 'kalau nak rasa mak masak, baliklah'. Waktu tu memang dah tak boleh tahan lagi.

"Cakap sikit je terus mengalir air mata sampai abang pun tak dapat nak sorok lagi perasaan dia. Mak pula sebak tengok kami adik beradik menangis masa video call," katanya yang lebih setahun menetap di Selangor.

Kamaria (kanan) beraya bersama adik beradik yang lain disebabkan PKP pada tahun 2020.

Oleh kerana ketiadaan ibu disisinya pada tahun itu, segala persiapan raya terpaksa dilakukan mereka empat beradik yang terkandas di Selangor.

Kamaria memberitahu, tugas menyediakan hidangan raya yang selalunya diketuai ibu mereka kini diambil alih oleh Lokman.

"Selalunya mak yang akan sibuk memasak, saya cuma tolong potong-potong bahan je. Tapi sebab kali ni tak dapat balik kampung, jadi semua benda kena buat sendiri.

"Bab memasak ni abanglah yang banyak tolong sebab dia memang pandai memasak, sampai pagi buta kami bersengkang mata siapkan lauk raya.

"Memanglah seronok sebab masih dapat berkumpul dengan adik beradik masak bersama tapi tetap tak sama macam bila ada mak ayah dengan kita. Lauk pun tak rasa sama macam mana mak masak" katanya yang bekerja sebagai pembantu akauntan di syarikat perabot milik Lokman.

Walaupun bising sebab ada ramai orang, tapi itulah vibe malam raya yang saya mahukan. Dapat tolong mak masak lauk raya, tengok ayah bakar lemang di luar rumah.

KAMARIA SUBIR

Menurut Kamaria, ada banyak perkara yang ingin dilakukan jika dia diberi peluang untuk pulang ke kampung dan menyambut Syawal bersama keluarganya.

Salah satu daripadanya tentu sekali bermaaf-maafan selepas selesai solat sunat Aidilfitri dan makan lauk kegemaran yang dimasak oleh ibu iaitu kari daging.

"Saya paling rindu suasana malam raya yang riuh rendah sebab adik beradik saya ramai, lepas tu tambah lagi dengan abang dan kakak ipar serta enam orang anak saudara.

"Walaupun bising sebab ada ramai orang, tapi itulah vibe malam raya yang saya mahukan. Dapat tolong mak masak lauk raya, tengok ayah bakar lemang di luar rumah.

Kali terakhir mereka dapat menyambut Syawal beramai-ramai di Kampung Sri Makmur, Pagoh, Johor.

"Selalu kalau lepas solat raya je mesti kami semua berkumpul dalam bulatan dan ayah akan membacakan doa sebagai tanda kesyukuran dapat bersama-sama sekeluarga di pagi Syawal. Memang sedih la kalau saya tak dapat nak bersama mereka lagi tahun ni," ujarnya kepada mStar.

Seperti rakyat Malaysia yang lain, Kamaria juga berharap agar tahun ini dia berpeluang untuk kembali ke pangkuan keluarga tercinta dan menyambut hari raya bersama-sama.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
PKP, Syawal, balik kampung, malam raya, Johor, lemang,

Artikel Lain