suria

Suami menangis dapat lepas rindu makan gulai ayam ala masakan ibu, hakikatnya isteri hanya masak guna rempah frozen tahun lepas

Terlalu merindui masakan ibu, suami Siti Sarah mengalirkan air mata selepas menjamah gulai ayam Terengganu masakannya.

LUMRAH anak perantau, apabila tibanya bulan Ramadan, pasti ingatan dan rasa rindu kepada ibu bapa begitu membuak-buak.

Sejak Ramadan mula menjengah beberapa hari lalu, kita dapat melihat perkongsian netizen di media sosial yang rata-ratanya meluahkan rasa rindu untuk pulang ke kampung apatah lagi selepas beberapa bulan tidak dapat merentas negeri gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bukan sahaja merindui insan tersayang, malah rata-ratanya berkongsi rasa sebak apabila tidak berpeluang menikmati juadah air tangan ibu sendiri seperti sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak terkedu, penantian 2 tahun berakhir! Ibu akhirnya ada kekuatan masak semangkuk kari ayam selepas sakit tanggung rindu kepada bapa

ARTIKEL BERKAITAN: “Suapan pertama tu aku rasa lain sangat” - Anak lelaki imbas detik pilu jamah nasi lemak terakhir air tangan ibu, siap kongsi adik-beradik

Baru-baru ini tular satu video di TikTok memaparkan seorang isteri cuba menyediakan gulai ayam Terengganu sebagai juadah berbuka puasa, bagi mengubati kerinduan suaminya yang sekian lama tidak dapat pulang ke kampung halaman.

Tanpa disangka, si suami menitiskan air mata sebaik sahaja menyuap nasi bersama hidangan tersebut kerana terlalu rindu dengan masakan ibunya.

Video penuh meruntun hati itu sehingga kini meraih lebih 184,000 tontonan malah rata-rata netizen turut berkongsi rasa sebak.



Suami Siti Sarah sebak selepas menyuap nasi bersama gulai ayam Terengganu kegemarannya.

Menurut Siti Sarah Abdul Shukor, dia cuba menyediakan gulai ayam Terengganu kegemaran suaminya, Muhammad Nasiruddin Muhamad sebagai juadah berbuka puasa memandangkan lelaki itu beberapa kali mengadu rindu mahu merasai air tangan ibunya.

"Ada beberapa kali suami kata nak makan gulai ayam Terengganu tapi ketika itu saya sedikit sibuk. Jadi masa bulan puasa, saya banyak luangkan masa dengan suami.

"Saya teringat ibu mentua ada bekalkan rempah gulai yang sudah disejuk beku sewaktu kami pulang ke Terenggganu tahun lalu. Terus saya keluarkan dari peti ais. Bimbang juga rosak sebab lama tapi saya nak cuba masak dulu... kalau rosak, tak ada rezekilah.

"Masa masak, suami sedang lelap selepas pulang kerja. Aroma gulai tu bau satu rumah! Dia bangun tidur terus pergi ke dapur sambil cakap 'sedapnya bau'. Tiba waktu berbuka, saat dia suap nasi dan gulai ayam tu, serta merta air matanya mengalir sebab sebak.



Siti Sarah (dua, kiri) banyak mempelajari resepi masakan Terengganu daripada ibu mentuanya.

"Saya jarang bawa telefon bimbit ke meja makan, tapi hari tu ada letak di tepi... saya pun rekod gelagatnya. Sambil sebak tu dia puji 'sedap sangat... sebiji macam mak buat'," cerita wanita berusia 25 tahun ini.

Menurut Siti Sarah, dia kemudian berkongsi video tersebut kepada ibu mentuanya dan lebih sayu, wanita tersebut turut mengalirkan air mata kerana sebak mengenangkan anak menantunya yang menetap jauh di Pulau Pinang.

"Ibu mentua juga hantar resepi dan dan cara memasak ikut style dia. Saya ada belajar dengan ibu mentua sebelum ini, tapi memang takkan sama seperti air tangannya.

Aroma gulai tu bau satu rumah! Dia bangun tidur terus pergi ke dapur sambil cakap 'sedapnya bau'.

SITI SARAH ABDUL SHUKOR

ISTERI

"Dah hampir setahun tak pulang ke sana, memang suami selalu cakap rindu nak balik kampung. Kebiasaannya kami akan ke Terengganu ketika awal atau penghujung Ramadan. Nampaknya tahun ini tak ada peluang.

"Kalau balik ke sana, boleh dikatakan setiap hari ibu mentua akan masak gulai sebab ia makanan kegemaran suami," ujarnya yang menjalankan bisnes berasaskan perkhidmatan penghantaran istimewa (surprise delivery).

Bercerita mengenai suaminya, Siti Sarah berkata lelaki yang dikahwininya empata tahun lalu itu seorang yang sangat mudah tersentuh.

"Suami anak sulung lelaki dalam keluarganya, sebab itu dia rapat dengan ibu bapa. Lagi pula adik beradik lain tinggal di Terengganu, hanya dia dan seorang kakaknya yang menetap jauh... sebab itu dia 'touching'.



Muhammad Nasiruddin bersama ibu (kanan) dan ibu mentuanya.

"Kalau dia rindu dengan ibu ayahnya, dia akan ajak saya pulang ke kampung ibu bapa saya di Kuala Kangsar. Sedikit sebanyak terubat kerinduan," katanya lagi.

Tidak menyangka sama sekali perkongsian tersebut menjadi tular, Siti Sarah berkata dia hanya mahu berkongsi momen bermakna itu di media sosial untuk dijadikan kenangan.

"Ramai yang kongsi cerita yang serupa... masing-masing merindui ibu bapa. Ada yang kata, ibu mereka dah tak ada. Sebak pula rasanya.

"Bagi yang tiada halangan, pulanglah bertemu keluarga... gunakan Ramadan untuk eratkan silaturrahim. Kalau ada kecil hati sesama ibu bapa atau adik beradik, ketepikan. Buang yang keruh, ambil yang jernih," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain