suria

Anak terkedu, penantian 2 tahun berakhir! Ibu akhirnya ada kekuatan masak semangkuk kari ayam selepas sakit tanggung rindu kepada bapa

Ibu Azian, Esah Idris tidak mampu memasak sejak pemergian arwah bapanya, Sharifuldin Ismail pada 2018, namun baru-baru ini membuat kejutan apabila memasak kari ayam.

KEHILANGAN teman hidup yang 'pergi' dijemput Ilahi sememangnya hakikat yang perit untuk diterima.

Bayangkan selama berpuluh-puluh tahun hidup bersama, sudah pastinya kehilangan suami atau isteri ibarat separuh nyawa turut dibawa pergi.

Seorang pelayar berkongsi kisah penuh menyentuh hati, yang mana ibunya membuat kejutan apabila memasak buat kali pertama selepas pemergian bapa kesayangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sama-sama tak tahan rindu, isteri bawa ‘anak angkat’ ziarah kubur suami baru meninggal 4 hari - “Memang lain sangat gelagatnya malam tu”

ARTIKEL BERKAITAN:“Saya tak kuat nak naik pentas” - Sayu, isteri dedah suami berahsia sambung master sebab ‘takut malu’, meninggal selepas 4 hari disahkan kanser

"Salam Maghrib... 13 hari menuju Ramadan. Hanya nak share kegembiraan lauk pertama emak masak kembali setelah dua tahun abah pergi tinggalkan mak. Al-Fatihah abah.

"Kasih sayang suami isteri memang ke syurga Ilahi. Sebak balik kerja ada lauk kari ayam... rindu terubat nak makan mak masak. Mak cakap 'mak masak dik'. Air mata mengalir, nasi bertambah," demikian tulis pelayar itu dalam perkongsian di laman Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni.

Sehingga kini posting tersebut meraih lebih 10,000 likes selain dibanjiri komen netizen yang rata-ratanya turut sebak seolah-olah dapat menyelami perasaan pelayar tersebut.

Berkongsi cerita dengan mStar, Azian Sharifuldin, 34, berkata dia membuat perkongsian tersebut bagi berkongsi kegembiraan selepas sekian lama terlalu merindui air tangan ibunya.

Menurut Azian, bapanya Allahyarham Sharifuldin Ismail, 71, meninggal dunia pada 2018 kerana serangan jantung dan sejak itu ibunya, Esah Idris mula menunjukkan perubahan sikap sedikit demi sedikit.



Perkongsian Azian yang dibuat di laman Masak Apa Tak Jadi Hari Ni.

"Saya sememangnya tinggal bersama dengan ibu dan abah di Felda Jengka 4, Pahang. Adik beradik lain tinggal berjauhan. Jadi saya yang melihat apa perubahan mak. Mak mula murung, dan memang tak ke dapur dah... apa yang dia buat pasti mengingatkannya dengan arwah abah.

"Dia pegang sudip, siang ikan pun air mata mengalir. Saya yang masak atau akan bawa dia makan di luar untuk lupakan kesedihan. Tapi makanan pun sikit saja disentuhnya.

"Mak dan arwah abah dah 56 tahun hidup bersama. Datang membina hidup sebagai peneroka di sini... segala susah senang dilalui bersama. Sebab itu dia jadi murung sebab terlalu rindu," kata Azian yang merupakan anak ke-9 daripada 10 adik beradik.

Lebih menambahkan kesedihan ibunya, Azian berkata selepas 100 hari bapanya meninggal dunia, keluarga mereka sekali lagi diuji apabila kakak yang ketiga pula menghembuskan nafas terakhir.



Azian bersama ibunya, Esah Idris dan bapa, Allahyarham Sharifuldin Ismail.

"Kami adik beradik cuba buat macam-macam termasuk bawa bertemu doktor namun menurut mereka, ibu macam tu sebab kesedihan. Mak solat, mengaji semua cukup tapi dia tanggung rindu. Kami cuba alternatif lain juga contohnya penggunaan 'essential oil' untuk ketenangan.

"Mak sedih sebab hilang orang tersayang... tambah-tambah pula masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adik beradik saya yang lain tak boleh merentas negeri. Makin sunyilah dan rumah tu tak meriah.

"Awal bulan lalu mak tiba-tiba diserang minor strok. Terus saya hubungi adik beradik lain. Kami memang rapat dan Alhamdulillah, semua usahakan pulang, mohon surat rentas untuk tengok mak," cerita Azian yang juga staf Arrahnu YaPEIM Maran.

Kami adik beradik cuba buat macam-macam termasuk bawa bertemu doktor namun menurut mereka, ibu macam tu sebab kesedihan.

AZIAN SHARIFULDIN

ANAK

Tambah Azian, keadaan ibunya beransur-ansur sembuh dan lebih membuatkannya gembira apabila ibunya membuat kejutan dengan memasak kari ayam baru-baru ini selepas sekian lama tidak berbuat demikian.

"Masa itu lewat petang, saya baru sampai rumah dari tempat kerja. Bila nampak saya, mak beritahu 'adik, mak masak'. Dalam hati masa tu sukar nak percaya tapi bila buka tudung saji, nampak semangkuk kari ayam.

"Memang saya terkedu dan sebak. Terus saya ambil telefon bimbit dan beritahunya, saya nak tangkap gambar dan minta kebenaran nak kongsi di media sosial. Masa tu memang menangis.... terlalu rindu nak rasa air tangan mak, nak mak kembali seperti dulu.



Antara komen netien yang terkesan dengan perkongsian Azian.

"Saya tak sangka perkongsian tu viral. Ramai juga yang share kisah masing-masing. Tapi yang terharu, terlalu ramai mendoakan dan beri kata-kata sokongan. Saya bacakan komen-komen tu pada mak dan dia tersenyum.

"Terima kasih sangat pada ahli grup Masak Apa Tak Jadi Hari Ni atas komen dan doa semua. Tapi jika ada yang terguris hati, saya mohon maaf," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain