suria

Sama-sama tak tahan rindu, isteri bawa ‘anak angkat’ ziarah kubur suami baru meninggal 4 hari - “Memang lain sangat gelagatnya malam tu”

Ayang Rafeeca membawa kucing kesayangannya dan arwah suami ke pusara lelaki itu untuk melepas rindu.

KISAH keakraban antara si bulus dengan pemiliknya seringkali dikongsikan di media sosial, sehingga meruntun jiwa netizen.

Antara perkongsian paling menyentuh hati yang pernah menjadi tular adalah kisah haiwan berkenaan yang kerap kali menziarahi pusara meskipun pemiliknya sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Begitulah juga dengan kisah yang dikongsikan oleh seorang pelayar ini di Facebook, yang mana dia membawa si bulus kesayangan menziarahi pusara suaminya yang meninggal dunia lima hari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 2 tahun kucing tak jemu ziarah kubur tuannya, hanya balik masa lapar... menantu dedah kebaikan arwah bapa mentua - “Abah tak manjakan Nana pun”

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita pertaruh nyawa selamatkan kucing kesayangan dibelit ular sawa, geli geleman sampai termuntah... Kini reda dah 2 tahun menghilang - “Memang takkan saya lupakan”

"Kita dah empat hari tak tengok bapak. Kita rindu. Mama bawak kita jumpa bapak tapi bapak tak ada. Mama cakap, ni lah rumah bapak baru... jangan buat sepah," demikian antara coretan pada posting yang dikongsikan pada 16 Februari.

Posting yang dimuat naik oleh pelayar bernama Ayang Rafeeca di grup Facebook Kucing Sepahkan Apa Hari Ini ternyata mengundang rasa sebak netizen, di mana ketika ini ia sudah meraih hampir 1,000 shares dan ratusan komen.



Ayang Rafeeqa membawa Mao Mao menziarahi pusara suaminya kali pertama selepas arwah meninggal dunia pada 13 Februari lalu.

Ketika berkongsi cerita bersama mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ayang Rafeeca berkata, itulah pertama kali dia membawa kucing kesayangan, Mao Mao menziarahi pusara arwah suaminya, Muhammad Isa Ng yang meninggal dunia pada 13 Februari lalu.

"Genap empat hari arwah suami meninggal, pagi hari itu saya terlalu sedih dan menangis kerana terlalu rindukan arwah. Namun ketika itu masih iddah, lalu saya bertanya pendapat kakak angkat sama ada boleh menziarahi pusara arwah.

"Saya hanya mahu lepaskan rindu dan bawa sekali Mao Mao, kucing kesayangan kami berdua. Itulah kali pertama Mao Mao ziarah pusara 'bapaknya'. Sebaik saja saya keluarkan daripada beg khas, dia terus bermain-main di pusara... cium haruman daun pandan. Mungkin dia juga rindu pada bapaknya.

"Saya kongsikan di media sosial namun benar-benar tak sangka ia viral. Niat saya cuma satu, moga yang melihat posting itu turut mendoakan arwah suami saya... tiada langung niat lain. Terima kasih kerana ramai yang doakan dan sampaikan ucapan takziah," ujarnya yang menetap di Samarahan, Sarawak.



Gelagat Mao Mao seolah-olah merindui 'bapak' kesayangannya.

Menurut wanita berusia 35 tahun ini, Mao Mao yang dipelihara sejak 2015 terlalu istimewa buat dirinya dan arwah suami.

"Inilah kucing pertama yang kami pelihara untuk ubati kesedihan selepas saya keguguran. Kiranya seperti anak angkatlah. Mao Mao adalah kucing baka 'British Long Hair'.

"Mao Mao sangat manja dengan kami berdua... tidur pun di tengah-tengah. Tidak lama kemudian, barulah kami beransur-ansur memelihara lima lagi kucing lain sebagai kawan Mao Mao," ujarnya yang berasal dari Indonesia.

Bercerita mengenai pemergian suami, Ayang Rafeeca berkata dia sehingga kini masih terkesan dan bersedih kerana arwah pergi secara mengejut.

Selepas arwah meninggal, saya pulang sebentar ke rumah. Buka saja pintu, nampak Mao Mao duduk saja tak aktif... selalunya kalau saya pulang, dia akan datang meluru.

AYANG RAFEECA

PEMILIK MAO MAO

"Arwah suami memang ada masalah jantung. Malam hari kejadian, kami makan-makan dan menonton televisyen... keadaannya sihat sahaja. Setengah jam kemudian, arwah mengadu sukar bernafas. Saya tanya, sakit jantung ke? Namun arwah kata bukan.

"Lalu saya ajak ke hospital, namun arwah menolak dan ajak ke farmasi saja sebab nak beli ubat asma... malangnya farmasi tutup. Kami pulang ke rumah semula dan keadaannya menjadi teruk selepas itu. Lalu saya berkeras supaya ke hospital... akhirnya arwah akur.

"Namun sebaik tiba di pintu masuk, arwah menghembuskan nafas terakhir. Arwah sepatutnya jalani pembedahan Oktober nanti, namun ajalnya tiba lebih awal," ceritanya.



Selain Mao Mao, Ayang Rafeeca turut memelihara lima ekor kucing lain.

Tambah wanita ini lagi, pada malam tersebut juga, Mao Mao juga menunjukkan kelakuan yang sangat aneh seolah-olah turut merasai kesedihan atas pemergian 'bapak' kesayangannya.

"Selepas arwah meninggal, saya pulang sebentar ke rumah. Buka saja pintu, nampak Mao Mao duduk saja tak aktif... selalunya kalau saya pulang, dia akan datang meluru.

"Saya pergi dan peluknya sambil menangis sambil berkata 'Mao Mao, bapak dah tak ada. Jangan sedih ya. Sekarang tinggal kita saja'. Memang lain sangat gelagatnya malam itu," ceritanya dalam nada sebak.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Ayang Rafeeca berkata dia terlalu terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh netizen.



Netizen turut meluahkan rasa sedih dengan kisah yang dikongsikan oleh Ayang Rafeeca.

"Saya bukan saja bersyukur dikurniakan suami dan keluarga mentua yang sangat baik, malah bersyukur apabila ramai netizen turut sama mendoakan arwah.

"Malah, ramai yang hantar Direct Message (DM) sampaikan ucapan takziah, mahu jadi kawan dan ada juga yang nak berikan bekalan makanan kepada Mao Mao. Namun saya menolaknya kerana bukan niat saya mahu raih simpati.

"Saya berterima kasih kepada seluruh netizen yang tak henti-henti mendoakan arwah suami dan berikan kata-kata semangat buat saya," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain