suria

Minta rentas negeri tapi ‘tak lepas’, 3 beranak menangis jumpa di sempadan disaksikan abang polis... juadah air tangan ibu ubat rindu anak

Farisya rakam detik pertemuan bersama ibu bapanya di sempadan Kedah/Perlis. Foto kanan menunjukkan masakan ibunya iaitu sambal sotong dan ketam berempah.

LARANGAN merentas negeri ternyata memberikan dugaan yang cukup hebat bagi mereka yang tinggal berjauhan dengan insan tersayang.

Menerusi satu video di aplikasi TikTok, seorang gadis melepaskan rindu dengan bertemu ibu bapanya di sempadan negeri, dekat sekatan jalan raya oleh pihak polis.

"Rindunya ya Allah. Aku nak balik Kedah pun tak boleh, ma abah nak datang Perlis pun tak boleh. Jadi kami decide untuk jumpa dekat sempadan Kedah/Perlis," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami dipanggil bekerja ketika usia perkahwinan genap setahun, usia anak 44 hari! Selat Tebrau saksi 'pertemuan emosi' dengan isteri - "Tiga kali ‘hujan’ petang tu"

ARTIKEL BERKAITAN: Adik menangis lagi, sayu hati imbau momen usap pipi abang di sebalik kawat duri - "Tak dapat peluk, tak dapat cium... hulur tangan pun jadilah"

Gadis berkenaan, Nur Nadiatul Farisya Muhammad Mahiri memberitahu, video tersebut dirakamkan secara spontan ketika bertemu dengan ibu bapanya dekat pintu gerbang di sempadan Kedah dan Perlis, petang Jumaat lalu.



Farisya merupakan atlet olahraga bagi acara lempar cakera.

Lebih mesra disapa Farisya, katanya, kali terakhir dia pulang ke kampung halaman di Alor Setar, Kedah pada Disember tahun lalu sebelum pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 2.0 dan larangan rentas negeri.

"Saya ada cuba memohon kebenaran daripada polis untuk pulang ke kampung tapi tak lepas, begitu juga mak ayah ada buat perkara yang sama pun tak lepas.

"Sekarang ni pihak berkuasa telah mengetatkan syarat untuk merentas negeri walaupun di sebelah negeri seperti Kedah dan Perlis, iaitu hanya kes-kes kecemasan sahaja yang dibenarkan," kata gadis berusia 20 tahun itu kepada mStar.

Farisya berkata, dia hidup berdikari selama kira-kira tujuh tahun apabila menjadi atlet olahraga bagi acara lempar cakera, dan kini menjalani latihan di Kangar, Perlis.



Farisya (kanan) bersama ibu.

"Kebiasaannya saya pulang ke kampung jumpa mak ayah pada setiap hujung minggu sekiranya ada kelapangan memandangkan Kangar dan Alor Setar di bersebelahan negeri.

"Jika sebelum ini setiap kali tibanya Ramadan, kami atlet masing-masing dibenarkan pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama keluarga pada hari pertama.

"Tahun lepas kami diarahkan balik ke kampung disebabkan PKP yang pertama, jadi dapatlah bersama keluarga sepanjang Ramadan. Tapi ini adalah pertama kali saya dan lain-lain terpaksa berbuka puasa tanpa keluarga. Memang sedih," ujarnya.

Jika sebelum ini setiap kali tibanya Ramadan, kami atlet masing-masing dibenarkan pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama keluarga pada hari pertama.

FARISYA

Namun, menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, kerinduannya terhadap ibu dan bapanya masing-masing berusia 49 tahun dan 51 tahun tidak dapat bertahan lagi, selepas beberapa hari dalam Ramadan.

"Sebelum ini setiap kali balik kampung, mak akan masakkan makanan kegemaran saya iaitu sambal sotong dan ketam berempah. Masakan mak paling best.

"Jadi, saya minta mak ayah untuk bawakan sambal sotong dan ketam berempah untuk juadah saya berbuka puasa, dan bertemu dekat dengan pintu gerbang sempadan Kedah/Perlis," ujarnya.



Farisya (kiri) bersama bapa.

Farisya berkata, pertemuan singkat kurang 30 minit itu cukup bermakna buat dirinya dan ibu bapanya yang dapat melepaskan rindu di sempadan negeri.

"Bukan setakat saya dan mak menangis, ayah pun menangis sama. Nenek ada ikut tapi hanya tunggu dari kereta yang diletakkan kira-kira 100 meter dekat sebuah restoran. Kami kemudian baru tahu polis benarkan untuk bawa kereta dekat sikit sebab ada tempat untuk parkir.

"Saya lambai tangan kat nenek dan nampak nenek lambai balik. Mak ayah ada pesan untuk saya sabar dengan macam-macam dugaan. InsyaAllah dengan kesabaran, hujung-hujung nanti ada manisnya.

"Saya masih berharap agar ada kelonggaran untuk merentas negeri berjumpa dengan keluarga di kampung. Apa pun, syukur dapat juga rasa sambal sotong dan ketam berempah, terubat rindu masakan mak," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain