suria

Malang nasib Bibik Sulami, dilanggar motor selepas kematian suami... dah sembuh tak boleh keluar wad pula - “Kami tak ada duit nak bayar”

Bibik Sulami mengalami pendarahan di kepala, patah tulang pinggul dan bahu akibat kemalangan pada awal bulan ini.

SUDAH jatuh ditimpa tangga.

Begitulah kisah pilu melibatkan seorang wanita dikenali sebagai Bibik Sulami yang baru sahaja kehilangan suaminya, Jamil Ahad, 63, akibat serangan jantung sekitar dua bulan lalu.

Terbaharu, wanita berusia 54 tahun itu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kluang, Johor pada 7 September lalu sehingga mengalami pendarahan di kepala, patah tulang pinggul dan bahu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ayam punca kemalangan! Gadis terpaksa dibedah 3 kali, muka tertusuk cermin mata ketika edar taqwim bantu keluarga

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sedih tengok rider ini kemalangan, tapi sahabat dedah mesej dihantar kepadanya sebelum mula kerja 10 kali lebih menyayat hati

Kisah mengenai Bibik Sulami tular di laman sosial apabila anak saudaranya membuat hebahan bagi memohon bantuan derma berhubung kos rawatan di sebuah hospital di negeri itu yang masih belum dilunaskan.

Bercakap kepada mStar, Noor Sakilah Ismail, 24, sempat memperincikan semula kejadian yang menimpa ibu saudaranya yang berasal dari Indonesia itu.

"Arwah pakcik baru meninggal sebelum raya haji hari tu. Kemudian makcik pula kemalangan. Dia naik basikal dan kemalangan dengan sebuah motosikal.

Wanita berusia 54 tahun itu terbaring di jalan raya selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal.

"Dia dimasukkan ke hospital pada 7 September dan sepatutnya discaj semalam (Selasa). Tapi kos rawatan RM6,000, kami tak ada duit nak bayar, jadi makcik masih ada di hospital.

"Sebab makcik pun bukan orang Malaysia. Dari dia kahwin dengan pakcik sampai sekarang dia guna pasport. Rasanya dah lebih 20 tahun mereka kahwin," ujarnya.

Mesra disapa Sakilah, dia mengakui sedih mengenangkan nasib isteri kepada arwah bapa suadaranya itu yang kini terlantar sakit sehingga terpaksa dipakaikan lampin pakai buang.

Lepas pakcik meninggal, makcik berpindah duduk sendirian... tahu-tahu dia kemalangan.

NOOR SAKILAH ISMAIL

Selain dirinya, Ibu Sakilah iaitu Junaidah Ahad, 62 turut susah hati memikirkan nasib kakak iparnya itu.

"Cuma sekarang masalah duit. Perasaan kasihan, sedih, susah hati... kami bukan keluarga senang.

"Makcik dah stabil, cuma tak boleh bangun. Dia terlantar pakai pampers. Makcik dan pakcik tiada anak.

Sakilah sedih dengan nasib yang menimpa isteri kepada arwah bapa saudaranya.

"Masa pakcik sakit dulu, dia dan makcik duduk dengan keluarga saya. Lepas pakcik meninggal, makcik berpindah duduk sendirian... tahu-tahu dia kemalangan.

"Mak memang susah hati. Termenung, mana nak cari duit sebab banyak RM6,000 tu. Mak nak tolong pun, mak tak bekerja," ujar Sakilah lagi.

Menurut Sakilah, bapanya sudah meninggal dunia akibat serangan jantung, empat tahun lalu.

Mempunyai enam adik beradik, dua daripada mereka sudah berkahwin dan tinggal berasingan.

Bibik Sulami baru sahaja kematian suaminya sekitar dua bulan lalu.

Kini, Sakilah bersama tiga lagi adik beradiknya menetap bersama ibu di Kluang.

Menurut Sakilah yang bekerja di sebuah kilang kerepek, sekiranya Bibik Sulami dibenarkan discaj, dia akan dibawa ke kediaman keluarganya dan akan dijaga oleh ibunya.

Dalam pada itu, posting hebahan mengenai kejadian menimpa Bibik Sulami turut menerima lebih 5,000 ulang kicau (Retweet) di Twitter.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain