suria

Dua tahun hidup bersuami, seminggu je bahagia... wanita ini gembirakan diri sendiri selepas berpisah- “Saya nak tamat riwayat sendiri, dia langsung tak ambil kisah”

Aira berkongsi pengalamannya yang bangkit selepas melalui episod duka di dalam hidupnya.

TIDAK ada insan di dunia ini yang mahukan perkahwinan yang dibina musnah di pertengahan jalan.

Namun takdir tuhan tiada siapa yang dapat menghalang.

Begitulah kisah yang dilalui wanita ini apabila mahligai yang dibina terlerai selepas dua tahun diijabkabul.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir setahun dibelenggu depresi, 2 kali jalani ujian mental... gadis ini tepis stigma jumpa psikiatrik ertinya gila - “Kalau bunuh diri, sia sia usaha arwah mama...”

ARTIKEL BERKAITAN: “Inilah kisah paling teruk saya pernah jumpa” - Penceramah dedah kisah wanita depresi hingga nyaris terpesong akidah gara-gara kemelut keluarga

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, wanita ini melalui ujian berganda apabila penceraian berlaku di kala dia masih berjuang dengan masalah kesihatan mental.

Tidak keberatan berkongsi cerita, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aira berkata, sungguhpun dia sedaya upaya cuba untuk mempertahankan mahligai yang dibina namun usahanya gagal disebabkan tidak mendapat kerjasama daripada sebelah pihak lagi.



Aira berkongsi tip bagaimana golongan yang berdepan dengan isu kesihatan mental boleh mendapatkan rawatan menerusi saluran YouTube, Aira Doodle.

"Sebenarnya saya didiagnos menghidap anxiety disorder dan bipolar type II pada 2016. Kami bertemu pada 2017 dan berkahwin pada 2018.

"Sebelum kahwin, saya dah beritahu dan dia sedia maklum mengenai keadaan saya. Tapi dia menerima keadaan saya seadanya. Sebelum berkahwin, layanan dan hubungan sangat okay.

"Namun selepas berkahwin, hanya lebih kurang seminggu saja saya rasa bahagia. Selebihnya hanya saya saja yang tahu apa yang dilalui. Memang bukan calang-calang mental dan emosi terdera," katanya yang juga seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah.



Aira berkongsi pengalamannya ketika bertemu dengan pakar psikiatri.

Tambahnya, disebabkan tekanan yang terlalu hebat, dia pernah cuba beberapa kali untuk menamatkan riwayat sendiri.

"Ada sekali percubaan saya nak tamatkan riwayat sendiri, dia langsung tak ambil kisah. Malah dia tak hantar saya pergi hospital pun. Ibu yang hantar.

"Selama berkahwin pula, hanya tiga kali saja dia teman saya berjumpa dengan doktor untuk temu janji. Kalau diikutkan, saya dah berhenti rawatan pada 2017, tapi terpaksa jumpa doktor semula pada hujung 2019.



Selain keluarga, rakan-rakan merupakan sistem sokongan kuat untuk Aira.

"Ini kerana selepas kahwin, keadaan saya semakin teruk. Akhirnya, dia tak dapat berdepan dengan apa yang saya lalui. Saya ada mengajaknya pergi kaunseling namun dia menolak... akhirnya perkahwinan kami tak dapat dipertahankan, ” kata wanita berusia 27 tahun ini.

Pasangan ini akhirnya sah berpisah pada Jun lalu.

Bercerita lebih lanjut, Aira berkata kehidupannya lebih baik selepas berpisah dengan bekas suami.

Kita tak tahu setiap kisah dan struggle setiap orang, oleh itu jangan cepat menilai jika tak tahu keadaan sebenar.

AIRA

"Jangan salah faham, apa yang saya maksudkan bukan nak menggalakkan orang berpisah. Cuma bagi kes yang memudaratkan jika perkahwinan diteruskan, mungkin perpisahan adalah jalan terakhir yang terpaksa diambil.

"Sebab kebanyakan orang melihat bercerai ni sesuatu yang sangat buruk. Kita tak tahu setiap kisah dan struggle setiap orang, oleh itu jangan cepat menilai jika tak tahu keadaan sebenar," ujarnya.



Aira aktif membuat doodle comics sebagai satu terapi dan juga menyampaikan mesej bermanfaat kepada mereka yang mengalami situasi sepertinya.

Cerita Aira lagi, dia banyak melakukan aktiviti bukan saja untuk memulihkan penyakitnya, malah lebih kepada menggembirakan diri sendiri.

"Saya tunggang kuda, ikuti kelas bahasa Jepun, keluar dengan kawan-kawan... semuanya yang saya tak dapat buat masa kahwin dulu sebab terlalu kena control. Selain itu, saya buat doodle comics yang memang dah lama buat dulu yang saya post di Instagram.

"Terbaharu, saya ada saluran YouTube yang antaranya merakamkan pengalaman mendapatkan rawatan penyakit yang dialami," katanya.

Sama sekali tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular di Twitter malah dihujani kata-kata semangat, Aira meluahkan rasa terharu dengan sokongan dan keprihatinan netizen sungguh pun saling tidak mengenali.



Luahan Aira dalam bentuk doodle yang bertujuan membantu memberi kesedaran mengenai isu kesihatan mental.

"Saya selalu ingat apa yang pakar terapi beritahu... jangan terlalu dikejar kebahagiaan, tapi kejarlah sesuatu yang benar-benar bermakna. Macam saya sendiri, saya nak bantu orang terutama yang senasib, sebab itu saya terbuka di media sosial.

"Contohnya, doodle tu saya buat sebelum bercerai lagi, saluran YouTube saja baru buat. Saya rasa sangat gembira bila ramai yang beri respon positif. Mereka kata sharing saya banyak membuka mata, dan buatkan mereka nak pergi jumpa doktor.

"Jangan segan untuk mencari bantuan pakar. Jangan pendam dan fikir masalah seperti itu hanya kecil. Kalau ia boleh jejaskan kesihatan mental, itu sememangnya layak untuk jumpa pakar," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain