SUAMI kepada pelakon Miera Liyana, Rosland Othman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan pernyataan palsu dikemukakan kepada Bursa Malaysia kira-kira lima tahun lalu.Rosland, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus. Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang ketika itu memegang jawatan pengarah di Sarawak Consolidated Industries Berhad didakwa menyebabkan satu pernyataan yang tidak benar dihantar kepada Bursa Malaysia berkaitan urusan syarikat tersenarai tersebut.Maklumat yang didakwa palsu itu terkandung dalam laporan kewangan interim syarikat bagi suku tahun berakhir 30 Jun 2021.Suami Miera (kanan) memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan yang lebih rendah.Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di Bursa Malaysia, Exchange Square, Bukit Kewangan, Kuala Lumpur pada 30 September 2021.Pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 369(b)(B) dibaca bersama subseksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda maksimum RM3 juta.Dalam pada itu, semasa prosiding dijalankan, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti, Hashley Tajudin, memaklumkan kes tersebut termasuk dalam kategori kesalahan yang tidak boleh dijamin.ARTIKEL BERKAITAN: [V] Bekas isteri dapat hak penjagaan sementara 2 anak, suami Miera Liyana pula dapat seorangARTIKEL BERKAITAN: [V] Bimbang keselamatan anak punca bekas madu Miera Liyana fail tuntutan ubah perintah interim hadanahNamun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah RM1 juta dengan seorang penjamin.Beliau turut mencadangkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri di ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebulan sekali sehingga kes selesai.Sementara itu, peguam S Shastidaran yang mewakili Rosland memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan yang lebih rendah atas faktor tanggungan keluarga dan keadaan kesihatan anak guamnya.Menurutnya, Rosland menanggung tujuh orang anak hasil dua perkahwinan selain menjaga ibu kandung serta ibu mentua yang sudah lanjut usia."Anak guam yang telah diisytihar sebagai muflis pada 2023 juga menghidap penyakit kencing manis, glaukoma dan masalah saraf."Beliau juga memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan, oleh itu mohon mahkamah membenarkan anak guam diikat jamin dengan jumlah yang rendah dan munasabah sebanyak RM5,000," ujarnya dalam laporan Harian Metro. Rosland diberi ikat jamin sebanyak RM500,000.Namun, Hashley menyatakan jumlah RM5,000 terlalu rendah dan menyebabkan tertuduh berkemungkinan melarikan diri.Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, Hakim Azrul membenarkan Rosland diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin.Mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri ke ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti setiap bulan.Kes tersebut akan disebut semula pada 7 Mei depan.Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube