SEORANG pesakit leukemia meninggal dunia manakala dua lagi berada dalam keadaan kritikal selepas menerima suntikan kemoterapi di sebuah hospital kanak-kanak.Insiden tragis itu berlaku berhampiran bandar Tokyo, Jepun pada Selasa. Menurut Pusat Perubatan Kanak-kanak Wilayah Saitama, kes berkenaan dilaporkan kepada polis pada Selasa selepas pihak hospital menemukan ubat kanser yang tidak sepatutnya digunakan dalam suntikan rongga sumsum tulang di dalam cecair tulang belakang pesakit.Berdasarkan laporan hospital berkenaan, ubat tersebut dipercayai menjadi punca komplikasi serius terhadap tiga pesakit lelaki berusia bawah 20 tahun, termasuk seorang kanak-kanak berumur kurang daripada 10 tahun.Kesemua pesakit menerima suntikan tersebut antara Januari hingga Oktober tahun lalu.Seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia pada Februari lalu, manakala dua lagi pesakit termasuk yang paling muda masih berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri.Hospital menjelaskan ubat dikenali sebagai Vincristine sepatutnya diberikan melalui suntikan intravena sahaja dan tidak boleh digunakan dalam suntikan rongga sumsum tulang kerana berisiko menyebabkan komplikasi neurologi yang serius.Pihak hospital turut memaklumkan siasatan masih dijalankan dan tidak menolak kemungkinan wujud unsur jenayah dalam insiden berkenaan.Menurutnya lagi, ubat tersebut disimpan di dalam bilik berkunci di fasiliti berkenaan. -Agensi