Sepasang suami isteri hadir ke sebuah bengkel motosikal bagi mendapatkan penjelasan atas dakwaan anak mereka dibuli seorang mekanik.
TULAR rakaman video memaparkan pertengkaran antara sepasang suami isteri dengan seorang mekanik di sebuah bengkel motosikal.Berdasarkan rakaman video berkenaan, difahamkan pasangan suami isteri berkenaan datang ke bengkel tersebut bagi mendapatkan penjelasan tentang dakwaan anak mereka dibuli oleh mekanik terbabit. "Anak saya datang naik motor Honda Wave. Dia bawa tayar dengan rim. Tapi dia tak ada duit RM3."Anak balik rumah, dia cakap... mak, kita punya motor mekanik tu buang angin sebab tak ada duit."Saya suruh anak datang bengkel ni isi angin sebab saya selalu tukar minyak hitam dekat sini tau," jelas si ibu kepada mekanik berkenaan.Tangkap layar video menunjukkan ibu bapa kepada kanak-kanak itu yang berjumpa mekanik berkenaan.Dalam masa sama suami kepada wanita berkenaan turut menjelaskan bahawa isterinya adalah pelanggan di bengkel berkenaan dan mereka mengharapkan agar mekanik lebih bertimbang rasa.Jika diteliti pada video, mekanik tersebut bagaimanapun hanya berdiam diri dan meneruskan kerja membaiki sebuah motosikal.Bapa kepada kanak-kanak tersebut kemudian mencampakkan wang RM3 kepada mekanik berkenaan.Sebelum beredar, si ibu turut meluahkan rasa terkilan dengan cara mekanik berkenaan melayan anaknya."Anak saya tak tahu kalau nak isi angin dekat bengkel ni kena bayar sebab tempat lain tak kenakan bayaran pun."Saya tak kisah awak nak caj tapi jangan buang angin dekat dia punya motor tu. Dia balik, dia sedih tau. "Awak cakap je, tak apa awak balik ambil duit lepas tu datang semula. Awak tak perlu buang angin macam tu," dakwanya dalam video berkenaan.