Hampir setahun dibelenggu depresi, 2 kali jalani ujian mental... gadis ini tepis stigma jumpa psikiatrik ertinya gila - “Kalau bunuh diri, sia sia usaha arwah mama...”

Pernah dirawat kerana masalah tekanan, gadis bernama Fatih tidak keberatan berkongsi cerita untuk menyebarkan kesedaran kepada masyarakat.

SEBUT sahaja kemurungan atau depresi, pasti akan wujud stigma negatif dalam kalangan segelintir individu.

Mereka beranggapan golongan yang berdepan masalah sedemikian dikategorikan sebagai kurang siuman.

Dek kerana itu, golongan yang dibelenggu kesihatan mental cenderung untuk menyembunyikan masalah yang dihadapi mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Baring di lantai jam 3 pagi menangis pandang siling, lari keluar kelas, tapi gadis alami gangguan mental ini dapat 11A dalam SPM, PT3... ini nasihatnya!

ARTIKEL BERKAITAN: “Inilah kisah paling teruk saya pernah jumpa” - Penceramah dedah kisah wanita depresi hingga nyaris terpesong akidah gara-gara kemelut keluarga

Namun tidak bagi gadis ini yang tidak keberatan untuk berkongsi apa yang dialaminya di media sosial.

Hanya mahu dikenali sebagai Fatih, gadis berusia 19 tahun ini berkata dia sekadar mahu membangkitkan kesedaran kepada umum, khususnya buat mereka yang turut berdepan masalah sama agar keluar daripada 'dunia' sendiri.



Fatih berkongsi kisahnya mendapatkan rawatan kerana mengalami tekanan di Twitter.

"Saya tahu bukan mudah untuk semua yang ada masalah ini, tak kisah la mental health ke apa ke untuk bersuara. Cuma kita tak boleh kekal di takuk lama terlalu lama.

"Saya share supaya orang yang ada nasib sama ataupun takut dengan stigma masyarakat dan keluarga macam saya tahu ada ruang dan peluang untuk semua yang hadapi masalah sama selesaikan.

"Selalunya jika di saluran betul, ada yang memahami masalah kita," ceritanya.

Membuka cerita mengenai situasi yang dilaluinya, Fatih berkata dia mengalami beberapa simptom seperti kebimbangan dan panik melampau sejak penghujung tahun lalu.

Menurut Fatih, tekanan belajar menjadi antara faktor dia berdepan dengan masalah berkenaan.

Saya rasa kalau saya bunuh diri, sia sia usaha arwah mama besarkan saya dan akhiri dengan benda Allah murka. Jadi saya kuatkan diri dengan mendapatkan bantuan profesional.

FATIH

"Saya selalu shaking. Sweat cold. Shortness of breath. Hyperventilating sampai jadi kejang tangan dan kaki.

"Saya mula rujuk kepada kaunselor universiti. Tapi keadaan masih sama. Saya buat ujian saringan Depression Anxiety Stress Scale (DASS) secara dalam talian pertama dan buat appointment online tapi saya tak pergi sebab saya takut stigma masyarakat dan stigma family yang fikir orang yang jumpa psychiatrist ni orang tak siuman.

"Tapi bila saya dah mula self-harm, rasa nak bunuh diri makin kerap.... dengan dorongan kakak saudara, saya buat lagi sekali DASS online dan buat appointment dekat Klinik Kesihatan terdekat," kata penuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ini.

Pernah dimasukkan di wad psikiatri selama enam hari awal bulan lalu, Fatih berkata terlalu awal untuknya merumuskan perubahan yang dialami, namun bersyukur keadaan dirinya semakin baik.



Fatih dirawat selama enam hari di wad psikiatri awal bulan lalu.

Selain masih terikat dengan temu janji rawatan susulan, Fatih juga perlu mengambil ubat-ubatan bagi masalah yang dihadapinya.

"Alhamdulillah dapat ubat tu saya agak tenang sedikit. Saya dah kurang rasa nak bunuh diri. Nak self harm. Bila ada thoughts tu datang, saya cari orang yang saya percaya untuk saya luahkan.

"Saya ada buat bisnes makanan secara online kecil-kecilan. Saya akan cuba siapkan order setiap kali kalau saya rasa saya mula diganggu dengan fikiran negatif tu.

"Punca utama kenapa saya masih bertahan sampai saat ni. Saya rasa kalau saya bunuh diri, sia sia usaha arwah mama besarkan saya dan akhiri dengan benda Allah murka. Jadi saya kuatkan diri dengan mendapatkan bantuan profesional," ujar gadis berasal dari Johor ini.



Fatih berjinak-jinak dengan bisnes dessert secara kecil-kecilan dan ia salah satu usaha untuknya mengalihkan perhatian apabila mengalami simptom tekanan.

Dalam masa itu, gadis ini menasihatkan mereka yang turut berdepan dengan masalah sama agar tidak gentar mendapatkan bantuan profesional.

"Untuk kebaikan kita juga. Jangan takut dengan stigma masyarakat yang orang jumpa psychiatrist ni gila. Biarkan. Mereka tak beri manfaat untuk kita.

"Kalau betul-betul rasa tak mampu, sekurang-kurangnya cari orang yang betul-betul kita percaya untuk mengadu masalah. At least kita tak hadap masalah semua tu sendiri.

"Saya faham mungkin ada yang terasa bila ada orang kata 'luah semua dekat Allah. Jangan cari manusia'. Saya akui betul. Tapi, jangan lupa Allah suruh kita usaha. Ini adalah salah satu usaha kita sebelum tawakkal pada Allah," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Afgan angkat berat 30 minit setiap hari