suria

Kisah 2 biji kek ais krim jatuh ke lantai belum tamat, sekeluarga dapat kejutan lain tapi ada syarat elak ‘tragedi’ berulang - “Kali ni giliran saya”

Keluarga ini menerima hadiah dua biji kek sebagai ganti susulan insiden dua kek terjatuh ke lantai yang tular di media sosial.

BENARLAH kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Begitulah yang dialami keluarga ini apabila menerima kejutan yang tidak disangka-sangka susulan insiden dua biji kek hari jadi terjatuh ke lantai, dalam kejadian pada Sabtu minggu lalu.

Kisah tersebut menjadi tular apabila dua wanita daripada keluarga itu masing-masing membawa kek ais krim yang diletakkan di atas kotak untuk kejutan majlis hari ulang tahun, tetapi malangnya kedua-dua kek jatuh ke lantai.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekeluarga dapat kejutan! Pertama kali nak cuba kek ais krim, dua biji sekali gus jatuh ke lantai - "Terlompat macam kera kena belacan tu spontan"

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kek terbelah 3 ketika adik ipar menjerit... lebih aneh pelanggan repeat order - "Saya menggigil trauma, dugaan apakah ini?"

Susulan insiden tular yang dianggap netizen sebagai lucu itu, famili berkenaan dihubungi oleh syarikat yang membekalkan kek ais krim tersebut.



Insiden dua biji kek terjatuh ke lantai dalam satu kejutan hari jadi.

Salah seorang ahli keluarga berkenaan, Mohamad Habibbullah Mohd Mujib berkata, syarikat itu pada awalnya menghubungi anak saudara perempuannya yang mula-mula memuat naik video insiden itu di laman Twitter sehingga tular.

Pemuda berusia 33 tahun itu memberitahu, syarikat itu kemudian menghubungi isterinya yang merupakan salah seorang daripada dua wanita yang memegang kek tersebut dalam kejadian yang pertama.

"Mereka nak hadiahkan dua kek secara percuma sebagai ganti kepada kek yang terjatuh. Kami terkejut pada mulanya dan menerima tawaran itu dengan hati yang terbuka.

"Pihak mereka menghantar dua kek tersebut ke rumah ibu bapa saya di Klang, Selangor pada Rabu malam dan kami sekeluarga berkumpul untuk sambutan hari jadi sekali lagi," katanya kepada mStar.



Habib (duduk, kiri) bersama keluarganya sekali lagi menyambut hari ulang tahun ibu dan adik perempuannya. Foto ihsan Mohamad Habibbullah Mohd Mujib

Bercerita lanjut mengenai majlis 'kedua' sambutan ulang tahun ibunya ke-58 dan adik perempuannya ke-29 pada Rabu malam itu, Mohamad Habibbullah berkata, mereka sekeluarga telah menetapkan 'syarat' pada hari kek tersebut diterima.

"Kami tetapkan 'syarat' supaya isteri saya dan seorang lagi adik perempuan tak boleh bawa kek tersebut bagi mengelakkan kejadian berulang lagi.

"Kali ini giliran saya yang terlompat-lompat macam 'kera kena belacan' dan adik lelaki saya yang mengangkat kedua-dua tangannya letak atas kepala dalam video yang viral, yang bertanggungjawab bawa kek tu," ujarnya secara berseloroh.



Keadaan salah satu kek yang terjatuh ke lantai dalam kejadian tempoh hari.

Lebih mesra disapa Habib, anak sulung daripada tujuh beradik itu turut memberitahu bahawa masing-masing lebih berhati-hati ketika membawa dua biji kek tersebut ke dalam rumah.

"Kami ramai-ramai nyanyi lagu Happy Birthday dari luar rumah masuk ke ruang tamu. Kami bergurau beritahu dekat isteri dan adik perempuan saya jangan usik kotak kek.

Kami tetapkan 'syarat' supaya isteri saya dan seorang lagi adik perempuan tak boleh bawa kek tersebut bagi mengelakkan kejadian berulang.

MOHAMAD HABIBBULLAH MOHD MUJIB

"Banyak kali juga kami sebut hati-hati, jangan pegang kotak. Siap suruh buang kotak selepas angkat keluar kek sebab insiden sebelum ni puncanya pegang kotaklah," tambahnya.

Namun, bapa kepada dua anak itu bagaimanapun tidak menyangka terdapat kejutan lain yang dilakukan oleh syarikat rangkaian ais krim untuk mereka sekeluarga.



Video majlis kedua sambutan hari ulang tahun itu turut dikongsikan oleh syarikat rangkaian kek. -foto brmalaysia

"Di luar kotak sebut nama kek lain. Tapi kami tak kisah sebab hadiah kan, rezeki jangan ditolak. Tapi, bila lepas habis nyanyi lagu Happy Birthday dan buka kotak kek, memang terkejut.

"Sebab dua kek yang dihadiahkan mereka adalah kek yang sama terjatuh tempoh hari. Apa pun, terima kasih banyaklah, ia menjadikan lima kek kami sambut hari jadi mak dan adik perempuan," katanya sambil menambah sebiji kek lagi dibeli bapanya pada Ahad minggu lalu, sehari selepas 'tragedi' kek terjatuh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain