suria

Guru ‘curiga’ murid tidur dalam Grab sambil pegang buku, tersentak pemandu dedah kisah sebenar - “Saya dah tersalah tanya soalan ni”

Seorang guru berkongsi kisah mengenai pemandu Grab. -gambar hiasan

SETIAP perkara yang berlaku ada hikmahnya.

Seperti pengalaman seorang guru yang terpaksa menggunakan perkhidmatan e-hailing kerana keretanya dihantar ke bengkel untuk dibaiki.

Selepas membuat tempahan GrabCar sebaik sahaja selesai sesi persekolahan, guru berkenaan cuba masuk ke tempat duduk penumpang di hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN: "Ah silap tanya ke ni?" - Guru tak sengaja cungkil kisah pekerja kedai runcit makan mi segera... dah beli plastik sampah, terus tapau nasi kedai sebelah

ARTIKEL BERKAITAN: Rider basah kuyup masuk surau, 'pinjam' kain pelikat terselit RM50 – “Susah-susah dia, rupanya dia jenis lurus”

"Tapi itulah bila saya nak masuk saya perasan ada orang. Pemandu bagi isyarat minta saya duduk belakang. Masuk-masuk saya perasan rupa-rupanya yang duduk sebelah abang tu budak sekolah.

"Masih pakai baju sekolah. Siap ada buku kat tangan. Tapi budak tu tidur. Mungkin penat sangat seharian kat sekolah," tulis guru tersebut di halaman Facebook Muhammad Yusof.



Posting Muhammad Yusof di Facebook.

Selepas berbual pendek mengenai destinasi yang dituju, suasana di dalam kereta menjadi sunyi sepi sebelum guru itu kembali bersuara bertanyakan beberapa soalan kepada pemandu itu.

"Lama dah bawa Grab bang? Saja saya tanya. Dia senyap kejap. Lepas tu dia jawab, sejak saya kena buang kerja cikgu.

"Allah, Allah, saya rasa saya dah tersalah tanya soalan ni. Lepas tu saya minta maaf. Dia kata tak apa," kata Muhammad Yusof.

Perbualan mereka tidak berhenti setakat itu apabila pemandu tersebut pula membuka ceritanya yang diberhentikan kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa mengulas lanjut mengenai pekerjaannya.

"Lepas itu dengan simpanan yang ada dia cuba berniaga pasar malam. Tapi tak jalan juga. Lepas itu dia bawa Grab, sampailah sekarang. Bolehlah tampung-tampung mana yang patut, dia kata," katanya.

Walaupun mungkin PKP ni menjejaskan periuk nasi dia sekeluarga tapi dia tak abai tanggungjawab untuk didik anak

MUHAMMAD YUSOF

Namun, kehadiran kanak-kanak yang tertidur di tempat duduk penumpang hadapan masih menimbulkan tanda tanya.

"Anak ke bang? Saya tanya siapa budak sebelah dia.

"Ya cikgu, penat sangat kot. Saya tak mampu nak sewa van cikgu, jadi sambil saya buat Grab ni bolehlah saya hantar dia pergi dan balik. Kasihan juga dia pagi-pagi dah kena bangun nak ikut jadual saya.



Pemandu Grab itu berkongsi pengalamannya kepada Muhammad Yusof.

"Budak tadi masih tidur. Penat sangat agaknya kat sekolah. Tapi itulah yang buat saya kagum penat-penat dia, buku masih ada kat tangan. Maksudnya sambil-sambil dia naik kereta tu, dia masih nak baca buku. Bagusnya budak tu," ujar Muhammad Yusof.

Setibanya di destinasi, guru tersebut memberikan bayaran sebanyak RM20 bagi tambang berharga RM6, dan pemandu itu kemudian mahu memulangkan baki.

"Saya kata tak apa, bagi kat anak abang. Dia ucap terima kasih banyak kat saya," katanya.

Berdasarkan pertemuan singkat perjalanan dari sekolah ke bengkel, terdetik di fikiran Muhammad Yusof mengenai cara pemandu itu mendidik anaknya.

"Walaupun mungkin PKP ni menjejaskan periuk nasi dia sekeluarga tapi dia tak abai tanggungjawab untuk didik anak. Dan paling penting pelajaran anak, dia tak lupa.

"Kita yang masih cukup makan, cukup pakai, boleh bayar ansuran rumah, bersyukurlah banyak-banyak sebab kat luar sana masih ramai yang tengah struggle nak cari sesuap nasi," katanya sambil mendoakan pemandu itu sekeluarga dimurahkan rezekinya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain