suria

Sekeluarga dapat kejutan! Pertama kali nak cuba kek ais krim, dua biji sekali gus jatuh ke lantai - “Terlompat macam kera kena belacan tu spontan”

Insiden dua kek terjatuh ke lantai dalam satu kejutan hari jadi.

LAIN yang hendak dikejutkan, lain yang terkejut.

Begitulah gambaran kisah dalam sebuah video yang tular menunjukkan dua wanita masing-masing membawa sebiji kek ais krim diletakkan di atas kotak.

Kedengaran satu famili menyanyikan lagu hari jadi, sebelum salah satu kotak terkena kerusi di meja makan menyebabkan sebiji kek jatuh ke lantai.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi majlis kahwin Alha Alfa, kek RM5,000 tumbang dengan tiba-tiba - "Kalau kena tetamu jenuh ada muka yang berjahit"

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kek terbelah 3 ketika adik ipar menjerit... lebih aneh pelanggan repeat order - "Saya menggigil trauma, dugaan apakah ini?"

Insiden itu menyebabkan kedua-dua wanita berkenaan menjerit sehingga tidak menyedari sebiji lagi kek yang dipegang turut terjatuh ke lantai secara tidak sengaja.



Kek pertama yang terjatuh ke lantai. Foto ihsan Mohammad Habibbullah Mohd Mujib

Salah seorang ahli keluarga berkenaan, Mohammad Habibbullah Mohd Mujib berkata, kejadian berlaku ketika mereka berkumpul bersama ibu bapa dan adik-beradik lain, di rumahnya di Klang, Selangor pada Sabtu malam

Anak sulung daripada tujuh beradik itu memberitahu, mereka merancang untuk membuat kejutan kepada ibu mereka sempena hari ulang tahun ke-58 pada 19 Oktober (Isnin).

"Kami berkumpul satu keluarga dan adik-beradik mahu buat kejutan sempena hari jadi mak dengan sebiji kek. Tapi kami buat satu lagi kejutan dengan bawa keluar sebiji kek lagi.

"Kek kedua tu adalah kejutan untuk adik perempuan yang menyambut ulang tahun ke-29 pada 20 Oktober (Selasa). Rancang asal kejutan untuk mak saja, lepas tu bertukar jadi kejutan untuk adik sekali," katanya kepada mStar.



Kek kedua yang terjatuh ke lantai.

Lebih mesra disapa Habib, dia bagaimanapun tidak menyangka kejutan tidak berlaku seperti dirancang apabila kedua-dua kek tersebut terjatuh ke lantai.

"Yang pertama bawa kek tu adik perempuan saya berusia 24 tahun dan di belakangnya adalah isteri saya berumur 30 tahun.

Tak kisahlah kek jatuh atau tidak, kami sekeluarga tetap gembira sebab dapat luangkan masa bersama.

MOHAMMAD HABIBBULLAH MOHD MUJIB

"Elok-elok plan nak kejutkan untuk dua birthday girls, last-last semua sekali dapat kejutan. Saya yang kat depan tu pun terkejut sampai terlompat.

"Yang terlompat-lompat macam 'kera kena belacan' tu reaksi spontan sebab terkejut," ujarnya secara berseloroh.



(dari kiri) Adik lelaki, ibu, dua anak, adik perempuan dan bapa Habib.

Walaupun kedua-dua kek aiskrim rosak selepas terjatuh, bapa kepada dua anak itu bagaimanapun menjelaskan mereka sekeluarga tetap meneruskan sambutan hari jadi.

"Memanglah dua-dua kek dah rosak sebab kek aiskrim kan. Tapi yang mana dapat diselamatkan tu kami satu famili sama-sama makan seorang sikit.

"Sambutan hari jadi tetap meriah. Inilah suka duka famili saya. Dalam kejutan, ada kelakarnya. Yang penting dua kek yang jatuh tetap kami habiskan," tambahnya.



Habib (depan, kanan) bersama keluarganya pada majlis sambutan hari jadi ibu dan adik perempuannya.

Menurut Habib, ini merupakan pertama kali keluarganya mahu menikmati kek ais krim sehingga tidak menyangka kejadian melucukan yang berlaku.

"Sebiji kek ais krim tu bukannya murah kan, sekali terjatuh sampai dua biji.

"Hari ni (Ahad) kami beli sebiji kes aiskrim lagi untuk sambut hari jadi mak, kali ini di rumah mak ayah juga di Klang.

"Tak kisahlah kek jatuh atau tidak, kami sekeluarga tetap gembira sebab dapat luangkan masa bersama," katanya yang bekerja sebagai operator di Shah Alam.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain