suria

Dulu di awan biru, pramugara tak mahu terus ‘terduduk’ dibuang kerja! 2 hari berkurung, kemudian buka spa di rumah – “Duduk saja bukan dapat duit”

Dari kru kabin di awan biru (kiri), Mohd Fahmi kini melakukan servis spa rawatan muka setelah ditamatkan perkhidmatan. Foto ihsan Mohd Fahmi Alwi

TUGAS di awan biru selama lebih lima tahun berakhir buat seorang pemuda gara-gara impak daripada pandemik Covid-19.

Pramugara berkenaan pada mulanya tidak menyangka dirinya menjadi salah seorang kakitangan di sebuah syarikat penerbangan yang ditamatkan perkhidmatannya pada bulan ini.

Namun, tidak mahu terus 'terduduk' dengan perkhabaran mengejutkan itu, pemuda tersebut mula memikirkan langkah seterusnya untuk meneruskan kehidupan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pramugari 'terduduk' meleleh air mata kontrak tak disambung, bergelut sara keluarga sebelum jadi ejen jual kereta - "Pelanggan pertama beli, saya lompat gembira"

ARTIKEL BERKAITAN: Dari awan biru ke gerai sate, Shazam bukan calang-calang 'adiwira'... kata kuncinya selamat - "Penat memang penat"

Bercakap kepada mStar, Mohd Fahmi Alwi berkata, dia tidak menyangka perkongsiannya mengenai berita sedih itu di laman sosial meraih banyak perhatian.



Mohd Fahmi (kiri) bersama ibunya ketika mengerjakan ibadah haji.

Pemuda berusia 30 tahun itu berkata, tugas penerbangan terakhirnya adalah pada September selepas syarikat penerbangan mula beroperasi sejak Jun lalu.

"Memang sedih sebab inilah pekerjaan tetap pertama saya selepas tamat belajar. Mula-mula tu 'terduduk' juga sampai berkurung dalam bilik selama dua hari sebab sedih sangat.

"Saya juga suka fly kerana selain menimba banyak pengalaman, kerjaya ini juga memberi peluang kepada saya untuk membeli kereta dan rumah sendiri," katanya.



Mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam fisioterapi.

Paling menyentuh emosi Mohd Fahmi apabila rezeki menerusi kerjayanya sebagai kru kabin memberi peluang untuk dia mengerjakan ibadah haji bersama ibu di tanah suci Makkah, pada tahun lalu.

"Ibu jugalah yang paling memberi sokongan kepada saya ketika waktu sukar ini. Ibu tanya kenapa tidak gunakan kemahiran yang saya ada daripada belajar di universiti dulu.

"Walaupun ibu selama ini menganggap kerjaya saya di awan biru begitu berisiko tetapi dia tetap memberi semangat kepada saya untuk tidak berputus asa dan terus berusaha," ujarnya.

Dengan kelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor pada 2014, Mohd Fahmi mengorak langkah dengan mengusahakan fisioterapi untuk penilaian, rawatan dan pemulihan.



Mohd Fahmi (kiri) baru mengusahakan spa rawatan muka, sejak awal Oktober.

Pemuda berasal dari Klang itu memberitahu, dia sebenarnya telah mula menawarkan perkhidmatan itu sebelum ini bagi menjana pendapatan sampingan.

"Selain servis fisioterapi, saya juga telah memulakan khidmat rawatan muka awal bulan ini. Malahan, saya telah menjalani latihan selama dua bulan lalu.

"Saya menyedari kesan pandemik dalam industri penerbangan. Jadual tugasan saya juga semakin berkurangan sehingga memberikan saya banyak masa untuk aktiviti lain.

Dalam pesawat, kru kabin melayan kerenah penumpang, buat spa pun kena layan kerenah pelanggan. Semua ini adalah cabaran.

MOHD FAHMI ALWI

"Daripada saya duduk diam, baik saya lakukan sesuatu sebab bukannya saya boleh dapat duit dengan duduk saja," kata anak kelima daripada enam beradik itu.

Menurut Mohd Fahmi, spa rawatan muka dilakukan di kediamannya di Sepang mahupun di rumah pelanggan di kawasan sekitar termasuk Cyberjaya dan Nilai, Negeri Sembilan.



Mohd Fahmi tidak mahu berputus asas selepas ditamatkan perkhidmatan sebagai kru kabin.

Berkongsi pengalaman, dia pernah menerima mesej daripada wanita yang mahu mendapat khidmat spa rawatan mukanya.

"Servis ini dibuat di rumah, maka saya katakan rawatan ini hanya untuk pelanggan lelaki. Jadi, saya cadangkan wanita untuk mencari servis yang ditawarkan oleh wanita.

"Namun cabaran untuk saya apabila ada pelanggan dah buat temujanji, tapi tak muncul pun. Saya call dan mesej, pelanggan tu terus senyap.

"Dalam pesawat, kru kabin melayan kerenah penumpang, buat spa pun kena layan kerenah pelanggan. Semua ini adalah cabaran dan dugaan saya untuk mencari rezeki," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain