suria

Nervous sampai 10 kali ucap ampun tuanku! Pelajar intern menggigil demo prototaip robot depan Tunku Azizah, Tengku Jihan - “Baginda tanya soalan, terus semua pandang saya”

Syed Muhammad Aslam (kiri) dan Muhammad Aiman Razin, pelajar yang sedang mengikuti latihan industri diberi peluang melakukan demonstrasi prototaip robot di hadapan Tunku Azizah.

SIAPA yang tidak teruja apabila diberi peluang bertemu dengan Raja Permaisuri Agong (RPA) Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bukan?

Dalam perasaan teruja, pasti terselit jua rasa gugup tatkala berdepan dengan figura yang dikagumi seluruh rakyat itu.

Begitu juga dengan pemuda ini, namun perasaan gugupnya lebih berganda kerana diberi tanggungjawab untuk melakukan demonstrasi sebuah prototaip robot di hadapan Tunku Azizah dan anakandanya, Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah sebagaimana yang dikongsikan menerusi Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakai face mask pun tak kalis gugup! Akak cashier kongsi debaran 10 minit berdepan Agong, 2 putera kacak - “Tengok depan-depan lagi handsome”

ARTIKEL BERKAITAN: Comelnya! Tunku Azizah singgah kedai tepi jalan tanya mi bandung, siap ada permintaan - “Janji tau, ambil nombor telefon dia”

"Alhamdulillah selesai demo Medibot di hadapan Tuanku Pemaisuri Agong dan Tengku Jihan Abdullah. Punya nervous sampai sepuluh kali patik junjung sembah. Ampun tuanku," tulis kapsyen pada klip pendek sebuah video yang dimuat naik di laman sosial itu.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pemuda bernama Syed Muhammad Aslam itu berkata dia merupakan seorang pelajar yang sedang mengikuti latihan industri di sebuah syarikat penyelidikan dan pembangunan (kejuruteraan robotik), dan terlibat dengan projek penghasilan prototaip robot yang diberi nama Medibot.



Syed Muhammad Aslam (kanan) dan rakannya Muhammad Aiman Razin (kiri) bersama Pengarah syarikat tempat mereka menjalani latihan industri, Prostrain Technologies Sdn Bhd

"Company tempat saya internship ni ada kerjasama projek Medibot dengan Centre of Unmanned Technology (CUTe) yang berpusat di Kulliyyah Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Saya dengan seorang kawan yang juga intern, Muhammad Aiman Razin, berperanan membuat coding robot tu dengan seorang lagi pensyarah.

"Hari Isnin baru-baru ni, pemaisuri datang untuk perasmian dan brief apa peranan baginda sebagai chancellor UIA. Pada hari tu, kami dikehendaki untuk demo Medibot sebelum tuanku masuk ke Dewan Senat.

"Saya berlakon sebagai doktor selaku operator yang kawal robot tu, sebab tu saya berpeluang nak berborak dengan Tuanku melalui video meeting tu. Paling nervous bila Tuanku jumpa saya sebelum berangkat balik. Baginda tanya satu soalan, terus semua orang pandang saya.



Membawa medibot ke bangunan rektor sebelum demonstrasi di hadapan Tunku Azizah.

"Pertama kali seumur hidup dapat berborak dengan Tuanku permaisuri, saya rasa sangat berbesar hati," katanya yang merupakan pelajar Kejuruteraan Mekatronik di UIA.

Tidak terfikir di akalnya seorang pelajar yang sedang mengikuti latihan industri diberi peluang terlibat dengan projek yang besar malah diberi peluang berinteraksi dengan baginda, Syed Muhammad Aslam menyifatkan ianya pengalaman yang paling tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.

Pertama kali seumur hidup dapat berborak dengan Tuanku permaisuri, saya rasa sangat berbesar hati.

SYED MUHAMMAD ASLAM

PENUNTUT UIA

"Sepertimana yang kita tahu, baginda seorang yang sangat sporting dan merendah diri, selalu sudi mencemar duli buat macam-macam.

"Sangat bertuah kita sebagai rakyat Malaysia ada Pemaisuri Agong sebaik itu. Saya yakin ramai yang jadikan Tuanku sebagai idola," katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Bercerita mengenai Medibot jelas Syed Muhammad Aslam, ia adalah prototaip robot yang dibangunkan dengan beberapa ciri yang boleh membantu petugas perubatan dalam memberikan rawatan kepada pesakit yang dijangkiti Covid-19.



Tunku Azizah berkenan mencemar duli ketika demonstrasi Medibot di UIA, Isnin lalu.

Medibot dilengkapi alat kawalan jauh bervisual, di mana doktor akan berinteraksi dengan pesakit tanpa perlu bersemuka, iaitu secara tele-conference dan ia dilengkapi dengan sistem pembesar suara dan mikrofon berfrekuansi tinggi.

Tambah Syed Muhammad Aslam yang akan menamatkan latihan industri pada 11 Oktober depan, pasukan mereka juga mengadakan demonstrasi di Hospital Kuantan, pada Rabu.



Syed Muhammad Aslam dan rakannya, Muhammad Aiman yang terlibat dalam penghasilan Medibot.

"Saya sangat berharap projek ni dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh barisan hadapan kita.

"Sepertimana yang kita lihat sekarang, kes dah mula meningkat semula bermakna doktor dan petugas perubatan terpaksa bekerja dengan lebih keras.

"Robot ni secara tak langsung boleh mengelakkan kes pesakit yang tak jujur ketika sesi konsultasi.

"Justeru mengelakkan petugas perubatan daripada terjangkit dengan virus tersebut. Dapat juga menjimatkan pakaian perlindungan diri (PPE) secara tidak langsung," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain