suria

Hebat! Hanya guna telefon, foto ala Doctor Strange ibarat ‘mesin masa’ – “Saya nak ke tahun 2024 di mana Covid-19 perkara lampau”

(kanan) Hasil fotografi rakaman Patrick berinspirasikan filem Doctor Strange (kiri). Foto instagram HeartPatrick

WOW HEBAT! Macam pernah dilihat lingkaran cahaya itu, tetapi di mana ya?

Sekeping foto yang dikongsikan di laman sosial kelihatan seperti babak dalam filem adiwira, Doctor Strange terbitan Marvel Studios.

Lingkaran cahaya di hadapan pintu utama sebuah tokong itu seolah-olah membawa netizen mengimbas kembali kelebihan kuasa Doctor Strange untuk ke alam atau lokasi lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow gempak! Video TikTok bukan biasa-biasa... jalan undur 50 meter hasilkan foto Jalur Gemilang berlatarkan KLCC memang menyengat - "Ia nasi lemak terbaik saya rasa"

ARTIKEL BERKAITAN: Fuh! Pahlawan Melayu ala The Hunger Games, sanggup bakar baju sendiri untuk beraksi - "Satu kereta bau minyak masak"

"Pintu ajaib Doktor Pelik," tulis seorang jurugambar tempatan di akaun Instagramnya, HeartPatrick dan segelintir netizen menyenaraikan imaginasi mereka di ruangan komen.



(kiri) Rakaman dibuat menggunakan telefon pintar. (kanan) Patrick menyalakan bunga api.

Jurugambar berkenaan, Teow Koon Meng berkata, gambar tersebut dirakamkan menggunakan telefon pintar di pintu masuk sebuah tokong di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dekat Menara Berkembar Petronas (KLCC), waktu malam pada minggu lalu.

Lebih dikenali sebagai Patrick, katanya, fotografi tersebut berkonsepkan light painting yang juga merupakan teknik pengimejan menggunakan pergerakan sumber cahaya.

"Ya, light painting itu cuba untuk dihasilkan dan kelihatan seperti portal (pintu ke ruang lain) sebagaimana dalam filem Doctor Strange.

"Tapi versi saya adalah pintu ajaib daripada Doktor Pelik menggunakan sumber cahaya yang lebih murah," katanya kepada mStar.



Pemandangan luar tokong yang menjadi lokasi fotografi berinspirasikan Doctor Strange.

Sebelum ini, Patrick menjadi perhatian apabila menggunakan teknik fotografi yang sama untuk kelihatan seperti Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-63.

Dia bagaimanapun mendedahkan bahawa batang lampu atau magilight yang digunakannya untuk fotografi itu menelan belanja sebanyak AS$300 (RM1,245).

"Ramai yang merasakan bahawa mereka tidak dapat melakukan perkara yang sama kerana harga 'lampu' tersebut. Jadi, kali ini, saya gunakan bunga api murah.

"Bunga api yang begitu dekat dengan diri kita, selalu bermain sejak kecil ketika Hari Raya atau sambutan perayaan lain," ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.



(kiri) Tangkapan skrin video TikTok HeartPatrick. (kanan) Foto yang dirakamkan oleh Patrcik. Foto instagram HeartPatrick

Jurugambar yang berpengalaman selama 12 tahun itu mengambil masa kira-kira sejam untuk membuat persiapan termasuk menyediakan props dan rakaman foto.

Tambah Patrick, ia merupakan satu sesi yang memenatkan kerana dia perlu mengendalikan fotografi serta membuat lontaran pusingan bunga api ketika rakaman berlangsung.

"Kami melakukan enam percubaan yang mana saya berlari dari kamera ke hadapan pintu utama untuk membuat lontaran pusingan bunga api yang diikat pada tali.

Saya mahu menghasilkan satu imej yang membolehkan orang lain diberikan ruang untuk berimaginasi ke mana mereka ingin pergi, berikutan pintu sempadan negara masih ditutup

PATRICK

"Setiap kali cuba, saya perlu tanggalkan bunga api yang telah digunakan dan ikat bunga api yang baru. Antara tiga hingga lima batang bunga api digunakan untuk setiap kali percubaan.

"Memang berpeluh sebab kerana perlu berlari ke sana ke sini selain cuaca panas di Malaysia ketika ini, ” ujarnya sambil menambah seorang rakannya turut membantu menjadi model.



Foto sebenar tanpa pancaran cahaya simbolik Jalur Gemilang di KLCC. Foto instagram HeartPatrick

Bagaimanapun, Patrick berpuas hati dengan hasi fotografi menggunakan sumber yang jauh lebih murah selain mahu memberi ruang kepada orang ramai untuk berimaginasi.

"Saya mahu menghasilkan satu imej yang membolehkan orang lain diberikan ruang untuk berimaginasi ke mana mereka ingin pergi, terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berikutan pintu sempadan negara masih ditutup.

"Saya pula berimaginasi untuk ke tahun 2024 yang mana Covid-19 jadi perkara lampau," katanya yang berharap agar pandemik itu berakhir tidak lama lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain