suria

Wow gempak! Video TikTok bukan biasa-biasa... jalan undur 50 meter hasilkan foto Jalur Gemilang berlatarkan KLCC memang menyengat – “Ia nasi lemak terbaik saya rasa”

(kiri) Tangkapan skrin video TikTok HeartPatrick. (kanan) Foto yang dirakamkan oleh Patrcik. Foto instagram HeartPatrick

WOW! Video TikTok yang satu ini ternyata bukan biasa-biasa.

Tidak perlu tarian lagu entah apa-apa atau aksi terkinja-kinja, tetapi video TikTok yang dirakamkan oleh seorang pemuda begitu 'menyengat' sehingga menjadi tular.

"Gempak anak-anak Malaysia. Content (kandungan) macam ni yang patut viral," tulis seorang pengguna Twitter @CahayaSakinah yang berkongsi video TikTok @HeartPatrick sejak Sabtu malam sehingga dikongsi lebih 23,000 kali.

ARTIKEL BERKAITAN: Fuh! Pahlawan Melayu ala The Hunger Games, sanggup bakar baju sendiri untuk beraksi - "Satu kereta bau minyak masak"

ARTIKEL BERKAITAN: Kalau Lupa, Denda Ke Paris, Mesir!

Video TikTok yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia itu sebenarnya menunjukkan belakang tabir pembikinan sebuah foto alunan cahaya jalur gemilang dengan latar belakang mercu tanda negara, Menara Kembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur.



Foto sebenar tanpa pancaran cahaya simbolik Jalur Gemilang di KLCC. Foto instagram HeartPatrick

Lebih gah apabila foto tersebut turut memaparkan KLCC dengan pancaran lampu berwarna simbolik Jalur Gemilang, menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-63.

Siapa sangka foto yang menjadi bualan ramai itu dihasilkan oleh seorang jurugambar kelahiran Kuala Lumpur, Teow Koon Meng.

Bercakap kepada mStar, jurugambar yang lebih dikenali sebagai Patrick itu berkata, foto tersebut dirakamkan dekat Jalan Raja Muda Musa di Kampung Baru, minggu lalu.



Patrick merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur. Foto instagram HeartPatrick

Menurut Patrick, fotografi tersebut berkonsepkan light painting yang juga teknik pengimejan menggunakan pergerakan sumber cahaya.

"Pada asalnya, saya mahu merakamkan foto yang menunjukkan dekorasi Jalur Gemilang yang besar di sekitar Kuala Lumpur seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya.

"Namun, disebabkan pandemik Covid-19 dan tiada sambutan besar-besaran, jadi saya bercadang untuk menggunakan fotografi light painting untuk menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan negara," katanya kepada mStar.



Foto Patrick menjadi perhatian sempena Hari Kemerdekaan negara ke-63. Foto instagram HeartPatrick

Patrick bagaimanapun mendedahkan ketika rakaman dibuat di Kampung Baru, tiada pancaran lampu warna simbolik Jalur Gemilang di KLCC.

Sebaliknya, jurugambar yang berpengalaman selama 12 tahun itu menggunakan teknik suntingan dengan foto KLCC yang dirakamkan pada ambang Hari Kebangsaan 31 Ogos lalu.



Foto yang dirakamkan oleh Patrick pada ambang Hari Kebangsaan 2019. Foto instagram HeartPatrick

Menurut Patrick, dia perlu berhati-hati dengan setiap inci pergerakan bagi mendapatkan rakaman terbaik, dengan menggunakan batang lampu atau light stick yang mengandungi kad SD yang dimuat naik imej Jalur Gemilang.

"Menggunakan teknik light painting, saya perlu berjalan secara mengundur sepanjang 50 meter ke kiri dan ke kanan serta melintasi seorang rakan saya sebagai model, selama 8 saat.

Selain menjadi simbolik kemerdekaan negara, saya mahu mempamerkan perspektif perubahan Kuala Lumpur dahulu dan sekarang dengan gabungan rumah kampung dan bangunan pencakar langit

PATRICK

"Berjalan secara mengundur itu memang mencabar sebab pada masa sama saya perlu memastikan light stick dialunkan dengan baik, berjalan dengan kelajuan sekata... tidak boleh terlalu laju atau terlalu perlahan demi menghasilkan corak Jalur Gemilang yang cantik.

"Paling penting Jalur Gemilang yang dirakamkan tidak terbalik. Mujur saya tidak terjatuh ketika berundur tetapi dua kali saya terlanggar kawan saya dalam 10 kali rakaman yang dibuat pada malam tersebut," katanya.



Antara foto yang dirakamkan oleh Patrick. Foto instagram HeartPatrick

Dibesarkan sebagai anak tunggal di Kampung Limau, Kuala Lumpur dan kini menetap bersama ibu bapanya di Kerinchi, foto tersebut mengimbau nostalgia zaman kanak-kanaknya.

"Selain menjadi simbolik kemerdekaan negara, saya juga mahu mempamerkan perspektif perubahan Kuala Lumpur dahulu dan sekarang menerusi foto tersebut dengan gabungan rumah kampung dan bangunan pencakar langit KLCC.

"Mendapat shot yang dihajati memberi kepuasan. Selepas rakaman foto, saya dan rakan singgah menikmati nasi lemak di sebuah gerai di Kampung Baru.

"Nasi lemak adalah makanan kegemaran saya... dan percayalah disebabkan kepuasan merakamkan foto tersebut pada malam itu, ia menjadikan nasi lemak terbaik yang saya rasa," ujar Patrick.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain