suria

Netizen ‘berbulu’ tengok ramai bersesak di mahkamah, doktor anggap sengaja cari pasal - “Tak nak ada Kluster Bossku pula, pengsan nak kesan”

Kehadiran ribuan orang awam sewaktu perbicaraan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, menimbulkan kebimbangan tercetusnya kluster baharu Covid-19. Foto: Raja Faisal Hishan

SUNGGUH pun Malaysia berjaya mengawal penularan wabak Covid-19 dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menyaksikan kes semakin berkurang, namun tidak mustahil tercetusnya gelombang ketiga gara-gara sikap alpa manusia.

Malah Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga pada Isnin menyuarakan rasa khuatirnya dengan perkara tersebut apabila semakin banyak kluster baharu yang dicatatkan sejak kebelakangan ini.

Menyifatkan kluster baharu ibarat bara yang sedang membakar, Dr Noor Hisham berkata orang ramai yang tidak mematuhi SOP dianggap seperti bahan api yang hanya akan merebakkan 'kebakaran yang besar'.

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster baharu seperti bara yang membakar, Dr Noor Hisham beri amaran gelombang ke-3 boleh berlaku jika SOP tidak dipatuhi

ARTIKEL BERKAITAN: Kes SRC: Najib bersalah semua 7 pertuduhan

Belum pun genap 24 jam selepas kebimbangan itu disuarakan, orang ramai nampaknya tidak mengendahkan langsung amaran dan peringatan oleh Ketua Pengarah Kesihatan itu.

Ini terbukti apabila ribuan manusia hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa bagi mengikuti rapat perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tanpa ada penjarakkan sosial, mereka kelihatan berkumpul dan berdiri rapat antara satu sama lain sekali gus menimbulkan kebimbangan.



Dr Rusyainie meluahkan rasa terkilannya menerusi satu posting di Facebook.

Perkara tersebut nyata mengecewakan, sebagaimana perkongsian seorang doktor ini yang meluahkan rasa terkilannya dengan sikap golongan berkenaan.

"Benar, hari ni adalah keputusan penghakiman mantan Perdana Menteri yang dinantikan oleh kawan dan lawan.

"Politik tetap politik. Percaturannya dan permainannya saya tak mahu ambil pusing dan tak payah nak pening.

"Tetapi, kalau pakat sampai bersesak begini, memang sengaja mencari pasal. Alahai penyokong mahupun penentang, mengapalah dilanggar segala SOP (Prosedur Operasi Standard)?," tulis Dr Rusyainie Ramli pada perkongsian di Facebook.



Dr Rusyainie kini berkhidmat dalam Angakatan Tentera Malaysia (ATM).

Ujar Dr Rusyainie, kegusaran terbesarnya adalah perkara itu akan menyebabkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 sekali gus mewujudkan kluster baharu.

"Ni memang tak wujud frasa kita jaga kita dah ni. Tak mahulah pula ada 'Kluster Bossku'. Pengsan nak mengesan setiap satu yang datang ke perhimpunan ni, kalau ada satu yang positif.

"Cukuplah satu positif pun dah boleh mencetuskan kluster baharu. Hari yang penuh beremosi bagi mereka mungkin. Tapi, kita jangan lupa. Pertarungan kita dalam mengekang Covid-19 belum berakhir.

"Kasihanlah pada kami, petugas perubatan dan semua barisan hadapan. Tak sanggup dah nak berhadapan dengan gelombang Covid-19," tulisnya.



Antara komen netizen yang turut sama meluahkan rasa terkilan mereka.

Sehingga kini posting tersebut meraih 1,200 shares dan mengundang ratusan komen netizen yang rata-ratanya turut sama melahirkan rasa geram dan terkilan dengan sikap golongan berkenaan.

"Tak boleh nak tunggu tengok berita jer ke macam mana ni?? Langsung tak ada kesedaran. Bukan ada bagitahu tak boleh berhimpun ke? Kalau berhimpun pun, kena patuh SOP... sedih betul la," luah seorang netizen dalam mana geram.

"Tiada penjarakkan dalam restoran pun disaman, kenapa tak saman jer semua?" komen seorang lagi netizen.

"Geramnya tengok gambar ni Ya Allah," tulis seorang netizen lain pula.

Mahkamah sebentar tadi memutuskan Datuk Seri Najib Razak bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC.

Pasukan pembelaannya memohon agar rayuan bagi hukuman yang ringan didengar pada Isnin ini.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain