suria

Kes SRC: Najib bersalah semua 7 pertuduhan

Datuk Seri Najib didapati bersalah atas semua 7 pertuduhan melibatkan SRC International Sdn Bhd.‬ Foto: Bernama

SELEPAS lebih dua tahun, keputusan perbicaraan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan disampaikan hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib, 67, menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Ketujuh-tujuh pertuduhan itu adalah - tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana SRC.

SRC International adalah bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Berikut adalah laporan berkaitan prosiding membabitkan Najib dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur:

9.30 pagi: Najib tiba di mahkamah

11.07 pagi: Najib didapati bersalah atas satu pertuduhan menyalahguna kuasa berhubung dana RM42 juta dari SRC International.

Keputusan disampaikan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah mendapati pasukan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pasukan pendakwaan bagi tuduhan salah guna kuasa.

Masih ada enam lagi pertuduhan membabitkan beliau.

11.52 pagi: Hakim berkata Jho Low sepenuhnya faham peranannya dan tiada keraguan bahawa dia berurusan dengan akaun bank Najib.

Katanya sukar untuk mencadangkan Najib sebagai mangsa penipuan Jho Low.

12.17 tengahari: Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan menyalah guna kuasa berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.‬

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menyampaikan penghakimannya selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kesimpulannya, dalam penghakiman saya, setelah mempertimbangkan semua bukti yang dikemukakan di mahkamah ini, saya dapati pihak pembelaan tidak berjaya membantah anggapan mengenai keseimbangan kemungkinan atau menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009," kata Mohd Nazlan.

Sementara itu, keadaan luar mahkamah dilaporkan terkawal buat masa ini.

12.46 tengahari: Mahkamah meminta peguam bela untuk membuat rayuan bagi hukuman.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon agar pihaknya diberikan salinan keputusan ringkas oleh Hakim Mohd Nazlan bagi membolehkan pihaknya menyediakan rayuan.

12.49 tengahari: Peguam Najib kemuka rayuan penangguhan sabitan dan hukuman

12.55 tengahari: Mahkamah ditangguhkan sehingga jam 2.00 petang

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Dulu pengemis, kini bertanding ratu cantik