suria

Kontroversi kes pukul, duo YouTuber Sugu Pavithra tidak perlu bimbingan kaunseling JKM

Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai JKM Daerah Kuala Kangsar yang mengadakan pertemuan di kediaman pasangan itu pada 22 Julai lepas.

YOUTUBER terkenal, S.Pavithra memaklumkan dia dan suami tidak memerlukan sebarang bentuk bantuan atau bimbingan setakat ini.

Hal itu susulan kontroversi kes pukul melibatkan suaminya, M.Sugu sebagaimana dilaporkan media sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pergolakan rumah tangga duo YouTuber Sungai Siput makin panas... Pavithra dilabel ‘Bella Astillah 2.0’... ini jawapan empunya badan!

Ujarnya, dia tidak memerlukan bantuan atau khidmat bimbingan kaunseling daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak buat masa ini berhubung masalah keluarga yang dihadapi mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pegawai JKM Daerah Kuala Kangsar yang mengadakan pertemuan di kediaman pasangan itu pada 22 Julai lepas.

"S. Pavithra memberitahu pegawai JKM yang beliau tidak memerlukan sebarang bentuk bantuan atau bimbingan setakat ini dan memohon diberi ruang tidak diganggu kerana yakin mampu menyelesaikan serta menguruskan kemelut keluarga dengan baik.

"Bagaimanapun, pihak JKM sentiasa memantau perkembangan dengan menghubungi pasangan itu dan bersedia membantu mereka pada bila-bila masa sekiranya mereka memerlukan sebarang bentuk bantuan," katanya.

Dr Wan Norashikin berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pusat jagaan berdaftar di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Warga Miskin Parit Perak di Kampung Tengah di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan Sugu yang dalam keadaan mabuk membawa sabit mencari adik iparnya kerana masalah keluarga di luar wad bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, pada Selasa akibat salah faham antara suspek dengan isterinya berkaitan satu majlis yang berlangsung sehari sebelum itu.

Pada 24 Julai, Sugu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya menggunakan telefon bimbit serta hulu sabit, Selasa lepas, namun Pavithra mengakui telah memaafkan perbuatan suaminya itu.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Sugu Pavithra, YouTuber, JKM

Artikel Lain