suria

SOP kembali ketat! Ibadah korban, ziarah Aidiladha dan individu kuarantin dalam pemerhatian polis

Menerusi SOP yang diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri, bilangan tetamu dihadkan seramai 20 orang pada satu-satu masa.

SUNGGUHPUN kerajaan memberi kelonggaran untuk meraikan Hari Raya Aidiladha yang akan menjelang beberapa hari lagi, namun orang ramai masih tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya, bagi jamuan di rumah, tetamu dihadkan dan tidak boleh melebihi 20 orang pada satu-satu masa.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media pada petang Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Langgar SOP ketika Aidilfitri? Bersedia terima polis sebagai ‘tetamu’ hari raya

Menghuraikan lebih lanjut SOP sewaktu Hari Raya Aidiladha, Ismail Sabri juga menegaskan bahawa individu yang masih di dalam tempoh kuarantin dilarang untuk keluar dari kediaman masing-masing.

"Individu-individu yang masih dalam proses home quarantine dilarang sama sekali untuk keluar dari rumah apatah lagi untuk pulang ke kampung ataupun menunaikan solat sunat Aidiladha malah tidak boleh untuk menerima tetamu.

"Jika individu yang memakai wristband kuarantin melanggar peraturan yang ditetapkan, orang ramai diminta untuk melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya lagi sambil menambah, SOP tersebut terpakai untuk Wilayah Persekutuan dan boleh digunapakai oleh Majlis Agama Negeri-Negeri sebagai rujukan.

Sementara itu menghuraikan mengenai ibadah korban pula, Ismail Sabri memaklumkan bahawa kerajaan turut menyemak semula SOP setelah mengambil kira risiko penularan semula jangkitan Covid-19.

"Kerajaan telah memutuskan untuk menghadkan tidak lebih 10 ekor haiwan bagi masjid dan surau termasuk lokasi korban yang telah dibenarkan oleh Pejabat Agama Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan. Had ini tertakluk kepada keluasan lokasi korban.

"Kerajaan walaubagaimanapun menggalakan agar ibadah korban dilakukan di rumah penyembelihan. Jumlah kehadiran sewaktu ibadah korban mengikut 20 orang untuk setiap ekor haiwan," katanya.

Menurut Ismail Sabri, waktu ibadah korban di masjid dan surau hanya boleh diadakan selama empat hari termasuk hari pertama Hari Raya Aidiladha, selepas solat sunat Aidiladha dan tiga hari tasyrik.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

korban, Aidiladha, SOP

Artikel Lain