suria

Wanita berusia 63 tahun korban ke-124, Malaysia catat 13 kes baharu positif Covid-19 pada Ahad

Malaysia merekodkan satu kematian dan 13 kes baharu Covid-19 pada Ahad. Foto: Bernama

SEBANYAK 13 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan pada Ahad, menjadikan keseluruhan 8,897 kes setakat ini.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 173, yang mana pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, daripada 13 kes baharu yang telah dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan seorang warganegara dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

Sementara itu, daripada 10 kes penularan di dalam negara, satu kes adalah dalam kalangan bukan warganegara manakala sembilan kes melibatkan warganegara Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: 23 kes positif Covid-19, 2 lagi kluster baharu dikesan

Menurut Dr Noor Hisham, terdapat satu pertambahan kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 124 kematian.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 124 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," ujarnya dalam kenyataan itu.

Sehingga hari ini, terdapat enam kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 8,600 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, dua kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di mana satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Berikut adalah perincian kes kematian terbaharu yang dilaporkan pada Ahad:

Kes kematian ke-124 (kes ke-8743) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan hypercholesterolemia. Beliau mempunyai gejala demam dan batuk pada 3 Julai 2020 serta mendapat rawatan pada 9 Julai 2020.

Beliau dirujuk ke Hospital Umum Kuching pada hari yang sama untuk rawatan lanjut. Ujian Covid-19 didapati positif. Keadaan beliau didapati merosot dan kemudiannya semakin tenat. Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Julai 2020 jam 12.04 pagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, kematian, positif

Artikel Lain