suria

Tujuh jam beri keterangan projek terowong dasar laut, Lim Guan Eng kunci mulut... akan hadir semula ke SPRM esok

Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng keluar dari di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam ini selepas memberi keterangan berhubung siasatan terhadap projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. Foto: Bernama

BEKAS Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan kembali semula ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Ahad bagi memberi keterangan berkaitan siasatan mengenai projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Sumber SPRM memberitahu Lim dipanggil memberi keterangan pada 11 pagi dan esok merupakan kali ketiga beliau memberi keterangan kepada agensi itu berkaitan projek tersebut.

Pada Sabtu, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP memberikan keterangan selama lebih daripada tujuh jam.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Polis Negara nafi anak Guan Eng ditahan di Singapura

Ahli Parlimen Bagan itu meninggalkan ibu pejabat SPRM bersama peguamnya, RSN Rayer pada 7.50 malam.

Kedua-duanya bagaimanapun mengunci mulut dan terus memasuki kenderaan yang menunggu apabila wartawan mengajukan pelbagai soalan.

Beliau tiba di ibu pejabat SPRM pada 12.40 tengah hari, lewat hampir tiga jam dari waktu janji temu yang ditetapkan iaitu 10 pagi ekoran tayar kenderaannya pancit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata kertas siasatan berkaitan kes itu dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Laporan sebelum ini menyebut siasatan kes itu kini berada dalam fasa akhir dan tidak ramai saksi yang akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi menyempurnakan siasatan berkaitan projek tersebut.

Pada 30 Jun lepas, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan berhubung elemen rasuah dalam projek itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan beberapa exco serta bekas exco kerajaan negeri turut dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berkaitan projek mega itu. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain