suria

23 kes positif Covid-19, 2 lagi kluster baharu dikesan

Malaysia catat 23 kes baharu positif Covid-19 pada Sabtu. Foto: Bernama

SEBANYAK 23 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan pada Sabtu, menjadikan keseluruhan 8,884 kes setakat ini.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 167 di mana pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.

Daripada 23 kes baharu yang telah dilaporkan, enam kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

Sementara itu, daripada 17 kes penularan di dalam negara, 10 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia manakala tujuh kes melibatkan bukan warganegara.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 21 kes positif Covid-19, kesan 3 kluster baharu puncanya dari luar negara

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, tiada kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 123 kematian.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 123 kes," ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehingga hari ini, 17 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 8,594 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, tiga kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat dua kluster baharu dikesan iaitu Kluster Bukit Tiram dan Kluster Syarikat Pembinaan Kuching.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM

Artikel Lain