suria

Lelaki Bangladesh tampil dalam dokumentari kontroversi Al Jazeera akhirnya ditahan pihak berkuasa

Warga Bangladesh Md Rayhan Kabir yang muncul dalam dokumentari kontroversi terbitan Al Jazeera ditahan petang Jumaat.

SIASATAN kes dokumentari kontroversi siaran Al Jazeera memasuki fasa baharu apabila lelaki Bangladesh yang diburu kini sudah ditahan.

Dikenali sebagai Md Rayhan Kabir, dia dikehendaki selepas muncul dalam dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia's Lockdown’ sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Nah! Doktor buka cerita bagaimana Pati dilayan ‘sebagai manusia’ di wad Covid-19, sangkal laporan Al Jazeera - “Apa lagi mereka mahu?”

Dia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Jumaat petang.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid yang mengesahkan perkara itu berkata, suspek berusia 25 tahun itu, kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis pada pukul 6 petang hari sama.

“Ya, betul telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia jam 6 petang tadi, ” katanya.

Jabatan Imigresen Malaysia sebelum ini memohon bantuan orang awam menjejaki individu berkenaan yang alamat terakhirnya di Sirhan Legacy Sdn Bhd B-7-9, Menara Uncang Emas, di Jalan Loke Yew Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Sebelum ini, media melaporkan Rayhan telah membuat dakwaan berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin, ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagi membanteras penularan COVID-19 dalam dokumentari terbitan Al Jazeera.

Susulan itu, pihak polis turut memulakan siasatan terhadap stesen penyiaran antarabangsa itu selepas penyiaran dokumentari itu.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain