suria

Hospital Sentosa ditutup, Kuching bertukar jadi zon merah akibat peningkatan kes Covid-19

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak akan mengadakan mesyuarat khas pada Ahad.

KUCHING kini dikategorikan sebagai zon merah selepas mencatatkan 41 kes setakat 12 tengah hari Sabtu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Hospital Sentosa di Kuching turut ditutup kepada orang awam manakala semua kakitangan pusat perubatan itu dikuarantin di dalam hospital berkenaan.

"Empat kes baharu Kluster Hospital Sentosa. (Seramai) 677 individu telah disaring dan diuji, 657 masih menunggu keputusan dan Kuching, Sarawak telah menjadi zon merah," katanya menerusi catatan di laman Facebook beliau.

Pengesanan kontak rapat juga telah dan sedang dijalankan, katanya.

Kes jangkitan baharu COVID-19 di dalam negara mencatatkan 23 kes hari ini berbanding 21 semalam.

Sementara itu di Kuching, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak akan mengadakan mesyuarat khas pada Ahad untuk membincangkan perkembangan terkini pandemik COVID-19 di Daerah Kuching, kata Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, beliau berkata daerah berkenaan mencatatkan peningkatan ketara kes positif akhir-akhir ini dengan hari ini sahaja lapan kes positif baharu telah dilaporkan.

"Terdapat 39 kes (baharu) positif (terkumpul sejak Ahad lepas) dan dengan satu lagi kes, kami akan menjadi zon merah daripada kuning. Apabila menjadi (zon) merah, ia mencerminkan betapa seriusnya keadaan ini. Ini memerlukan langkah-langkah tertentu diambil. Mesyuarat esok diadakan khas untuk menentukan langkah-langkah ini," katanya.

Beliau berkata apa sahaja langkah yang dipertimbangkan dan ditentukan akan dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan.

"Kami mahu mereka bertindak supaya kami dapat menguatkuasakan atau melaksanakannya secepat mungkin," katanya, sambil menambahkan bahawa larangan perjalanan akan menjadi antara isu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Penasihat jawatankuasa berkenaan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri dan Datuk Seri Dr Stephen Rundi (Menteri Utiliti Sarawak), Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing dan pasukan pakar perubatannya dijangka menghadiri mesyuarat tersebut.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Kuching, Hospital Sentosa, Covid-19

Artikel Lain