suria

Ucapkan “Al Jazeera you shut up”, pengacara TV sambilan anggap diri patriotik... akui langsung tak sedih

Herleena (kanan) terharu menerima sokongan daripada rakyat Malaysia selepas video kontroversinya tular.

"SAYA sangat terharu dengan sokongan yang saya terima. Terima kasih," tulis pengacara Bernama TV, Herleena Pahlavy menerusi Twitter lewat malam Rabu.

Pengacara sambilan itu menjadi tumpuan umum gara-gara kelantangannya menggelar stesen penyiaran antarabangsa, Al Jazeera sebagai Al Jahiliah.

Sejak Rabu, media sosial hangat dengan komen netizen selepas videonya yang lantang mengkritik Al Jazeera menerusi program Malaysia Petang Ini yang disiarkan Isnin lalu, menjadi viral.

ARTIKEL BERKAITAN: Nah! Doktor buka cerita bagaimana Pati dilayan ‘sebagai manusia’ di wad Covid-19, sangkal laporan Al Jazeera - “Apa lagi mereka mahu?”

ARTIKEL BERKAITAN: Tampil dalam dokumentari Al Jazeera, lelaki Bangladesh kini diburu Imigresen

Herleena menyifatkan laporan Al Jazeera mengenai dakwaan berlakunya penganiayaan terhadap pendatang asing di negara ini semasa wabak Covid-19, sebagai kurang beretika.

Dokumentari berjudul 'Locked Up In Malaysia's Lockdown' yang berdurasi 25 minit 50 saat itu mendakwa kerajaan Malaysia memberikan layanan yang buruk kepada pendatang asing ketika melaksanakan langkah menangani penularan Covid-19.

"Saya boleh katakan bahawa Al Jahiliah ini tidak mempunyai asas," katanya.

Ketika mengakhiri program tersebut, Herleena Pahlavy berkata: "Al Jazeera, you shut up."



Dokumentari terbitan Al Jazeera yang mencetuskan kemarahan kerajaan dan rakyat Malaysia.

Susulan itu, pengacara berkenaan dikenakan tindakan sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

"Saya dimaklumkan oleh pengerusi Bernama yang tindakan telah diambil," kata Saifuddin di Twitter, namun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai tindakan yang telah diambil terhadap Herleena.

Sementara itu menerusi ciapan berasingan, Herleena yang memberi maklum balas terhadap kenyataan menteri itu berkata bahawa dirinya seorang patriotik.



Md Rayhan Kabir kini diburu pihak berkuasa selepas tampil dalam dokumentari berkenaan.

"Tidak gentar dan patriotik di saluran TV Malaysia mempunyai akibatnya sendiri," tulisnya di dalam Bahasa Inggeris.

Malah ketika ditanya oleh netizen mengenai keadaannya, Herleena mengakui dia tidak sedih dengan apa yang berlaku.

"I'm definitely not sad (saya sudah pasti tidak sedih)," tulisnya.



Antara komen netizen yang menyatakan sokongan kepada Herleena.

Rata-rata netizen menzahirkan sokongan mereka terhadap pengacara sambilan berkenaan dan memujinya kerana tidak gentar bersuara.

"Kami berdiri bersama Herleena Pahlavy! Apa yang diucapkannya adalah kebebasan bersuara," tulis seorang netizen.

"Kami sokong anda. Majoriti rakyat Malaysia menyokong anda," tulis netizen lain.

"Saya bangga dengan kenyataan anda. Awak seorang rakyat Malaysia yang hebat," komen netizen yang lain pula.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain