suria

‘Padah’ tak dengar kata! Bapa kongsi detik lucu 'insiden' kereta terpacak di kepala anak, ada drama selepas kejadian - “Sempat la rekod sebelum tolong dia”

Video kereta kawalan jauh yang tersekat di rambut Zafran menjadi tular kerana mencuit hati netizen.

KALAU sudah namanya kanak-kanak, sememangnya daya imaginasi dan sifat ingin tahu mereka terhadap sesuatu perkara amat tinggi.

Begitulah situasi yang berlaku kepada seorang kanak-kanak lelaki ini yang begitu teruja untuk mendengar bunyi enjin kereta mainan kawalan jauh.

Namun, gara-gara keterujaan tersebut, berlaku satu insiden yang melucukan apabila tayar kereta mainan itu tersekat di rambutnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tak bagi bela, anak terpaksa ‘culik’ kucing sekolah... tapi kasihan misi gagal - “Saya tertanya-tanya, dari mana bunyi tu”

ARTIKEL BERKAITAN: Murid Tahun 1 ni bukan main bangga beli makanan sendiri, tapi tak tahu maksud viral - “Memang suka berangan, patutlah orang panggil kakak viral”

Menerusi video berdurasi 40 saat yang kini tular di Facebook, kanak-kanak lelaki berkenaan cuba meminta bantuan bapanya untuk 'menanggalkan' kereta mainan yang terpacak di kepalanya.

Video tersebut kini meraih sehingga 26,000 perkongsian selain dibanjiri dengan ribuan komen netizen.



Zafran mempunyai rambut sedikit panjang dan kerinting berbanding adiknya.

Bercerita mengenai insiden lucu itu, bapanya, Mohd Akmal Mahadi berkata peristiwa berlaku beberapa hari lalu ketika dia bersama anaknya sedang bermain kereta mainan kawalan jauh bersama-sama.

"Ketika itu saya nak pasang bateri yang baru dicas pada kereta berkenaan. Anak saya, Aathif Zafran kemudian ambil kereta tu dan dekatkan pada telinganya.

"Saya beritahu dia, jangan letak dekat sangat nanti tersangkut dekat rambut sebab rambutnya sedikit kerinting dan panjang. Tapi dia kata nak dengar macam mana bunyi enjin kereta mainannya itu," cerita bapa berusia 33 tahun ini.

Cerita Mohd Akmal, selepas siap memasang bateri, dia turun ke dapur untuk menikmati minum petang sebelum dikejutkan dengan insiden melucukan itu.



Zafran merupakan anak sulung daripada dua adik beradik.

"Tiba-tiba tak lama lepas tu, Zafran datang ke dapur dengan keadaan kereta terpacak di atas kepala, dan sebelah tangannya memegang remote control. Rupa-rupanya tayar kereta tersekat dekat rambut sebab dia main remote dan dalam masa yang sama letakkan kereta di telinganya.

"Punyalah saya gelak terguling-guling bila tengok keadaan kereta yang terpacak di kepalanya. Sempat la rekod buat kenangan sebelum tolong dia," ceritanya.

Memandangkan rambut anaknya yang sedikit panjang dan kerinting itu, Mohd Akmal terpaksa menanggalkan skru pada kedua-dua tayar untuk 'memisahkan' kereta mainan tersebut daripada kepalanya.

"Masa itulah berlaku drama. Saya sakat beritahu dia kena botakkan rambut... sebab tu dia meraung. Dia takut saya potong rambut dia betul-betul.

"Tapi drama saja tu... dia bukan menangis betul-betul pun. Tapi akhirnya kereta mainan itu berjaya dipisahkan tanpa sehelai pun rambutnya digunting," katanya.

Punyalah saya gelak terguling-guling bila tengok keadaan kereta yang terpacak di kepalanya. Sempat la rekod buat kenangan sebelum tolong dia.

MOHD AKMAL MAHADI

BAPA

Langsung tidak menyangka video tersebut menjadi tular, Mohd Akmal berkata tujuan asalnya memuatnaik video berkenaan kerana mahu berkongsi momen lucu bersama rakan dan keluarga.

"Mungkin reaksi muka dia yang macam tak ada perasaan dan selamba dengan keadaan kereta terpacak atas kepala itu yang buat netizen terhibur," cerita Mohd Akmal mengenai keletah anak sulungnya yang berusia 4 tahun itu.

Bapa kepada dua anak lelaki ini menambah, dia gembira apabila video berkenaan mendapat perhatian netizen, namun ujarnya buat masa ini dia tidak mempunyai rancangan untuk mendedahkan Zafran kepada dunia media sosial secara meluas.



Gambar kenangan keluarga kecil Mohd Akmal ketika menyambut lebaran.

"Saya dan isteri, dua-dua bekerja. Macam saya yang bekerja dalam bidang berkaitan kapal terbang, hanya ada waktu cuti pada hujung minggu untuk diluangkan bersama anak-anak. Jadi jarang ada masa nak rakam video dengan kerap.

"Video ni pun viral secara tak sengaja. Selalu juga berlaku insiden yang lucu tapi tak sempat nak dirakam. Mungkin kalau ramai yang mendorong, saya akan cuba kongsikan video lain pada masa akan datang untuk hiburkan orang lain," katanya lagi.



Zafran menjadi tular selepas video kereta kawalan jauh yang tersekat di rambutnya mengundang perhatian netizen.

Tidak terlepas menerima komen negatif netizen, Mohd Akmal berkata dia langsung tidak mengambil hati malah berlapang dada menerima pandangan orang lain.

"Ada yang komen kata mak ayah zaman sekarang memang utamakan nak rakam dulu. Kebetulan kelakar jadi saya rakam untuk buat kenangan.

"Tapi saya tak ambil hati pun. Setiap orang ada pandangan masing-masing," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain