suria

Ibu terkejut! Tak pernah jumpa kanvas, anak usia 2 tahun setengah pandai melukis ‘sekelip mata’

Lukisan yang dihasilkan kanak-kanak perempuan bernama Nera mengundang tumpuan netizen kerana menyifatkannya seperti karya seorang pelukis profesional.

MELIHATKAN hasil lukisannya, siapa sangka ia merupakan karya seorang kanak-kanak perempuan yang berusia dua tahun setengah!

Mungkin sukar untuk dipercayai, namun itulah bakat terpendam yang dimiliki oleh kanak-kanak bernama Nera ini.

Gambar dan video kanak-kanak ini sedang menyiapkan karya 'agungnya' itu menjadi tular selepas ia dimuatnaik oleh bapanya di Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Terima Kasih Abah’ bawa tuah buat pemuda kampung... impian serah lukisan kepada PM hampir jadi kenyataan – “Karya ikhlas seorang budak kampung”

ARTIKEL BERKAITAN: Tanpa pembaris, tanpa pensel pelukis hasilkan potret Agong, Tunku Azizah - Pemilik nama pena Teme Abdullah mahu kekal rahsia identiti diri

Sehingga kini ia meraih 7,500 retweet selain dihujani dengan komen netizen yang kagum dengan bakat kanak-kanak comel ini.

"Menyalurkan bakat ke tempat yang betul dan dia akan berjaya nanti," komen seorang netizen.

"Umur dua tahun dah ada talent macam ni. Memang dia boleh terus berkarya dalam dunia seni halus," tulis seorang lagi netizen.

"Jiwa seninya sudah membara di usia ini," komen seorang netizen lain.



Nera pertama kali menunjukkan bakat melukis di atas kanvas.

Ibu kepada Nera yang hanya mahu dikenali sebagai Ezyan mendedahkan, anak tunggalnya itu baru kali pertama melukis di atas kanvas.

Malah tambahnya, 95 peratus lukisan berkenaan adalah hasil kerja anaknya sendiri baik dari segi pemilihan warna dan teknik lukisan.

"Saya sendiri memang suka melukis untuk hilangkan stres sewaktu belajar dahulu. Kiranya melukis suka-suka saja. Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini saya mengemas stor di rumah.

"Kemudian terjumpa barang-barang melukis milik saya yang dah lama disimpan sejak habis belajar dahulu. Kebanyakannya masih elok seperti berus dan kanvas, warna pula ada sebahagian yang masih elok.

"Saya pun terlintas untuk beri Nera cuba. Saya hanya pasangkan alas pada meja supaya tak comot dan sediakan bahan... itu sahaja, yang lain semua dia yang buat sendiri," ujar wanita berusia 30 tahun ini.

Cara dia melorek garisan pun saya tak ajar... tak sangka elok saja dia mencorakkan warna sebab ada sesetengah budak masih susah nak pegang berus.

EZYAN

IBU

Menurut Ezyan, pada mulanya dia sendiri kagum apabila melihat cara anaknya mengadun warna dan melakar corak di atas kanvas tersebut.

"Sesetengah kanak-kanak suka pilih warna terang dan ceria. Tapi sebenarnya warna yang digunakan Nera adalah sangat terhad sebab itu saja masih elok. Jadi lukisan tu tak nampak macam lukisan kanak-kanak.

"Cara dia melorek garisan pun saya tak ajar... tak sangka elok saja dia mencorakkan warna sebab ada sesetengah budak masih susah nak pegang berus.

"Saya pun hantar gambar dan video kepada suami yang ketika itu kerja di luar kawasan. Dia kemudiannya muat naik di Twitter dan kami langsung tak sangka ia tular dan dapat komen positif daripada netizen," ujar pekerja swasta yang menetap di Johor Bahru, Johor ini.



Menurut Ezyan, anak tunggalnya itu berkemungkinan mewarisi bakat melukis daripada dirinya.

Tambah Ezyan, Nera mengambil masa selama dua jam untuk menyiapkan lukisan tersebut dan dia gembira melihat anaknya memberikan tumpuan selain kelihatan begitu 'enjoy' menerokai minat baharunya itu.

Bercerita lebih lanjut mengenai Nera, Ezyan berkata anak perempuannya itu sebenarnya lebih gemar menari dan suka menonton video kanak-kanak di YouTube.

"Sepanjang pengamatan, saya tak pernah lihat dia menonton video berkenaan lukisan pun. Mungkin dia mewarisi serba sedikit bakat melukis daripada ibunya ini.

"Selebihnya, Nera suka haiwan dan di rumah kami, ada tiga ekor kucing dan ikan hiasan. Rutin hariannya, dia akan memberi haiwan-haiwan ini makan.



Antara komen netizen yang mengkagumi bakat dimiliki Nera.

"Selain itu, saya sendiri gemar mendedahkan Nera dengan aktiviti kebajikan contohnya, kami ke kampung Orang Asli untuk beri sumbangan. Dan dia juga suka bila ada aktiviti seperti itu," katanya lagi.

Dalam pada itu Ezyan berkata, sebagai seorang ibu, dia akan menyokong apa juga minat Nera kelak kerana mahu anaknya menceburi bidang yang diminati.

"Sesetengah ibu bapa mungkin cenderung menentukan apa yang anak perlu buat. Tapi bagi saya, jika anak cenderung untuk meminati sesuatu, kita sebagai ibu bapa perlu memberikan sokongan," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain