suria

‘Terima Kasih Abah’ bawa tuah buat pemuda kampung… impian serah lukisan kepada PM hampir jadi kenyataan – “Karya ikhlas seorang budak kampung”

Aqef bersama karya yang dinamakan Terima Kasih Abah yang ingin dihadiahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Begitulah peribahasa yang sesuai menggambarkan situasi dilalui pemuda ini apabila potret Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihasilkannya menjadi tular sehingga mendapat perhatian perdana menteri.

Berkongsi cerita bersama mStar, pemuda bernama Mohamad Aqef Aizaq Che Jaaffar itu berkata, lukisan tersebut dihasilkannya bagi melahirkan penghargaan dan terima kasih di atas sikap ambil berat pemimpin itu terhadap rakyat terutama ketika negara berdepan situasi yang getir lantaran penularan wabak Covid-19 ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanpa pembaris, tanpa pensel pelukis hasilkan potret Agong, Tunku Azizah - Pemilik nama pena Teme Abdullah mahu kekal rahsia identiti diri

ARTIKEL BERKAITAN: “Guna pensel 2B saja” - Bukan fotostat, Tunku Azizah suka... satu lagi karya rakyat biasa bakal masuk Istana Negara!

“Saya tak sangka langsung boleh jadi viral. Sebenarnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan ulan lalu, saya terpaksa bercuti daripada kerja. Jadi semasa duduk di rumah, entah macam mana tergerak nak lukis wajah beliau.

“Saya buat siaran langsung (live) menerusi Facebook ketika melukis potret itu. Daripada sikit, lama kelamaan ramai yang tonton dan mula share. Memang niat nak hadiahkan kepada beliau, jika ada rezeki nak masukkan dalam frame cantik-cantik dan serah sendiri ke tangan beliau apabila situasi Covid-19 dah pulih.



Aqef mula melukis secara serius sejak tiga tahun lalu.

“Nak dijadikan cerita, disebabkan ramai yang share, pada Jumaat lalu ada pihak yang menghubungi saya dan menyatakan beliau daripada pejabat Perdana Menteri. Pegawai tersebut berkata dia akan menghubungi saya lagi selepas ini untuk maklumkan bagaimana untuk menghantar lukisan tersebut, ” katanya sambil menambah, dia kini sedang menunggu mesej rasmi berhubung perkara itu.

Bercerita lebih lanjut mengenai lukisan tersebut, pemuda yang senang disapa sebagai Aqef ini berkata, dia mengambil masa selama seminggu untuk menyiapkannya.

Lukisan yang hasil lakaran pensil dan dinamakan ‘Terima Kasih Abah’ itu mempunyai simbolik dan makna tersendiri dari kaca mata pemuda yang berasal dari Kampung Chetok, Pasir Mas, Kelantan.

Lukisan ini mungkin hanya biasa-biasa sahaja, tapi saya berbesar hati jika beliau sudi menerima dan berpuas hati karya daripada seorang budak kampung yang mahu memberikan ucapan penghargaan buat beliau

MOHAMAD AQEF AIZAQ

PELUKIS

“Kita tengok dari raut wajah beliau ketika menyampaikan ucapan dan perutusan, riaknya sungguh ikhlas. Cara bagaimana beliau mendepani situasi dalam masa yang sama menjaga kebajikan rakyat, bagaimana beliau mentadbir... semua itu saya terjemahkan dalam lukisan ini.

“Maka terhasillah lukisan Terima Kasih Abah. Tiada apa yang saya nak sampaikan melainkan ucapan terima kasih dan doa saya sentiasa bersama beliau.



Aqef menghasilkan karya dengan menggunakan pensel.

“Lukisan ini mungkin hanya biasa-biasa sahaja, tapi saya berbesar hati jika beliau sudi menerima dan berpuas hati karya daripada seorang budak kampung yang mahu memberikan ucapan penghargaan buat beliau, ” ujar pemuda berusia 20 tahun.

Dalam pada itu Aqef berkata dia sama sekali tidak berniat untuk mencari populariti daripada lukisan tersebut.

“Saya melukis bukan untuk viral atau sebagainya. Sebenarnya saya merupakan pelukis sepenuh masa sebelum saya menerima tawaran bekerja sebagai pegawai pemasaran. Malah pernah menghasilkan lukisan potret yang diminta pelanggan.



Aqef sering menerima tempahan pelanggan untuk menghasilkan potret mereka.

“Kalau nak diikutkan, saya mula melukis sejak berusia 17 tahun. Tak ada ambil kursus tertentu, cuma saya mengikuti subjek Pendidikan Seni ketika di sekolah menengah.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan bakat yang ada. Namun saya tahu kemampuan saya. Ramai lagi pelukis lain yang lebih berbakat daripada saya... tapi ini adalah lukisan yang ikhlas daripada hati, ” ujarnya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain