suria

“Arwah elok je masak nasi makan tengah hari” - Dua anak tergamam, ibu ‘pergi’ selepas tinggalkan hidangan terakhir

Kisah jenazah seorang wanita yang meninggal dunia selepas menyediakan juadah terakhir buat anak-anak. Gambar hiasan

SESEDAP mana pun masakan cef terkenal, mana mungkin boleh lawan dengan hidangan hasil air tangan ibu.

Selera ketika makan sudah tentunya berbeza kerana diri kita sudah sebati dengan masakan ibu yang mengandungkan kita selama sembilan bulan.

Namun, hakikat yang terlalu pahit untuk ditelan apabila sampai suatu masa, tiada lagi peluang untuk menikmati masakan ibu buat selama-lamanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sampai 15 minit sambung tidur, dapat khabar bas masuk gaung – "Sampai sekarang tak makan nasi goreng kicap, sebak terkenang masakan terakhir air tangan mak"

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak... Selesai jenazah dikebumikan, balik rumah jamah nasi lemak terakhir dimasak arwah emak

Begitulah yang dialami dua beradik ini selepas pemergian ibu tercinta.



Menguruskan jenazah yang meninggal dunia di rumah. Foto Facebook Muhammad Rafieudin Zainal Rasid

Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJ Malaysia), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkata, pihaknya menguruskan jenazah wanita yang meninggal dunia dipercayai mengalami serangan jantung, baru-baru ini.

"Arwah meninggal dunia pada sebelah petang pada kira-kira pukul 5 di kediamannya di Setiawangsa, Kuala Lumpur dan skuad kami menguruskannya pada sebelah malam.

"Sebelum meninggal dunia, arwah dan dua anaknya menikmati makan tengah hari bersama di rumah," katanya kepada mStar.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, beliau berkata, ketika menyiapkan juadah tengah hari, difahamkan arwah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda tidak sihat.



Dua anak arwah (berdiri) di samping jenazah ibu mereka.

Namun, beliau turut difahamkan arwah mempunyai masalah komplikasi jantung sebelum ini.

"Arwah dikatakan sempat memasak juadah terakhir untuk dua orang anaknya sebelum rebah dan meninggal dunia. Arwah elok je masak nasi berlauk untuk makan tengah hari.

"Skuad kami tengok wajah kedua-dua anak arwah memang terasa sayu. Kedua-duanya masih remaja, baru belasan tahun," ujarnya sambil menambah arwah berusia 40-an, bekerja dan mempunyai suami.

Buat mereka yang masih mempunyai ibu, bilakah kali terakhir anda merasai juadah masakan ibu kalian?

MUHAMMAD RAFIEUDIN ZAINAL RASID

Beliau bagaimanapun berkata, pastinya kedua-dua anak arwah dalam keadaan terkejut kerana dapat menikmati hidangan masakan terakhir bersama ibu mereka sebelum meninggal dunia.

"Wajah anak-anak ini masih tergamam masa skuad kami tiba di rumah mereka. Pastinya masakan terakhir ibunya itu menjadi kenangan yang paling sedih untuk dikenang," katanya.



Van SPJ Malaysia sedia membawa jenazah pulang ke kampung untuk dikebumikan.

Menurut Ustaz Rafie, jenazah diuruskan di Kontena Wakaf SPJ Malaysia sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Muadzam Shah di Pahang untuk dikebumikan.

Perkongsian kisah sedih itu membuatkan beliau menyuarakan tentang ajal dan maut itu merupakan ketentuan Tuhan.

"Buat mereka yang masih mempunyai ibu, bilakah kali terakhir anda merasai juadah masakan ibu kalian? Nikmatilah saat itu sebelum semuanya berakhir untuk selamanya.

"Seperti dua anak ini, kenangan makan nasi berlauk masakan terakhir ibu pastinya tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Lain