suria

Lebih 50 resepi tulisan jawi arwah nenek disimpan rapi, tak sangka orang dulu-dulu makan cheesecake - “Rendang paling legend, masing-masing cuba tapi...”

Buku resepi milik arwah nenek (kanan) disimpan Izzati.

BARANG tinggalan seorang nenek yang menemui penciptaNya menggamit memori seorang gadis.

Kenangan itu berupa senaskah buku resepi dengan ketebalannya mungkin lebih 100 halaman, dan setiap satunya ditulis dengan tulisan jawi.

Walaupun sudah lusuh dengan halaman sudah bertukar warna, tetapi naskhah lama itu mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Nenek 12 cucu, 3 cicit bangkit! Nak lari 71 km selepas tiga tahun berturut-turut lalui episod hitam - "Mula-mula mak tertinggal belakang..."

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya bayangkan kalau tak sempat..." - Cucu nangis bagai nak gila lihat neneknya tekun suap 6 anak usia lebih 50 tahun

Hanya mahu dikenali sebagai Izzati Exwanee, buku resepi tersebut adalah milik neneknya, Allahyarham Fatimah Ali yang meninggal dunia pada Ramadan 2015 kerana sakit tua.



Resepi cheesecake dan spaghetti bolognese antara masakan arwah nenek Izzati yang menjadi perhatian

Gadis berusia 19 tahun itu berkata, ia dijumpai ketika mengemas bilik arwah yang meninggal dunia ketika usia sekitar 70an di rumahnya di Rawang, Selangor pada tahun yang sama dan disimpannya sehingga kini.

"Saya sebagai salah seorang cucu perempuan kemas bilik arwah, baju-baju dan barang-barang lain semua nak diberi kepada orang tapi masih simpan yang ini.

"Tapi bila saya tengok tak ada sesiapa anak-anak arwah iaitu makcik, pakcik saya tak ada ambil. Jadi, saya bawa balik ke rumah," katanya kepada mStar.

Izzati berkata, buku tersebut mengandungi resepi beraneka jenis biskut raya, kuih tradisional, kek dan lauk, serta masakan arwah nenek yang paling istimewa iaitu rendang.

"Paling legend mestilah rendang kan. Tapi apa yang saya terkejut ada resepi cheesecake dan spaghetti bolognese. Saya ingatkan orang dulu-dulu tak makan cheesecake.



Rendang 'legend' arwah nenek.

"Kali terakhir saya makan rendang masakan nenek pada Hari Raya Haji 2014 masa balik kampung. Tahun 2015 pula nenek meninggal masa Ramadan, tak sempat beraya sama.

"Masing-masing ada cuba resepi rendang tu tapi tak ada siapa yang dapat masak sama rasa dengan masakan arwah... saya masak pun tak sama rasanya," katanya sambil menyifatkan arwah neneknya seorang yang peramah dan suka membantu orang lain.



Izzati mengimbas semula momen belajar memasak bersama arwah neneknya.

Menurut Izzati, ibunya yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik memaklumkan arwah nenek pernah menyertai kelas memasak sewaktu mudanya dan difahamkan buku resepi tersebut disimpan ketika neneknya darjah enam.

"Ya Allah, rindu sangat kat arwah bila ingat balik. Saya masih ingat masa tu saya darjah tiga. Saya masuk dapur sebenarnya nak ambil barang dan nak keluar balik main dengan sepupu.

Asam pedas itulah satu-satunya masakan yang saya belajar dengan arwah. Bila arwah dah tak ada baru menyesal tak belajar masak lagi dengan arwah

IZATTI

"Tiba-tiba arwah yang potong bahan-bahan masak panggil saya tengok dia masak asam pedas. Tak jadi saya main sebab kena belajar masak. Tapi masa tu kan kecil lagil, fikir nak main je. Tengok arwah masak pun dalam hati 'Cepatlah tok nak main'.

"Asam pedas itulah satu-satunya masakan yang saya belajar dengan arwah. Bila arwah dah tak ada baru menyesal tak belajar masak lagi dengan arwah," ujarnya dengan nada terkilan.



Kenangan... arwah nenek Izzati bersama sebahagian cucu-cucunya.

Izzati yang merupakan pelajar di Kuala Lumpur bagaimanapun bersyukur mempelajari tulisan jawi yang membolehkannya memahami setiap butiran resepi arwah.

"Alhamdulillah, nasib saya belajar jawi dulu. Kalau tak sia-sia je buku tu saya simpan. Tapi dalam tu banyak resepi yang susah macam nasi dagang, serunding dan mi bandung.

"Ada lebih 50 resepi dalam buku ni. Memang saya bercadang nak belajar kesemuanya. Sampai sekarang saya sendiri terkejut, ingat orang dulu-dulu tak makan benda-benda macam ni. Macam cheeecake dan spaghetti bolognese," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain