suria

Rumah pusaka lama ditinggalkan kini berubah wajah, semua ini jadi realiti kerana hasrat ibu mentua

Keadaan luar dan dalaman rumah milik keluarga Yanie yang menimbulkan kekaguman netizen selepas ia tular baru-baru ini.

LUAR nampak biasa-biasa, tapi dekorasi dalaman umpama banglo!

Itulah perkataan pertama yang terlintas di kepala netizen apabila melihat dekorasi sebuah rumah kayu yang sedang tular di media sosial ketika ini.

Melihat kepada persekitaran dan keadaan luaran rumah, pasti rata-ratanya tidak menyangka bahawa hiasan dalamannya ibarat menggunakan khidmat seorang interior designer!

ARTIKEL BERKAITAN: Bilik cantik sangat, tak fasal-fasal kena jadi ‘konsultan tak bertauliah’ - “Artis pun DM tanya pendapat, boleh jadi kawan pula”

ARTIKEL BERKAITAN: PKP ‘berisi’! Bilik bakal guru berubah wajah dengan hanya aktiviti ‘mengklik’, memang terkejut kalau tahu kosnya - “Mula-mula rasa mustahil”

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pemilik rumah berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Yanie Shafiin berkata, rumah peninggalan arwah ibu mentuanya itu pernah terbiar lama sebelum dia bersama suami sepakat untuk membaik pulih dan menjadikannya kediaman tetap.

"Arwah ibu mertua pemilik asal rumah tersebut, namun selepas saya dan suami berkahwin, arwah mengikut kami berpindah tinggal di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Ada satu ketika, arwah suarakan dia teringin sangat nak duduk di rumah di atas tanah dan teringin nak beraya di rumah lamanya yang terletak di Kampung Cheras Baru itu. Jadi kami nak realisasikan impiannya, sebab kita tak tahu bila ajal akan menjemput.



Keadaan ruang tamu rumah Yanie yang berubah seratus peratus.

"Pertama kali kami kembali semula ke rumah itu, keadaannya teruk sebab dah lama terbiar sejak penyewa terakhir keluar. Jadi kami pun mula membaik pulih rumah itu dengan menggunakan khidmat tukang rumah," katanya.

Menurut wanita berusia 36 tahun ini, projek membaik pulih semula rumah pusaka tersebut bermula pada penghujung 2017.

Tiada tema tertentu. Semuanya dibeli dan dihias mengikut bajet yang ada. Warna cat itu pula mengambil inspirasi warna cat rumah keluarga saya di Kelantan. Setidak-tidaknya terubat juga kerinduan pada kampung halaman.

YANIE SHAFIIN

MENANTU

"Mula-mula kami tukar bumbung, gantikan dinding dengan papan baru. Semuanya dilakukan dengan beransur-ansur dan sedikit demi sedikit mengikut bajet yang ada.

"Dari segi dekorasi dan perabot pula, semuanya idea sendiri dan disusun mengikut keselesaan. Ada juga belek-belek majalah, tapi sekadar belek saja.



Yanie merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.

"Lagi pula, kami tiada tema tertentu. Semuanya dibeli dan dihias mengikut bajet yang ada. Warna cat itu pula mengambil inspirasi warna cat rumah keluarga saya di Kelantan. Setidak-tidaknya terubat juga kerinduan pada kampung halaman.

"Ambil masa juga sebab buat ikut bajet, nak upah tukang ikut gaya kita... lagi pula rumah lama, banyak nak kena betulkan," ujarnya yang merupakan surir umah sepenuh masa.



Susun atur dan gabungan warna perabot yang menaikkan seri hiasan dalaman rumah ini.

Cerita Yanie, sejak posting tersebut mulai tular di media sosial, dia banyak kali mendapat pertanyaan daripada netizen mengenai kos keseluruhan untuk membaik pulih dan menghias rumah pusaka tersebut.

"Jujurnya saya sendiri tak tahu jumlah tepat kos keseluruhan sebab kami buat berdikit-dikit apabila ada bajet. Ada bajet, baru jalan dan tukar mana yang patut. Upah tukang pula dibayar mengikut harian. Jadi sukar nak kira dari awal," ujarnya.

Bercerita lebih lanjut, ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, dia dan suami gembira dan puas kerana berjaya merealisasikan hajat ibu mertuanya sebelum wanita itu menutup mata.



Antara komen netizen yang kagum dengan idea hiasan rumah keluarga Yanie.

"Bila rumah dah elok dan boleh diduduki, memang nampak jelas riyak gembira di wajahnya. Banyak kali arwah bercerita dan mengimbas kembali kenangan di rumah tersebut. Berulang kali dia bercerita jadi memang kita tahu dia gembira.

"Arwah juga keliling berjalan di sekitar rumahnya. Rupa-rupanya dia nak 'pergi'. Alhamdulillah arwah sempat dua kali menyambut hari raya di rumahnya itu sebelum meninggal dunia dalam tidur pada Ogos tahun lalu," ceritanya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
rumah pusaka, ibu mentua, banglo, dekorasi

Artikel Lain