suria

“Mak, apa silapnya baju ni?” - Kecoh baju Melayu poket di belakang, boleh pula tukang jahitnya tak tahu kenapa jadi macam tu

Perkongsian Hamzah mengenai 'keunikan' baju Melayunya mengundang perhatian netizen.

SETIAP tahun, ada sahaja fesyen baju Melayu unik yang digayakan dan dimuatnaik di media sosial.

Ada yang mempunyai potongan mengikut badan, ada yang dijahit menggunakan material jarang dan macam-macam lagi rekaan unik lain sehingga menarik perhatian netizen.

Terbaharu, viral satu perkongsian seorang pelayar di Facebook yang menggayakan sepasang baju Melayu dengan jahitan poketnya di bahagian belakang!

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami memang nak tunjuk bahagian dalam” - Kecoh baju Melayu Hari Raya ‘transparent’ nampak puting, samping atas lutut

ARTIKEL BERKAITAN: Model baju Melayu ‘transparent’ nampak puting jawab isu lutut terdedah – “Kalau saya punca, minta maaf”

Dengan memuatnaik dua keping gambar baju Melayu 'unik', pelayar tersebut turut menulis kapsyen 'Model baru raya PKP stail baru'.

Perkongsian tersebut menjadi tular sehingga meraih lebih daripada 1,500 shares selain turut dibanjiri komen netizen yang terhibur dengan keunikan baju tersebut.

Ketika dihubungi mStar, pelayar berkenaan, Hamzah Alek berkata baju tersebut sebenarnya bukanlah fesyen unik yang sengaja direka untuk mencari kelainan, sebaliknya ia terhasil disebabkan kesilapan teknikal si tukang jahit, iaitu ibunya sendiri.



Perkongsian Hamzah di Facebook mencuit hati netizen.

"Pagi kelmarin sebelum mahu ke pasar, ibu datang rumah untuk hantar baju yang saya tempah minggu lalu. Rumah kami terletak dekat antara satu sama lain. Jadi dia minta saya cuba dahulu baju tu takut tak muat.

"Bila saya sarung, saya tanya ibu 'mak, apa silapnya baju ni?'. Dia pun tanya 'kenapa?' lalu saya tunjukkan poketnya yang 'hilang' di depan, sebaliknya ada di belakang.

"Apa lagi, kami semua ketawa. Ibu beritahu mungkin dia tak perasan, maklumlah banyak juga tempahan baju raya yang kena disiapkan oleh dia seorang. Tak menang tangan... selalu isteri saya tolong tapi sekarang dia sarat mengandung, jadi ibu seorang yang menjahit," katanya.

Bila saya sarung, saya tanya ibu 'mak, apa silapnya baju ni?'. Dia pun tanya 'kenapa?' lalu saya tunjukkan poketnya yang 'hilang' di depan, sebaliknya ada di belakang.

HAMZAH ALEK

Lelaki berusia 36 tahun ini berkata, kerana merasakan insiden itu lucu, dia pun meminta isteri mengambil gambar 'kenang-kenangan' dan memuatnaik di Facebook untuk tujuan suka-suka.

"Sebelum itu hanya tujuh shares saja. Tapi bila balik dari pasar, sudah beratus shares malah bilangan itu makin meningkat. Saya sendiri tak sangka jadi bualan orang hingga viral.

"Macam-macam komen diterima, kebanyakannya geli hati dengan perkongsian itu. Tapi ada juga yang negatif kononnya saya mengaibkan tukang jahit. Tapi mereka tak tahu perkara sebenar, tukang jahit itu ibu saya sendiri.

"Perkongsian ini bukan untuk aibkan ibu tapi hanya suka-suka saja. Kalau tukang jahitnya orang lain, saya pun tak akan buat posting di Facebook. Tapi saya tak ambil hati pun dengan komen-komen netizen," katanya yang menetap di Lundu, Sarawak.



Gambar Hamzah sekeluarga ketika Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu. Ibu Hamzah (empat, kanan) yang merupakan seorang tukang jahit sejak 30 tahun lalu.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata, ibunya, Saliah Koden yang kini berusia 57 tahun, sudah menjahit sejak 30 tahun yang lalu dan jumlah tempahan yang diterima akan meningkat menjelang musim perayaan.

"Kini walaupun usianya 57 tahun, ibu masih aktif menjahit kerana itu adalah minatnya. Bukan saja baju Melayu, baju dengan pelbagai rekaan pun ada juga diterimanya," katanya lagi.

Bercerita mengenai persiapan menyambut Aidilfitri, Hamzah berkata mereka sekeluarga hanya menyediakan keperluan secara ala kadar sahaja memandangkan situasi negara yang sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.



Komen netizen yang terhibur dengan perkongsian Hamzah.

"Persiapan Aidilfitri tahun ini ala kadar sahaja. Baju raya ini pula ditempah kerana mahu mengikut kemahuan anak-anak dan sekadar untuk bergambar sahaja.

"Kalau ikutkan, tradisi kami sekeluarga biasanya akan menziarahi kubur selepas solat raya, buat rumah terbuka dari pagi hingga malam kerana seluruh sanak saudara dan tetangga akan kunjung mengunjungi pada 1 Syawal.

"Namun kerajaan menyarankan agar kita tidak menganjurkan rumah terbuka pada tahun ini, jadi kita semua perlu patuh demi kebaikan semua. Mungkin sekadar ziarah biasa-biasa saja," katanya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain