suria

Rindu menebal, hajat bapa jalan kaki 400km nak beraya dengan anak tak kesampaian - “Arwah berkali-kali merayu kepada kakaknya...”

Proses pengebumian yang dilakukan secara rapi ke atas jenazah Allahyarham yang disahkan positif Covid-19. Foto Facebook Muhammad Rafieudin Zainal Rasid

"ARWAH sanggup pulang ke kampung berjalan kaki dengan harapan dapat berjumpa dengan anak perempuannya, tapi hajatnya tak kesampaian."

Demikan kata Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid kepada mStar sebagaimana yang diceritakan oleh kakak allahyarham kepadanya.

Allahyarham yang merupakan bapa kepada seorang anak perempuan ditemui meninggal dunia di tepi jalan di Muadzam Shah, dipercayai sedang berjalan kaki dari Segamat, Johor menuju ke kampung halamannya di Kuala Terengganu, Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 37 kes baharu, lelaki yang ditemui mati antara 2 korban terbaharu akibat Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: Kata-kata anak 5 tahun buat si bapa gigih lalui journey 420km... 2 hari hanya jamah roti, air tin – "Sebak bila anak kata nanti tak boleh jumpa sampai bila-bila"

Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, beliau berkata, lelaki berusia 30 tahun itu pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan dan tinggal bersama bapa saudaranya di Segamat.



Pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan.

"Kakak arwah beritahu saya yang dia nak balik jumpa anak perempuannya yang berusia tujuh tahun tapi sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hasrat itu ditangguhkan.

"Kali terakhir arwah bertemu dengan anak perempuannya adalah pada hari raya tahun lepas. Jadi dia bercadang juga untuk pulang ke kampung, tapi tak ada kenderaan dan tiada bas ke Pantai Timur," katanya sambil menambah kakak arwah masih bersedih dengan berita pemergian adiknya itu.

Ustaz Rafie berkata, kakak allahyarham pada petang Khamis memaklumkan adiknya itu menumpang sebuah lori dari Muadzam dekat Rompin untuk ke Kuantan.

"Pemandu lori tersebut tampil menyerah diri selepas memaklumkan dia adalah kontak kepada arwah kerana menumpangkannya sampai ke Kuantan.

"Kakak arwah memang syak adiknya menumpang mana-mana kenderaan sebab perjalanannya kalau berjalan kaki terlalu cepat untuk sampai ke Kuantan dari Segamat pada keesokan hari,” katanya.



Mereka yang terlibat dalam menguruskan jenazah Allahyarham.

Menurut Ustaz Rafie, arwah sebelum ini tinggal bersama ibunya yang merupakan ibu tunggal di Kuala Terengganu tetapi berhijrah ke Segamat pada akhir tahun lalu untuk bekerja.

"Arwah diberi peluang untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan tapi tak bertahan lama dan berhenti pada Januari lalu.

"Dia cuba cari kerja lain tapi tak dapat sehinggalah bermulanya tempoh PKP. Arwah juga berkali-kali merayu kepada kakaknya untuk menjemputnya pulang ke rumah tetapi kakaknya juga tidak dapat berbuat demikian, iaitu merentas negeri atas arahan PKP ketika itu," katanya.

Beria benar arwah nak jumpa anaknya dengan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Kali terakhir pun Hari Raya tahun lepas.

USTAZ RAFIE

Walaupun sudah berhenti kerja, beliau menjelaskan bahawa arwah yang merupakan bapa tunggal sentiasa menghubungi keluarganya dan pasti bertanya khabar mengenai anaknya yang difahamkan tinggal bersama bekas isteri di Kuala Terengganu.

Malah, kata Ustaz Rafie, arwah yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu disifatkan sebagai seorang yang bertangungjawab dan tidak pernah lupa mengirimkan wang belanja untuk ibunya di kampung.



Pasukan yang lengkap dengan peralatan pelindung diri (PPE) bagi proses pengurusan jenazah.

"Pagi Jumaat lalu iaitu 8 Mei arwah nekad memulakan perjalanannya dengan hanya berjalan kaki sejauh kira-kira 400 kilometer untuk pulang ke Kuala Terengganu.

"Beria benar arwah nak jumpa anaknya dengan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Kali terakhir jumpa pun Hari Raya tahun lepas.

"Rindu sangat nak jumpa anaknya untuk Aidilfitri kali ni. Tapi hajatnya tak sampai, Allah SWT lebih sayangkan dia. Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya sambil menambah bahawa beliau dan pasukannya menguruskan jenazah allahyarham yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan.

Dalam sidang media pada Rabu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kematian ke-110 (kes ke-6,743) merupakan lelaki warganegara Malaysia berusia 30 tahun yang ditemui mati di Rompin.

Beliau berkata, ujian sampel Covid-19 diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 12 Mei dan kes di bawah siasatan pihak polis dan Pejabat Kesihatan Rompin, manakala punca jangkitan belum dikenal pasti serta masih dalam siasatan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain