suria

Kata-kata anak 5 tahun buat si bapa gigih lalui journey 420km... 2 hari hanya jamah roti, air tin – “Sebak bila anak kata nanti tak boleh jumpa sampai bila-bila”

(kiri) Matnoe berkongsi pengalamannya berjalan kaki untuk pulang ke kampung di Tanah Merah, Kelantan. (kanan Ketika dalam perjalanan dari Gopeng ke Ipoh. Foto Facebook Matnoe Poksu Din

KECOH kisah seorang lelaki yang tular kerana berjalan kaki dari Shah Alam, Selangor ke Tanah Merah, Kelantan.

Berkongsi pengalamannya kepada mStar, lelaki berkenaan, Muhamad Nor Ramlee bagaimanapun menjelaskan bahawa dia tidak berjalan kaki dari Shah Alam ke Tanah Merah.

Namun, pemuda berusia 29 tahun itu memberitahu, perjalanannya untuk pulang ke kampung halaman di Kampung Lawang, Batu Gajah di Tanah Merah itu dijangka mengambil masa kira-kira empat hari sekiranya berjalan kaki.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu 4WD sebak jumpa lelaki gigih tolak motosikal dari Tanjung Malim ke Penang selepas dibuang kerja, dibayar RM5 - “Dia dah macam hilang separuh nyawa”

ARTIKEL BERKAITAN: Sesak teruk KL-Kelantan 22 jam baru sampai, terdetik elok jalan kaki je sebelum terserempak lelaki di pembahagi jalan “Someone really did it”

“Bila saya semak menerusi aplikasi Google Maps, perjalananan dari Shah Alam ke Tanah Merah dengan berjalan kaki sejauh lebih 420 kilometer mengambil masa kira-kira tiga hari dan 20 jam.

“Dan itu adalah perjalanan tanpa henti, bila mengira masa saya berhenti dan sebagainya sudah tentu jadi empat hari,” katanya yang mesra disapa Matnoe kepada mStar.



Tempoh perjalanan sekiranya berjalan kaki dari Shah Alam ke Tanah Merah.

Matnoe berkata, dia berhenti kerja sebagai tukang masak di Shah Alam pada 17 Mac lalu, sehari selepas kontrak perkhidmatannya ditamatkan.

Bagaimanapun katanya, dia terpaksa menangguhkan perjalanannya untuk pulang ke Tanah Merah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac.

“Masa tu dah ada arahan supaya jangan balik kampung. Jadi, saya gunakan duit simpanan yang ada untuk tunggu dahulu di Shah Alam sehingga tempoh PKP ditamatkan.

“Syukur alhamdulillah, kami sekeluarga dapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di mana sebahagian daripada bayaran pertama RM1,000 untuk saya, dan selebihnya untuk isteri dan anak-anak di kampung.

“Tapi tak sangka pula berminggu-minggu pula tempoh PKP disambung dan makin lama wang yang ada tinggal sikit,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata perempuan itu.



Keadaan kasut yang dipakai dalam perjalanan Matnoe.

Menurut Matnoe, anak-anaknya berkali-kali bertanya bila akan pulang jumpa mereka dan akan meminta mereka bersabar setiap kali mengajukan soalan sama.

“Namun, saya sebak apabila anak kedua saya yang berusia lima tahun menerusi video call beritahu saya ‘nanti tak boleh jumpa sampai bila-bila, abah baliklah jalan kaki’.

“Apa yang dia cakap buat saya terfikir, kalau tak jumpa sampai bila-bila tu. Disebabkan saya tak ada kenderaan sendiri, jadi saya perlu usaha sendiri dan nekad inilah jalan terakhir yang saya ada,” katanya.



Menerusi laman Facebooknya, Matnoe menjelaskan bahawa dia mempunyai wang yang mencukupi untuk pulang cuma tiada bas yang beroperasi.

Berbekalkan duit poket kurang RM100, Matnoe mengambil keputusan untuk berjalan kaki dari Shah Alam ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Cheras pada pagi 26 April, dan tiba pada petang hari yang sama.

“Saya terpaksa jalan kaki ke TBS, sebab kalau naik Grab pakai duit banyak, sedangkan itu sajalah duit saya yang ada. Cadangan asal nak naik bas ke Gua Musang sebelum ambik tren ke Tanah Merah.

“Sampai di TBS, saya diberitahu tiada bas ke Pantai Timur beroperasi, masa semak kat aplikasi mudah alih, mungkin tak update. Jadi, saya ambil keputusan untuk ambil bas ke Ipoh sebab dari situ, mungkin saya boleh tumpang mana-mana lori untuk ke Kelantan.

Bila dah masuk sempadan Kelantan, saya rasa Ya Allah, saya amat bersyukur sebab segala urusan dipermudahkan

MATNOE

“Tapi saya berhenti RTC Gopeng sebab bas tu tak nak masuk ke Ipoh disebabkan ada dua sekatan jalan raya. Saya bermalam di situ sebelum berjalan kaki ke Terminal Amanjaya, Ipoh esok pagi.

“Sampai di Ipoh tengah hari, dapat tahu tak ada pula bas ke Kelantan. Jadi, saya caj telefon dahulu dan minta bantuan rakan-rakan Facebook untuk tumpangkan saya,” katanya sambil menegaskan dia mempunyai wang mencukupi untuk pulang menaiki bas.



Matnoe menumpang sebuah lori dari Gerik sehingga ke Tanah Merah.

Matnoe berkata, seorang anggota polis membantu menghantarnya ke Gerik sebelum menerima bantuan daripada seorang pemandu lori yang kebetulan mahu menghala ke Tanah Merah.

“Saya tumpang lori yang bawa tepung sampai ke Tanah Merah. Bila dah masuk sempadan Kelantan, saya rasa Ya Allah, saya amat bersyukur sebab segala urusan dipermudahkan,” katanya sambil memberitahu dia selamat tiba di kampung pada pukul 11 malam Isnin.

Jelasnya, dia amat bersyukur kerana perjalanannya yang ditempuhi selama dua hari dipermudahkan Allah SWT tanpa mengira penat dan berjalan kaki berkilometer.

“Bagi saya, cabaran paling besar bagi saya adalah berjalan kaki semasa puasa. Saya terpaksa berbuka tiba di Ipoh waktu tengah hari sebab dah penat sangat. Kali terakhir saya makan masa waktu berbuka puasa, sempat makan roti dan air tin di dalam bas dalam perjalanan ke Ipoh dan tak sahur pagi esoknya.

“Tambahan pula musim PKP tak ada siapa berani nak tumpangkan saya. Terima kasih kepada rakan-rakan FB yang viralkan, abang polis dan pemandu lori yang tumpangkan saya. Penat saya berbaloi bila dah jumpa isteri dan anak-anak. Syukur alhamdulillah,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain