suria

Pemandu 4WD sebak jumpa lelaki gigih tolak motosikal dari Tanjung Malim ke Penang selepas dibuang kerja, dibayar RM5 - “Dia dah macam hilang separuh nyawa”

Seorang pemuda (kanan) ditumpangkan dari Tapah, Perak ke Nibong Tebal, Pulau Pinang selepas menolak motosikal selama enam jam dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke utara tanah air. Foto ihsan Iwan Putra

PERNAHKAH anda membayangkan perjalanan dari Tanjung Malim, Perak ke Pulau Pinang dengan berjalan kaki sambil menolak motosikal?

Sedangkan perjalanan dengan menaiki kereta pun mengambil masa selama kira-kira empat jam, inikan pula hanya berjalan kaki.

Situasi inilah yang dilalui seorang lelaki apabila kenderaannya itu kehabisan minyak di Tanjung Malim ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di utara tanah air.

Dia bagaimanapun bernasib baik kerana selepas enam jam bergelut menolak motosikal di lebuhraya, dia dipertemukan dengan seorang pemandu pacuan empat roda (4WD) di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dekat Tapah, Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar beranikan diri hampiri lelaki tersadai tepi highway jam 2 pagi, kesudahannya tuntun motor lebih 20km lalu Jambatan P.Pinang!

ARTIKEL BERKAITAN: Sesak teruk KL-Kelantan 22 jam baru sampai, terdetik elok jalan kaki je sebelum terserempak lelaki di pembahagi jalan “Someone really did it”

“Dari Tanjung Malim minyak motor habis, dah enam jam saya tolak motor ni,” ujar penunggang motosikal berkenaan yang bercadang menolak kenderaannya itu sehingga ke rumahnya di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

“Jauh tu silap-silap dua hari pun tak sampai-sampai,” jawab pemandu 4WD berkenaan sebelum menumpangkan lelaki tersebut sehingga ke sebuah stesen minyak dekat kediamannya dan memberikannya wang RM10.

Antara perbualan Iwan Putra bersama pemuda yang dibantunya.

Bercakap kepada mStar, pemandu 4WD itu berkata, kejadian berlaku pada Ahad lalu ketika dia dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seberang Perai, Pulau Pinang.

Hanya mahu dikenali sebagai Iwan Putra, dia pada awalnya hairan mengapa pemuda berkenaan tidak mahu dihantar ke stesen minyak sedangkan alasan yang diberikan adalah kehabisan petrol.

“Rupa-rupanya dia tak ada duit. Dia yang dibuang kerja sebagai pengawal keselamatan itu hanya diberikan RM5 selepas dua bulan tidak dibayar gaji.

“Dengan duit RM5 yang dia ada tu digunakan untuk isi minyak dan hanya bertahan dari Bukit Jalil, Kuala Lumpur sehingga ke Tanjung Malim, Perak sebelum terpaksa tolak motor,” ujar pemandu berusia 36 tahun itu.

Iwan Putra membayar petrol untuk pemuda yang ditemuinya supaya dia dapat meneruskan perjalanan pulang ke rumahnya.

Iwan Putra berkata, pemuda berusia 30-an yang tidak memberitahu namanya itu merupakan anak yatim piatu, dan mahu pulang ke rumahnya di Nibong Tebal.

“Dia kata sepanjang tempoh enam jam itu, beberapa kali dia tolak motor dan ditunda oleh motosikal lain sebelum saya jumpa dia dekat Tapah.

“Masa saya jumpa tu dia berpeluh dan keletihan, dah macam hilang separuh nyawa,” ujarnya.

Iwan Putra berkata dia terpanggil untuk membantu lelaki berkenaan kerana tidak pernah melupakan kejadian yang hampir sama menimpa dirinya, kira-kira 10 tahun lalu.

Iwan Putra pernah mengalami kejadian terpaksa menolak motosikal yang rosak pada awal pagi.

Menurut bapa tiga anak itu, ketika kejadian, motosikalnya rosak dalam perjalanan pulang selepas bekerja di tapak pembinaan jalan di Sungai Buloh, Selangor ke Setapak, Kuala Lumpur pada pukul tiga pagi.

“Sepanjang perjalanan, tak ada seorang pun yang berhenti menawarkan bantuan. Pada masa sama, saya pun tidak meminta bantuan mana-mana pemandu kerana saya tidak mahu berasa terhina dalam keadaan macam tu.

“Lebih empat jam juga saya tolak motor sampai ke rumah. Orang pun mungkin takut dengan saya dan mungkin itulah yang dirasai pemuda tu. Masa saya nak tolong dia pun beberapa kali cuba tolak,” katanya.

Dalam pada itu, Iwan Putra mendedahkan bahawa dia sebenarnya memberikan bantuan wang tunai lebih dari RM10, tetapi tidak mahu menyebutnya dalam postingnya yang tular kerana tidak mahu bantuannya disalahertikan.

Walaupun hanya membuat kerja-kerja pembinaan secara kontrak, Iwan Putra masih mampu meneruskan kehidupan.

Namun, Iwan Putra yang berasal dari Kuala Lumpur menjelaskan bahawa dia bukanlah orang yang senang dan hanya mengambil upah membuat kerja pembinaan secara kontrak.

“Saya juga ada masalah kewangan, sampai bil air dan elektrik tertunggak pun enam bulan. Saya bukanlah orang senang, nak kata susah pun tapi saya mampu hidup, bersama keluarga.

“Tapi bila saya tengok dia, dahlah anak yatim piatu, duduk dengan bapa saudara tak sanggup nak pinjam RM30 duit minyak. Itu belum lagi halnya dibuang kerja.

“Walaupun saya bukan hidup senang, saya masih mempunyai kereta untuk mencari rezeki. Saya berasa lebih bersyukur kerana sebenarnya ada orang lain yang lebih susah daripada saya,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain