suria

Bola boling tembus siling sebenarnya tak sampai bulan pun – “Mereka cabut lari, kasut pun dibiarkan macam tu je”

Video yang tular mengenai seorang anak muda melontarkan bola boling menjadi bahan parodi di media sosial.

KISAH bola boling tembus siling, strike ke bulan menjadi bualan di media sosial selepas video melibatkan seorang pengunjung pusat hiburan itu menjadi tular.

Timbul tanda-tanya dalam kalangan netizen mengenai ke mana bola boling itu ‘mendarat’ termasuk ada yang mempersoalkan tindakan seorang pemuda yang melontarkannya sehingga mencecah siling.

Video yang mula tular sejak Ahad itu bukanlah baru berlaku, sebaliknya merupakan kejadian di Megalanes Bowling di pusat beli-belah Berjaya Megamall di Kuantan, Pahang, kira-kira lapan tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Strike ke bulan” - Kecoh bola boling tak masuk longkang, tapi tembus siling... ramai nak tahu di mana ia ‘mendarat’

Penyelia Megalanes Bowling, Ahmad Farhan Zamachsjri, 34, yang mengesahkan mengenai kejadian di pusat boling itu berkata, ia berlaku pada 2012, tahun yang sama ia menjadi venue bagi acara sukan boling untuk Sukan Malaysia (Sukma).

Tangkapan skrin video menunjukkan seorang pemuda melontarkan bola boling sehingga mencecah siling. Sumber twitter hazrilazharudin

Dia bagaimanapun mengakui terkejut apabila video berhubung kejadian itu tular, sehingga menjadi perhatian penduduk tempatan terutama pengunjung setia.

“Kejadian bola terpelanting sampai ke siling tu berlaku pada 2012, tahun yang sama Sukma diadakan. Terkejut juga sebab tak tahu pula ada video pasal insiden tu.

“Bila kami tengok video yang baru tular tu, kami tahu ia dah lama berlaku. Mungkin yang rakam video tu baru nak sebarkannya,” katanya ketika dihubungi mStar.

Ahmad Farhan berkata, insiden tersebut dipercayai membabitkan sekumpulan anak muda antara empat dan enam orang yang menempah satu lorong untuk bermain boling.

Tambahnya, bola yang digunakan remaja berkenaan adalah paling ringan, seberat 9 pound atau kira-kira 4 kilogram.

Antara parodi bola boling sampai ke bulan.

Bagaimanapun katanya, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kesemua mereka melarikan diri selepas bola tersebut dilontar dengan sengaja ke siling. 

“Saya percaya kejadian tersebut disengajakan dan mereka semua cabut lari selepas tu. Habis kasut-kasut boling pun dibiarkan macam tu je.

“Kami tak dapat menjejaki mereka tetapi kejadian tersebut tidak lagi berulang, dan terdapat kakitangan yang memantau keadaan di pusat boling.

“Bagaimanapun, terdapat kerosakan pada salah satu petak siling termasuk bola yang dilontarkan ke siling itu,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu.

Pusat boling Megalanes Bowling di Kuantan menjadi venue bagi acara sukan boling Sukma 2012.

Dalam pada itu, Ahmad Farhan turut tidak menyangka insiden yang berlaku di pusat boling yang mula beroperasi sejak 2005 itu menjadi bahan gurauan di media sosial.

“Kami tengok ada video parodi pagi ni (Selasa) tunjuk bola tu sampai ke bulan. Kami semua gelak saja. Ramai juga yang datang nak tengok lokasi kejadian.

“Bola tu tak sampai bulan pun, ada je ‘tersadai’ kat atas siling. Staf kami yang terpaksa panjat guna tangga untuk bawa turun bola tu,” katanya secara berseloroh.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Lain

Wajah bayi berkedut seperti berusia 80 tahun