suria

Tak tolak ansur, Shopee singkir serta merta penjual telur penyu

Shopee tampil membuat penjelasan mengenia isu penjualan telur penyu di platform mereka menerusi satu kenyataan pada Khamis.

SUSULAN pendedahan mengenai penjualan telur penyu yang dilakukan secara terbuka menerusi platform Shopee, platform e-dagang popular itu pada Khamis tampil dengan satu kenyataan bagi membuat penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan.

Menurut Pengarah Urusan Wilayah Shopee, Ian Ho, pihaknya telah menyingkirkan dan menyekat penjual berkenaan serta menyenarai hitam penjualan telur penyu di platform mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Mengejutkan telur penyu dibawa masuk platform e-dagang, Maya Karin pun bersuara!

"Selain itu, kami mempunyai pasukan penyenaraian yang menyaring senarai produk secara kerap untuk memastikan penjual tidak melanggar dasar kami.

"Sekiranya produk didapati tidak sah atau tidak memenuhi piawaian ketat kami, kami akan membuang senarai produk dan mengambil tindakan pantas terhadap penjual.

"Kami juga menggalakkan pengguna untuk menghubungi Shopee jika mereka menemui senarai yang serupa di platform kami. Pengguna dapat menghubungi kami melalui lingkaran menu di sudut kanan atas mana-mana senarai produk dan klik pada pilihan 'Laporkan Produk ini'," katanya dalam kenyataan itu.



Kenyataan Shopee bagi menjelaskan isu penjualan telur penyu secara terbuka.

Menurutnya lagi, sebagai alternatif, pengguna boleh menghubungi Shopee di [email protected] atau menghubungi 03 2777 9222 untuk melaporkan senarai yang serupa, atau produk haram yang dikesan dijual menerusi platform itu.

"Shopee tidak bertolak ansur dengan penjualan produk haiwan dan hidupan liar di platform kami, seperti yang dinyatakan dalam polisi Item Terlarang dan Terhad.

"Pengguna diminta untuk mematuhi polisi kami serta peraturan yang ditetapkan oleh jabatan serta agensi kerajaan.

"Kami mengambil tindakan tegas terhadap pengguna yang tidak mematuhi piawaian ini," katanya lagi.



Tangkap layar (screen shot) iklan telur penyu di platform Shopee.

mStar pada Rabu melaporkan isu penjualan telur penyu secara terbuka di platform Shopee sebagaimana yang didedahkan oleh Turtle Conservation Society of Malaysia di laman Twitter.

Menerusi perkongsian persatuan tersebut yang turut memuat naik tangkap layar (screenshot) iklan di rangkaian jualan online itu, didapati telur penyu dijual pada harga sekitar RM7.50 sebiji.



Aktres Maya Karin turut bersuara mengenai isu penjualan telur penyu di platform Shopee.

Perkongsian tersebut mengundang kecaman netizen yang menyelar tindakan rangkaian jualan online itu yang langsung tidak sensitif, di kala haiwan reptilia itu sedang diancam kepupusan.

Malah perkongsian tersebut turut menarik perhatian aktres terkenal, Maya Karin yang aktif memperjuangkan pemuliharaan dan kesedaran alam sekitar.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
telur penyu, Shopee

Artikel Lain