suria

‘Flanuer’ dikaitkan dengan individu menakutkan, tapi tanpa disedari ramai suka buat... penulis novel dedah ‘berflaneur’ sejak kecil!

Ramai sebenarnya yang melakukan flaneur tanpa mereka sedari. -Gambar Hiasan

PERKATAAN 'flaneur' mungkin kedengaran asing bagi kebanyakan orang, namun perkongsian yang dibuat mengenainya di laman Twitter ternyata menarik perhatian ramai.

Semuanya gara-gara satu tweet oleh seorang penulis novel yang memberitahu penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi penghalang untuk dia melakukan 'flaneur'.

Menurut Muhammad Nomy Nozwir, 36, perkataan flaneur yang berasal dari bahasa Perancis merupakan satu kata kerja yang membawa maksud berjalan-jalan di tengah bandar tanpa hala tuju dan sekadar memerhatikan orang ramai dan situasi di sekelilignya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kayuh basikal jelajah 13 negara, 2 mamat Malaysia kongsi pengalaman perit telefon 'terjun' sungai di Perancis - “Hari pertama dah lucu...”

ARTIKEL BERKAITAN: Keluar bersendirian tak semestinya sepi, tak ada kawan - “Harap tak jumpa orang yang kenal saya”

"Satu benda yang aku benci pasal PKP ni ialah aku ni sebenarnya suka keluar jalan-jalan seorang diri. Orang Perancis cakap, flaneur.

"Dari berflaneur aku memerhatikan masyarakat. Dari berflaneur aku mengenal diri sendiri," tulisnya di Twitter sehingga menerima lebih 10,000 ulang kicau (Retweet).

Bercerita kepada mStar, anak kelahiran Kluang, Johor itu mengakui sudah melakukan flaneur sejak kecil di banyak lokasi termasuklah London, Belgium, Bangkok, Singapura, Bandung, Jakarta dan banyak lagi.



Nomy mengakui sudah banyak kali flaneur di pelbagai lokasi termasuklah di luar negara.

Selain dikaitkan dengan kesepian, Nomy juga tidak menolak stigma sesetengah orang yang menyifatkan perbuatan flaneur sebagai menakutkan dan ada ciri-ciri pembunuh bersiri.

"Bagi saya soal kesunyian itu ada dua. Satu, dia memang terpaksa jadi sunyi sebab tiada siapa nak teman. Kedua, dia memang pilih untuk menyendiri.

"Kalau ada orang ejek tak ada kawan ke, mungkin dia sendiri memilih untuk tiada kawan. Ada orang cakap buang masa, tapi bagi saya ia minat masing-masing.

Ada orang sebut merayau, tapi istilah tu kurang tepat menafsirkan perkataan 'flaneur' itu. Kita merayau tapi belajar sesuatu.

MUHAMMAD NOMY NOZWIR

PENULIS NOVEL

"Orang kaitkan flaneur sebagai perbuatan menakutkan. Macam budaya pembunuh bersiri. Orang yang tak suka diperhati akan rasa kita menakutkan, sebab kita duduk satu sudut, tengok sana sini," jelas Nomy.

Menurut Nomy, dia sudah terbiasa melakukan perbuatan itu sejak di bangku sekolah rendah lagi, namun hanya mengetahui kewujudan terma 'flaneur' setelah membaca satu buku sewaktu berusia 25 tahun.

Namun jelasnya, perbuatan itu ternyata memberi manfaat buatnya sebagai penulis novel kerana ia membolehkannya mencari idea baharu untuk digarap dalam karya seterusnya.



Posting Nomi di laman Twitter.

"Ia sebenarnya satu terapi. Sebab kita habiskan masa sendiri. Sebagai penulis pula, saya cuba cari watak atau senario cerita. Dengan memerhatikan sekeliling kawasan tu, mungkin dapat ilham.

"Saya tak berflaneur secara kosong. Biarpun orang cakap flaneur ni tak ada hala tuju, kita sebenarnya boleh pelajari macam-macam perkara mengenai sesebuah bandar.

"Ada orang sebut merayau, tapi istilah tu kurang tepat menafsirkan perkataan 'flaneur' itu. Kita merayau tapi belajar sesuatu," ujarnya yang sudah menghasilkan 13 novel setakat ini atas nama pena Nami Cob Nobbler.



Antara komen-komen ditinggalkan netizen.

Dalam pada itu, ramai yang turut menghujani posting Nomy dengan komen-komen di Twitter setelah dia berkongsi mengenai flaneur.

Ada yang baru pertama kali mendengar perkataan itu, tak kurang juga yang meluahkan minat sama sebagaimana dikongsi Nomy.

"Akhirnya saya jumpa perkataan untuk menjelaskan diri ini. Ianya bukan kerana saya kesunyian.



Antara foto kenangan sewaktu Nomy di luar nagara.

"Orang akan anggap menyedihkan. Tapi tidak, ia sebenarnya buat kita gembira dapat perhatikan orang.

"Aku pun jenis suka gerak solo kalau keluar. Lebih mudah, cepat untuk buat pilihan.

"Ini yang saya selalu buat. Berflaneur rupanya," tulis beberapa pelayar Twitter.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain