suria

Dipuji kerana sanggup ulang alik 2 kali hantar parcel guru tercicir, abang kopiah hijau sempat bimbang nasib rider syarikat kurier

Seorang rider Food Panda mendapat pujian netizen kerana sikap amanahnya memulangkan bungkusan yang tercicir milik seorang guru.

"REZEKI tak salah alamat! Adik Food Panda terjumpa, dia siap telefon dan hantarkan hingga depan rumah."

Demikian perkongsian seorang pelayar di Facebook, menceritakan kisah kebaikan seorang rider sebuah syarikat penghantaran makanan yang menghantar bungkusan (parcel) miliknya yang tercicir, baru-baru ini.

Perkongsian tersebut menjadi tular di media sosial dan mengundang pujian daripada warga maya yang kagum dengan sikap amanah rider tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Motor ‘barai’ gara-gara pemandu bas langgar lampu merah, rider GrabFood ditawar motosikal baharu

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tragedi’ pesanan terakhir! Rider Grab telefon pelanggan dahulu selepas kemalangan, isteri hamil anak ke-4 ‘last’ - “Rehat dululah, motor rosak”

"Tahniah dan terima kasih rider Foodpanda. Ada rasa tanggungjawab untuk bantu menyampaikan amanah yang tercicir tu," tulis seorang pelayar.

"Yang kopiah hijau terjumpa barang tu... Semoga abang-abang Foodpanda dilindungi Allah," tulis seorang pelayar sambil memuat naik sekeping gambar sekumpulan rider syarikat penghataran makanan itu di ruangan komen.

"Terima kasih abang kopiah hijau... semoga Allah membalas kebaikanmu," tulis seorang lagi pelayar.

Posting tersebut yang dimuatnaik di laman Kami Penduduk Bentong sehingga kini meraih 82 perkongsian dan ratusan komen netizen.



Posting yang dimuat naik oleh seorang guru di laman Facebook Kami Penduduk Bentong.

Berkongsi cerita ketika dihubungi mStar, rider 'berkopiah hijau' bernama Muhamad Shabri itu berkata dia sama sekali tidak menjangka perkara itu menjadi tular di Facebook.

"Selepas selesai menghantar bungkusan itu kepada pemiliknya, saya teruskan kerja seperti biasa dan tak ambil 'port' dah sebab dah sampaikan barang kepada tuannya.

"Tapi tak sangka pula pemilik bungkusan itu buat perkongsian dan jadi viral di Facebook. Saya bimbang juga perkara ini timbulkan sensitiviti kepada pihak syarikat kurier yang berkenaan. Mungkin ridernya juga tak perasan bungkusan tu tercicir.

"Lagi pula saya ikhlas membantu, tak ada niat apa-apa... ambil dan terus hantar," katanya yang sudah bekerja sebagai rider Foodpanda kawasan Bentong sejak sebulan lalu.

Niat saya ikhlas. Saya pun pernah beli barang secara dalam talian... kita mesti tertunggu-tunggu barang pesanan untuk sampai. Jadi saya letakkan diri saya pada situasi dirinya.

MUHAMAD SHABRI

RIDER FOOD PANDA

Mengimbas kembali insiden yang berlaku minggu lalu itu, Muhamad Shabri berkata ketika itu dia sedang dalam perjalanan pulang ke pusat utama (centre) selepas selesai menghantar pesanan makanan kepada pelanggannya.

"Ketika dalam perjalanan, saya ternampak satu bungkusan tercicir di atas jalan raya lalu saya terus berhentikan motosikal di tepi jalan. Bila dah ambil, saya lihat alamat penerimanya dekat saja dengan centre kami.

"Lalu saya fikir elok saya hantar terus ke rumahnya kerana pejabat syarikat kurier terletak sedikit jauh. Namun tiada penghuni ketika saya sampai di rumah itu lalu saya tinggalkan mesej pada nombor tertera.

"Saya minta pemilik itu hubungi saya dalam masa satu jam, ataupun saya akan terus hantar ke pejabat syarikat kurier. Bimbang nak pegang barang orang lama-lama. Pemiliknya hubungi saya tidak lama kemudian dan minta saya hantar ke rumahnya semula," cerita lelaki berusia 42 tahun ini.



Muhamad Shabri bertindak menghantar bungkusan tercicir yang ditemui kepada pemiliknya.

Bercerita lebih lanjut, Muhamad Shabri berkata dia lega kerana berjaya menyampaikan amanah tersebut kepada pemiliknya dan berniat ikhlas mahu membantu tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

"Pemilik bungkusan itu, seorang guru wanita mahu memberikan sedikit sagu hati namun saya tetap menolaknya dengan baik. Mungkin dia rasa serba salah sebab saya ulang alik dua kali ke rumahnya.

"Tapi niat saya ikhlas. Saya pun pernah beli barang secara dalam talian... kita mesti tertunggu-tunggu barang pesanan untuk sampai. Jadi saya letakkan diri saya pada situasi dirinya," ujar bapa kepada empat orang cahaya mata ini.



Muhamad Shabri (berkopiah hijau) sudah bekerja sebagai rider Foodpanda sejak sebulan lalu.

Muhamad Shari berkata sejak berita tersebut tersebar, wujud sedikit 'kelainan' apabila ada sesetengah penduduk bandar tersebut mulai perasan kelibatnya sehingga membuatkan dirinya segan.

"Mereka perasan melalui penampilan dan motosikal saya. Tapi bimbang juga, lagi tinggi kita terbang... lagi teruk kita jatuh. Manusia ni tak sunyi dari lakukan kesilapan.

"Apapun, Alhamdulillah... moga dapat beri mesej yang baik kepada semua," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain