suria

Malaysia catat 37 kes baharu, lelaki yang ditemui mati antara 2 korban terbaharu akibat Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperincikan perkembangan semasa Covid-19 menerusi sidang media pada Rabu.

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 37 kes baharu, menjadikan keseluruhan 6,779 kes setakat Rabu.

Daripada 37 kes baharu yang telah dilaporkan, 21 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

ARTIKEL BRKAITAN: Hanya 16 kes baharu, angka paling rendah setakat ini... tiada kematian direkodkan

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dua kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 111 kematian.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan dua kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 111 iaitu bersamaan 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," ujarnya menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Rabu petang.

Sehingga hari ini, 58 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 5,281 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, 16 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Berikut perincian dua kes kematian yang dilaporkan:

-Kes kematian ke-110 (kes ke-6743) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 30 tahun yang ditemui mati di Rompin, Pahang. Keputusan ujian sampel Covid-19 yang diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 12 Mei 2020. Kes ini di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Kesihatan Rompin. Punca jangkitan belum dikenalpasti dan masih di dalam siasatan.

-Kes kematian ke-111 (kes ke-5195) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kronik pernafasan. Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 16 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 13 Mei 2020 jam 10.36 pagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain