suria

“Berbilion rakyat China rela duduk rumah, tapi di Malaysia... anda ancaman komuniti!” - Wanita rakyat Malaysia kongsi pengalaman ‘lockdown’ 40 hari di China

Erycas Lim memberitahu dia mematuhi perintah lockdown yang dikeluarkan kerajaan China selain sentiasa memastikan menggunakan hand sanitizer terutamanya apabila keluar rumah.

BOLEH anda bayangkan terpaksa berkurung selama 40 hari dalam rumah? Rasanya mungkin tidak kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan Malaysia bermula 18 hingga 31 Mac ini pun masih ramai yang ingkar dan tetap berdegil nak keluar rumah.

Masih terdapat segelintir yang bersiar-siar bersama keluarga di padang permainan, melepak bersama rakan-rakan di kedai kopi seolah-olah merasakan diri mereka kebal daripada sebarang penyakit.

Namun pengalaman seorang wanita rakyat Malaysia, Erycaz Lim berkurung selama 40 hari di Chongqing, China selepas kerajaan negara itu mengeluarkan perintah berkurung (lockdown) bagi menangani penularan Covid-19 membuka mata banyak pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya minta tolong untuk tempoh 2 minggu ini saja” – Tolonglah! PM rayu ‘stay at home’... jangan balik kampung

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Hanya seorang dibenarkan keluar rumah - Fadillah

Menerusi laman Facebooknya, Erycaz memberitahu bukan sahaja daerah Hubei dan Wuhan yang diarahkan lockdown sebaliknya ia melibatkan seluruh negara China.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, dia tidak dibenarkan untuk meninggalkan kawasan kediamannya namun hanya seorang dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan asas setiap dua ke tiga hari.

"Setiap orang perlu membuat pemeriksaan suhu badan apabila hendak masuk ke mana-mana bangunan dan apabila saya sebut mengenai barangan asas, ia memang betul-betul barangan asas!

"Ini kerana hanya pasar, pasar raya, farmasi dan klinik tertentu sahaja yang dibenarkan beroperasi. Jadi tidak boleh keluar melepak atau berjalan-jalan. Jika polis nampak kita akan diarahkan pulang ke rumah," ceritanya.

Erycas akan memastikan memakai topeng muka meskipun hanya keluar di depan rumah. (Gambar kanan) Sekatan jalan yang dilakukan polis di Chongqing, China.

Erycaz memberitahu meskipun tempoh lockdown di China mengambil masa 40 hari namun dia kagum dengan sikap penduduk di negara itu yang rela hati untuk mendengar arahan bagi memastikan virus itu tidak lagi merebak.

"Bayangkan berbilion-bilion rakyat China duduk di rumah! Walaupun ia arahan undang-undang namun semua orang di sini rela hati untuk beri kerjasama.

"Sepanjang tempoh itu, tiada sekolah atau pejabat yang buka. Inilah satu-satunya cara untuk menghalang virus ini dari terus merebak," katanya.

Bayangkan berbilion-bilion rakyat China duduk di rumah! Walaupun ia arahan undang-undang namun semua orang di sini rela hati untuk beri kerjasama

ERYCAZ

Menceritakan pengalaman peribadinya sepanjang tempoh lockdown, Erycaz yang berasal dari Kuala Lumpur memberitahu apabila dia perlu keluar untuk membeli bahan makanan, dia akan memastikan membeli barangan yang boleh tahan lama agar dia tidak perlu lagi keluar.

"Saya tak stock up semua benda, cukup sekadar untuk keperluan, apatah lagi tisu tandas!," ujarnya.

Pun begitu kata Erycaz, setiap kali keluar dia akan memastikan memakai topeng muka selain membawa hand sanitizer ke mana sahaja.

Tetap memasak... Erycas akan membeli bahan yang mempunyai hayat lebih lama agar dia tidak perlu keluar rumah.

Katanya, barangan itu sangat penting kerana apabila keluar rumah dia tidak tahu kuman akan berada di mana dan akan sentiasa membersihkan tangannya.

"Kalau saya pegang butang lif atau apa-apa benda lain, saya akan pastikan saya sanitize tangan saya sebelum masuk kereta atau sentuh benda lain.

"Jangan sentuh muka lebih-lebih lagi mata, hidung dan mulut apabila keluar. Kalau saya perlu gosok mata, saya akan sanitize tangan dan gunakan bahagian dalam untuk gosok mata," katanya.

Pesan Erycaz juga, selepas membeli barang di pasar raya, sebaik-baiknya terus basuh baju yang dipakai serta buang topeng muka yang dipakai dan mandi.

"Nyahbakteriakan barangan yang dibeli, beg plastik, kunci kereta, tombol pintu dan telefon. Virus ini juga perlukan kerjasama kita untuk menghentikannya daripada terus merebak.

"Kalau anda rasa yang ini hanyalah selesema biasa dan tak ambil langkah berjaga-jaga, ini bermakna anda adalah ancaman komuniti," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
lockdown, sanitize, China, Covid-19

Artikel Lain